“Kita tak tahu sampai bila…” Sweet Charity Melangkaui 5 Dekadnya
Cerita tentang perjalanan band selegenda Sweet Charity lewat persembahan yang digelar Konsert Berita Gempa

Oleh Zurina Waji | Foto PapaDin

“Bukan luar biasa, tapi manis bagi saya dan rakan-rakan sebab lagu-lagu yang kami tinggalkan ada legasi tersendiri. Setiap tujuh, lapan album meninggalkan kesan atau cerita tersendiri.”

“INI bukan satu tribute, tapi perjalanan Sweet Charity yang nak dikongsi,” kata Datuk Ramli Sarip mengenai pertemuan semula band asal Singapura itu selepas 12 tahun dalam sebuah konsert akhir Julai nanti.

Dianjurkan Megatix Malaysia, malam yang dinamakan Konsert Berita Gempa itu yang bersempena album terakhir band legenda itu yang turut menampilkan lagu dengan judul sama akan diadakan di Arena Larkin, Johor Bahru.

“Kita tak tahu sampai bila kita akan mampu (bermain) lagi,” tambahnya yang mula dikenali sebagai vokalis utama band itu, merujuk usia mereka selain masalah kesihatan seperti dihadapi gitaris, Rosli Mohalim yang baru pulih daripada serangan angin ahmar.

“Kadang kala hendak (bermain), tapi keupayaan tak sampai pun boleh jadi masalah.”

Juga dikenali sebagai Papa Rock, dia dalam satu pertemuan, baru ini bagaimanapun gembira dapat merasakan semangat Rosli, juga Rahman Sarbani (dram) dan Ahmad Jaafar (vokalis dan keyboard) yang membara untuk kembali beraksi bawah payung Sweet Charity.

Pada sesi itu, bagaimanapun hanya Rosli yang hadir sama, selain Pengarah Megatix Malaysia, Ridzuan Mohamad.

“Alhamdulillah, saya tengok di video Rosli ada gigitannya lagi, Rahman dengan strokenya dan AJ (Ahmad Jaafar) masih boleh menyanyi. Kami mahu menjadikan (konsert) satu yang agak adil bagi fans walaupun sudah kehilangan dua ahli yang kembali ke Rahmatullah

“Ini berlaku juga pada band seperti The Rolling Stones, Charlie Watts dah tiada, manakala pemain bassnya enggan bermain lagi tapi Rolling Stones akan ada selagi Mick Jagger dan Keith Richards nak buat persembahan kerana mereka tunjangnya.

“Ini juga terjadi pada band Malaysia yang masih boleh main dan masih ada yang mahu menonton. Bukan luar biasa, tapi manis bagi saya dan rakan-rakan sebab lagu-lagu yang kami tinggalkan ada legasi tersendiri. Setiap tujuh, lapan album meninggalkan kesan atau cerita tersendiri,” jelasnya.

“Sweet Charity ada satu kekuatan yang saya rasa, bukan juara pentas, tapi ada kekuatan memegang setiap persembahan.”

Sweet Charity yang ditubuhkan pada 1969, menurut Ramli, gemar bermain di pentas besar, terutama pada era 80an, bertepatan dengan penganjuran Konsert Berita Gempa di Johor Bahru yang juga permulaan kepada siri jelajah yang turut meliputi Sarawak dan Pulau Langkawi, antaranya sebelum dijadual berakhir di Kuala Lumpur.

“Kami bermula sebagai band kampung, band main kenduri orang kahwin, kemudian di majlis tari menari dan sedikit di hotel dan kelab, itu banyak mengajar kami. Jika ditanya, dari era 80an, Sweet Charity ada kekentalan persembahan yang tersendiri.

“Selalunya kita akan diberi pentas dan terakhir sekali main. Sweet Charity ada satu kekuatan yang saya rasa, bukan juara pentas, tapi ada kekuatan memegang setiap persembahan. Pernah teringin nak buat persembahan awal tapi penganjur tak izinkan, Sweet Charity kena akhir, kata penganjur biasanya,” katanya, ketawa mengimbau kenangan.

Sebanyak 25 lagu dijangka diperdengarkan pada konsert di Johor Bahru nanti, termasuk judul yang disifatkan antem bagi Sweet Charity seperti Kamelia, Teratai, Sejuta Wajah dan Jangan Tunggu Lama-lama yang turut membuka ruang kepada pendengar muda.

Penggemar muda Sweet Charity yang disifatkan Ramli mungkin banyak dipengaruhi band dan lagu-lagu diminati bapa mereka, misalnya diyakini biasa mendengar sekurang-kurangnya 10 lagu, terutama yang malar segar lantaran kenangan yang mungkin dikongsi.

Selain bernostalgia, dia berharap agar audiens akan terhibur dan benar-benar merasakan perjalanan lagu-lagu yang pernah dirakam dengan tema tertentu yang sering menghimpunkan banyak kenangan manis buat penggemarnya.

“Tiada apa yang hendak kami berikan kecuali satu persembahan melalui perkongsian perjalanan kami yang cukup bererti,” katanya.

Akses

  • 29 Julai 2023
  • Arena Larkin, Johor Bahru
  • 8pm

Tiket