8 Legenda Rock, 1 Malam, 1 Pentas
Imbau kenangan lewat Konsert 20th Anniversary – Semangat Zaman, 29 September ini.

Oleh RUMI

“… bagi meraikan ulang tahun ke-20 album itu yang akan disertai Datuk Nash, Joey, Aris, Yantzen, Rahmad, Jatt dan Muss, manakala Bandi (Amuk) sebagai pertambahan baharu.”

“IA akan menjadi konsert pertama ikon-ikon muzik rock Malaysia berada di satu pentas membuat persembahan bersama,” kata pencetus konsep Semangat Zaman, Jean Lau mengenai Konsert 20th Anniversary – Semangat Zaman.

“Ini adalah sebuah konsert membabitkan lapan legenda rock di atas satu pentas dalam satu malam dan pasti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk fans dan pencinta muzik rock mereka.”

Konsert anjuran Semangat Zaman Music Entertainment ini dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.

Mengimbau projek Semangat Zaman, ia kali pertama diilhamkan pada 2004 oleh Jean dan komposer terkenal, LY.

Dihasilkan pada era kumpulan indie menguasai pasaran muzik, ketika itu, album yang bertujuan bagi menyemarakkan semula industri dengan kumpulan dan pemuzik rock terbaik itu mencecah jualan lebih 100,000 unit.

Ini disusuli Semangat Zaman II – Suara Zaman, membabitkan alumni Semangat Zaman, iaitu Nash (Lefthanded), Yantzen (Rusty Blade), Aris Ariwatan, Rahim Maarof (Rahim Maarof & The Whitesteel), Muss (May) dan Joey (Bumiputera Rockers).

Enam penyanyi popular rock itu disertai Rahmad (Mega), Allahyarham Shamrin (Fotograf) dan Jatt (Black Dog Bone) menerusi album kedua yang turut meraih penjualan multi-platinum apabila ia dihasilkan pada 2005.

Jean, dalam kenyataan medianya, menyebut kenangan manis dalam menghasilkan Semangat Zaman mendorongnya untuk menghubungi LY bagi meraikan ulang tahun ke-20 album itu yang akan disertai Datuk Nash, Joey, Aris, Yantzen, Rahmad, Jatt dan Muss, manakala Bandi (Amuk) sebagai pertambahan baharu.

Rahim yang sepatutnya menyertai konsert ini tidak dapat berbuat demikian kerana sakit.

“Saya merindui keseronokan dan pengalaman menghasilkan kedua-dua album terdahulu, serta bekerja dengan artis berbakat ini,” kata Jean yang menghangatkan keraian 20 tahun ini dengan penghasilan lima lagu baharu, termasuk duet Muss dan Rahmad, selain solo oleh Nash.

Bandi, menurutnya, juga akan merakam lagu baharu untuk duetnya bersama Joey yang dipilih dengan keyakinan “gaya dan kehadiran Bandi akan memberikan wajah dan rasa baharu kepada Semangat Zaman.”

Akses

  • 29 September 2023
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • RM208 (Zon Rock), RM328 (Normal – Duduk) dan RM388 (Premium – Duduk). Early bird RM198 (sah sehingga 15 Julai)
  • Beli di my.bookmyshow.com
  • Atau, hubungi 03-92124202