Konsert Double Trouble 2 Search & Barbarik Bikin Panas 5 Ogos Ini
Selepas 25 tahun , pentas Double Trouble siap untuk dibuka dengan tanda atas baru.

Oleh RUMI

“Kedua-dua konsert Search dan Barbarik, sebelum ini memang sukses. Inilah cabarannya buat kami untuk mengekalkan momentum konsert itu.” – Joe Branko

“BUKAN nak tunjuk hebat, bukan nak battle,” kata Joe Branko mengenai malam Konsert Double Trouble 2 yang menemukan dua rock giant, Search yang dipacu KidDin dan Barbarik di satu pentas, awal Ogos ini.

Dianjurkan Alpha Nation dengan pengurusan produksi dikendalikan Laskhar Entertainment & Playmad Sdn Bhd dan promosi diuruskan Mewah Event Management, ia dilihat bakal membawa tanda aras baru buat dunia muzik tanahair.

Diinspirasi oleh Double Trouble 2 yang dirakam Search dan Wings pada 1998, siri kedua ini dijangka memperlihatkan setiap band membawa 10 lagu, selain enam dipersembahkan bersama.

“Kedua-dua konsert Search dan Barbarik, sebelum ini memang sukses. Inilah cabarannya buat kami untuk mengekalkan momentum konsert itu,” kata Joe dalam kenyataan medianya, merujuk kejayaan Search Rockin’ On Rooftop dan Barbarik – Pentas Keras, tahun lalu.

“Mungkin ada enam lagu akan dimainkan bersama oleh Search dan Barbarik di pentas. Kami akan main sama-sama.”

“… pertemuan Search dan Barbarik akan memberikan rasa berbeza kerana menampilkan pemuzik generasi baru.” – Noordin

Double Trouble 2 akan menyaksikan Search dibarisi Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (vokal) dan Minn (dram), manakala Barbarik diketuai Joe dengan Muss (vokal), Ainol (dram), Rozaimie (bass) dan Adi (keyboard).

Search, ketika Double Trouble kali pertama diperkenalkan menyaksikan Amy sebagai vokalisya, di samping Fauzi (bass) dan Allahyarham Yazit (dram), selain Noordin dan Kid, manakala Wings dianggotai Eddie (bass) dan Black (dram) bersama Muss dan Joe.

Jelas Noordin, walaupun konsert kali ini masih membawakan pendekatan sama seperti dilakukan 25 tahun lalu, pertemuan Search dan Barbarik akan memberikan rasa berbeza kerana menampilkan pemuzik generasi baru.

“Kali ini, biar mereka pula buktikan,” katanya merujuk kehadiran Denden, Minn, Ainol, Rozaimie dan Adi.

“Mereka adalah pemuzik generasi selepas kami yang cukup berbakat. Saya, Kid, Yan, Joe dan Muss adalah orang lama dan semua peminat sudah tahu.”

Akses

  • 5 Ogos 2023
  • Stadium Malawati, Shah Alam
  • 8.30pm

Tiket