Andmesh Anugerah Terindah
Kejujuran Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur yang menyentuh banyak perasaan.

Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid

“Kuala Lumpur juga jadi tempat menyatakan rindu yang menyakitkan, diluahkan dengan iringan denting keyboard dan sorotan lampu malap lewat Luka… “

“… harta saya yang masih bersisa,” kata Andmesh Kamaleng, sedaya upaya menahan sebak, kala mempersilakan dua adik perempuannya yang berada di barisan bahagian depan menyertainya di pentas pada konsert perdananya di ibu kota, baru ini.

Kasih seorang abang yang diandalkan adik-adiknya sebagai pengganti orang tua yang sudah pergi ikut dirasakan audiens yang memenuhi Dewan Plenary KLCC untuk Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur, malam itu.

Anugerah Terindah, sebuah kerinduan yang sedang dilagukan buat sang ibu yang dicipta crooner berusia 25 tahun ini menyebabkan banyak mata mula berkaca, apatah lagi melihatnya bertarung seketika dengan suara yang tersekat di kerongkong.

Suara merdunya menusuk lembut, membongkar perasaan yang sedaya upaya dipendam. Andmesh bagaimanapun tewas malam itu. Di depan penggemarnya yang terpana dengan suara lewat karya-karya itu, jiwanya seolah-olah terselepuk seketika.

Rindunya tidak dapat dibendung, malam itu dan Kuala Lumpur jadi saksi, lagi.

Dari jauh dia datang, katanya. Iaitu, dari Pulau Alor, Nusa Tenggara Timur, Indonesia, awal lagi senyumannya meleret bercampur malu mendengar teriakan fans. Dia malah, dalam pertemuan sebelum ini, mengakui tidak berfikir panjang saat dilamar Kharisma Music untuk konsert di Malaysia.

Impian yang dipasang sejak kecil itu membibitkan perasaan yang nyata terlalu mengharukan buatnya.

Kuala Lumpur juga jadi tempat menyatakan rindu yang menyakitkan, diluahkan dengan iringan denting keyboard dan sorotan lampu malap lewat Luka, sebelumnya. Didedikasi buat mendiang ayah, Yess Kamaleng, sosok yang pergi tanpa melihat puteranya ini menggapai awan, layangan foto-foto peribadi yang menyempurnakan papan cerita di layar menambah hiba.

Ia mengimbau kepada pertemuan dengannya, beberapa minggu sebelumnya, mengenainya yang “tidak mahu hanya datang, nyanyi dan terus pulang kerana konsert itu harus memberi kesan.” Kerana, katanya, “setiap perjalanan saya, bagi saya, bererti sekali.”

Produksi bagi Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur pada malam yang ditaja Kamya dan HAPM, antaranya menjadi perkenalan yang sangat mengesankan. Tak hanya suara, malah pesonanya juga memukau.

BACA: “… bukan cinta tipu-tipu.” – Andmesh Kamaleng mentafsir cinta buat KL, esok.

“… momen mencuit hati turut dicipta apabila dalam menyusun kata Andmesh secara tak sengaja membawa konotasi berbeza yang memutikkan kemesraan… “

CINTA LUAR BIASA

Andmesh membentangkan cerita hidupnya, diringi bandnya, Kapala Batu, seawal membuka malam persembahan dengan nota rancak Ku Mau, membawa audiens melayari novel cintanya yang membuat jari enggan berhenti menyemak, dari satu lembar ke lembar berikutnya.

Sama ada dia seorang pelakon atau penulis senario yang hebat, karya bersumberkan pengalaman hidupnya yang membuahkan hits seawal Cinta Luar Biasa yang muzik videonya setakat ini mencatat lebih 300 juta tontonan di laman rasminya, cukup mengasyikkan.

Keupayaan menjentik hati pendengar, saya kira, tentunya lahir daripada sebuah kejujuran.

“Kerana saya ini perasa orangnya,” katanya, sebelum ini, mengenai kamus hidupnya yang menginspirasinya bagi lagu seperti Bisa Tanpamu, Andaikan Kau Datang Kembali, Sampai Tua Nanti dan Nyaman, antara 16 ciptaannya yang turut dilagukan audiens, malam itu.

Buat pertama kalinya, dia juga membawakan lagu yang diciptanya untuk penyanyi lain, malam itu dengan Terlalu Berharap yang dipopularkan Rossa, selain Sial yang menaikkan nama Mahalini yang menyapa menerusi live video call oleh Andmesh di pertengahan persembahan.

Juga tampil merendah diri, matanya yang bercahaya menyerlahkan perasaannya terhadap Kuala Lumpur yang diberikan alunan muzik mendamaikan, menyerlah dengan tiupan saksofon yang menghidupan malam.

Sambil mengakui, antara percaya dan tidak, bisa meraih pendengar di sini, banyak momen mencuit hati turut dicipta apabila dalam menyusun kata Andmesh secara tak sengaja membawa konotasi berbeza yang memutikkan kemesraan, apatah lagi apabila kelucuaan itu membuatnya tersipu malu, sesuai pertemuan kali pertama.

Diberikan Cinta Luar Biasa pada penghujung konsert, saya sebaliknya merasakan malam masih muda untuk dia berhenti bersenandung walaupun bakat tempatan, Aisha Retno, Daniesh Suffian dan Arddley Nicholas ada ditampilkan sebagai pembuka acara.

Ikut melagukan hits 2019 itu, saya teringat Andmesh yang semasa diminta mentakrifkan cinta luar biasanya, terus meluncurkan kata, “Keluarga saya. Jadi saya melakukan apa pun untuk orang tersebut. Sampai titik ini pun, nafas saya buat mereka, iaitu keluarga saya. Itu cinta luar biasa saya.”

Dan konklusi malam bersama Andmesh? Tanpa disangkal, dia sememangnya anugerah terindah.