Siap Untuk Anuar Zain 40th Anniversary Concert?
Ada petanda tiket bakal laku bak pisang goreng panas, fans menanti 12 Julai dengan debar.

Oleh RUMI

“…ia bukan hanya sebuah konsert biasa, tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seninya yang panjang bersama semua fans dan penggemar muziknya.” – JioBuddy

“IMPIAN saya,” kata Anuar Zain, “agar konsert AZ40 ini akan menjadi kenangan yang terindah di antara kita semua.”

AZ40, merujuk Anuar Zain 40th Anniversary Concert adalah suatu yang dinantikan, bukan saja oleh para penggemar pelantun bersuara lunak dengan wajah tampan ini, malah buat empunya badan sendiri.

Ibarat sirih pulang ke gagang, konsert anjuran JioBuddy dengan kolaborasi Altus Prohouse ini yang bakal berlangsung pada akhir Oktober kelak nyata membawa makna apabila Anuar bakal meraikan 40 tahun penglibatannya dalam seni di tanah kelahirannya, Shah Alam.

Di Stadium Malawati, lokasi dengan kapasiti yang boleh memuatkan sehingga 8,000 audiens konsert, dia bakal mengimbau perjalanannya yang dibina seawal zaman kanak-kanaknya sebagai duo Anuar dan Elina pada 1983 dengan hit seperti Kain Pelikat.

Sengaja, menurut penyanyi yang dikenali dengan lagu seperti Bila Resah, Lelaki Ini, Sedetik Lebih dan Keabadian Cinta, Stadium Malawati dipilih agar lebih ramai fans dapat bersama memahat kenangan 40 tahun perjalanannya.

“Supaya ia juga memberikan momen paling bermakna dalam perjalanan kita,” katanya yang mengakui senang dengan akses yang mudah untuk audiens, selain ruang empat segi stadium yang bermanfaat dalam rekaan pentasnya kelak.

Bagi JioBuddy pula, konsert ini bakal menjadi lambang kematangan perjalanan Anuar Zain dalam kerjaya seninya.

“Kami di JioBuddy berbesar hati untuk menganjurkan Anuar Zain 40th Anniversary Concert kerana ia bukan hanya sebuah konsert biasa, tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seninya yang panjang bersama semua fans dan penggemar muziknya,” menurut kenyataan media penganjur.

Konsert ini menyaksikan Jennifer Thompson dilantik pengarah konsert, manakala Sze Wan sebagai pengarah muzik. Anuar yang pernah memberikan Konsert Anuar Zain 3 Dekad pada 2013, kali ini juga bakal diiringi 25 pemuzik handalan tanahair.

Sejak diumumkan tiket dibuka untuk jualan pada 12 Julai, ramai hanya menghitung detik untuk meraih tempat bagi meraikan perjalanan 40 tahun ini bersama penyanyi berprofil tinggi ini, selain peluang memenangi telefon bimbit FreeYond. Pembeli tiket VIP 1 dan 2 pula bakal menerima cenderahati istimewa berupa AZ40 Premium Gift Box tajaan Arombay.

Akses

  • 28 Oktober 2023
  • Stadium Malawati, Shah Alam
  • 8.30pm

Tiket

  • RM1,188 (VIP 1), RM888 (VIP 2), RM488 (Diamond), RM388 (Platinum), RM188 (Gold)
  • Beli di www.jiotix.Asia
  • Atau, hotline: 011-51003111