Momen dan Ekspektasi Konsert Double Trouble 2
Menjelang pertemuan Search dan Barbarik di satu pentas dalam konsert rock tempatan paling dinantikan.

Oleh Zurina Waji | Foto MEM

“Produksi ini akan lebih hebat kerana Barbarik di Zepp skala kecil dalam 2,500 orang, sedangkan kapasiti Double Trouble 2 sehingga 8,000 orang.”

SEDAHSYAT manakah Konsert Double Trouble 2 kelak?

Bukan rahsia bahawa Search yang dikemudi KidDin mencipta penanda aras baharu usai Rockin’ On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, Jun tahun lalu. Sementara Barbarik pula, lewat Barbarik Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur yang menutup tirai 2022 dengan penuh kejutan.

Jo Branko, pendukung Barbarik yang diajukan pertanyaan, mengakui cabaran yang harus didepani sebaik disua dengan projek 5 Ogos itu yang bakal mempertemukan antara dua band rock paling besar tanahair, Search dan Barbarik, di satu pentas.

“Ini akan jadi dahsyat daripada segi kombinasi dua band yang main bersama atas pentas,” katanya, merujuk malam konsert yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam itu nanti. “Ini, yang mana kita bakal sepentas untuk momen yang akan membuat audiens senang.

“Apa yang dahsyatnya, menerusi segmen yang julung kali, menggandingkan Search dan Barbarik main sama. Momen itu yang akan diberikan yang diharap dapat memuaskan hati audiens, membuat orang rasa terangsang.”

Search yang kini dianggotai Denden Gonjalez sebagai vokalisnya, Yan (bass) dan Minn (dram) selain Kid dan Din, serta Babarik yang menampilkan Jo bersama Muss (vokal), Ainol (dram), Rozaimi (bass) dan Adi Yamin (keyboard), kedua-duanya punya reputasi yang memang tidak disangsikan lagi.

Jelas pemain gitar dan juga komposer ini, apa yang akan diperolehi audiens adalah suatu yang segar.

“Segar daripada segi pemuzik yang dibawa, pemuzik muda-muda yang akan bersama saya, Muss, juga Kid, Din dan Yan. Juga apa yang akan diperolehi ialah repertoire malam itu yang bakal kita persembahkan.

“Ini termasuk set produksinya, daripada pencahayaan dan sistem bunyinya.”

Begitu pun, menurut Jo, konsert anjuran Alpha Nation itu yang hanya hadir 25 tahun selepas penghasilan album Double Trouble 2 tidak akan memperdengarkan kesemua lagu yang dirakam, ketika itu.

“Tak semua yang akan dibawa kerana album itu ada banyak lagu lama dan antaranya sudah dimainkan di Zepp (konsert Barbarik), jadi kita tidak akan ulang. Muss, misalnya dalam katalognya dengan Wings ada lima album. Biru Mata Hitamku, antara yang kena bawalah sebab itu signature Muss, hanya dengan susunan lain nanti.

“Selain daripada lagu yang sing-along, kita menitikberatkan produksinya yang tentunya tidak akan sama dengan di Zepp. Produksi ini akan lebih hebat kerana Barbarik di Zepp skala kecil dalam 2,500 orang, sedangkan kapasiti Double Trouble 2 sehingga 8,000 orang,” katanya pada pertemuan usai Sidang Media Konsert Double Trouble 2, baru ini yang menyaksikan pengurusan produksi konsert dikendalikan Laskhar Entertainment & Playmad Sdn Bhd dan promosi diuruskan Mewah Event Management.

“Pengikut sebenar suka lagu macam itu yang orang tak dengar di radio dan konsert ini pun memang untuk mereka.”

MALAM UNTUK PENGIKUT SEBENAR

Kerana Double Trouble 2, menurut Jo, adalah untuk para penggemar mereka, malam itu tentunya cenderung dengan pemilihan judul yang disifatkan “tidak mesra radio”, kebanyakannya heavy dan rancak.

“Pengikut sebenar suka lagu macam itu yang orang tak dengar di radio dan konsert ini pun memang untuk mereka,” katanya yang menerima banyak permintaan lagu daripada fans. “Balada, bagaimanapun tetap ada supaya flow cantik, konsert mesti ada begitu.

“Orang akan minta dan berharap untuk dengar macam-macam, tapi kita akan pilih lagu terbaik untuk persembahan. Kadang ada lagu memang sedap, tapi untuk persembahan sebegini tidak berapa sesuai.”

“… mendengar semula lagu yang ada sejarah dalam hidup mereka, siap lompat pagar kolej nak beli tiket, curi-curi keluar tengok konsert. Kena tahan pak guard, jumpa bakal isterilah, itu cerita yang seronok saya baca. Jadi, masing-masing ada momen mereka.”

Tentang konsep, dia memberi bayangan pembukaan malam persembahan akan membuatkan audiensnya kelak “rasa macam tengok wayang”, selain menegaskan, “sebab itu, kita kena pilih berapa lagu berentak fast, berapa moderate, berapa balada. Konsert mesti ada susunan untuk berikan orang merasai momen pada saat itu.”

Pertemuan dua band itu, kata Jo lagi yang pernah bersama Wings seawal 1988, juga akan mengimbau nostalgia, bukan saja buat dirinya atau teman pemuzik lainnya, malah para penggemar yang membesar bersama mereka.

Sambil ketawa, dia menambah: “Ada yang pernah menyaksikan kami dulu, misalnya zaman pelajar dan mendengar semula lagu yang ada sejarah dalam hidup mereka, siap lompat pagar kolej nak beli tiket, curi-curi keluar tengok konsert. Kena tahan pak guard, jumpa bakal isterilah, itu cerita yang seronok saya baca.

“Jadi, masing-masing ada momen mereka. Elemen nostalgia ini akan diberikan Double Trouble 2.

Pada usia melangkaui 50an, menimba pengalaman muzik bertahun-tahun lamanya, konsert ini juga dilihat sebagai ruang melahirkan penerus legasi dengan memberi peluang kepada pemuzik muda yang kini bersama mereka mempamer keupayaan.

“Juga kerana kehadiran mereka bagai memberi energi baharu kerana mereka budak muda, memotivasi kami macam masa muda-muda. Kadang mereka inilah yang lebih membantu kami untuk lebih berkarya,” katanya.

Energi juga, katanya didatangkan daripada audiens dan respons yang bakal diberikan pada malam itu kelak kerana untuk mempersembahkan 26 lagu, termasuk enam yang dimainkan bersama, dalam persembahan lebih dua jam demi memberikan momen tidak terlupakan bukan perkara mudah.

Jo, apabila ditanya apa antara perkara paling diinginkannya, malam itu, senyum menjawab: “Saya? Saya nak enjoy je, enjoy the moment dengan penggemar kami.”

Tiket konsert serendah RM129 boleh didapatkan dengan melayari www.ilassotickets.com atau hubungi 011-13297822.