Fiersa Besari Jalan Mundur Rai 14 Tahun Berkarya
Catatkan 12 Oktober depan untuk konsert kembalinya penyanyi Indonesia ini ke Kuala Lumpur.

Oleh RUMI

“INI penghargaan terbesar buat saya,” jelas Fiersa Besari yang akan bertemu semula dengan penggemar Malaysianya lewat konsert Berjalan Mundur by Fiersa Besari Live in Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, Oktober nanti.

Dibawakan Seraya Group, kemunculannya itu disifatkan sebagai titik tolak untuk melunaskan kerinduan fans terhadap karya-karyanya, sekali gus mengesahkan kehadiran ikon kelahiran Bandung itu yang kini dianjak daripada tarikh awal yang dirancang pada akhir Ogos, sebelum ini.

“Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat di Malaysia memberikan inspirasi untuk saya mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan.

“Keterujaan peminat membuatkan saya yakin konsert ini bakal menjanjikan pengalaman luar biasa dan bermakna buat semua yang hadir nanti,” katanya, memetik kenyataan medianya.

Episod patah hati yang dicurahkan lewat pelbagai medium seni, tanpa diduga menjadi perjalanan penuh makna yang akhirnya membawa nama penulis, pemuzik dan pempengaruh media sosial ini menembusi pasaran komersial.

“Bagi memaknakan lagi kemunculan album terbarunya, Berjalan Mundur yang dilancarkan November lalu, kami turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi persinggahan konsert… “ – Intan Dhenisya Putri

April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu hanya segelintir daripada judul yang mendaki carta popular daripada himpunan karyanya yang tidak hanya mengangkat muzik beraroma cinta, malah menyentuh sisi kemanusiaan dan sosial yang menginspirasi pendengar, terutama anak muda.

“Setiap lagu akan saya bawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert ini nanti memberi pengalaman bermakna buat peminat,” katanya yang bakal ditemani gitar akustik dan vokal yang sarat emosi dan jiwa yang membentuk identiti nyanyianya.

Fiersa yang menyulam indah muzik pop indie, folk dan alternatif dalam karyanya, lewat persembahan solonya ini dijangka memperdengarkan 18 lagu pilhan daripada lima album yang pernah dihasilkannya.

“Janji saya akan ada kejutan dan kelainan pada susunan muzik dalam beberapa lagu kegemaran ramai, namun jati diri Fiersa sebagai penyanyi dan pemuzik tidak sesekali dipinggirkan,” katanya yang kali terakhir beraksi solo, dua tahun lalu, di Jakarta.

Berjalan Mundur by Fiersa Besari Live in Kuala Lumpur, menurut Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri, pula menjadi titik tolak permulaan bermakna dalam meraikan 14 tahun beliau berkarya.

“Bagi memaknakan lagi kemunculan album terbarunya, Berjalan Mundur yang dilancarkan November lalu, kami turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi persinggahan konsert, sekali gus mengubati kerinduan peminat terhadap lagu-lagu nyanyian Fiersa,” katanya.

Untuk makluman, pemegang tiket yang membeli awal secara otomatik akan dipindahkan ke tarikh baharu dan akan turut berpeluang bertemu Fiersa Besari dalam satu sesi eksklusif Meet & Greet nanti.

Akses

  • 12 Oktober 2023
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8pm

Tiket

  • RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk 8 orang)
  • Beli di ticket2u.com.my
  • Untuk info terkini, layari IG @serayalive