Kerana Dia Sheila Majid, Satu-satunya
Di malam Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur yang mengesahkannya dalam kelasnya yang tersendiri.

Oleh Zurina Waji | Foto Jio Buddy dan @echolailapictures

“… memberikan keasyikan pada karya Surya Booty dan lirik Waizek Ismail itu lewat rendisi bersama 23 pemuzik big band pimpinan Pengarah Muzik, Mac Chew, termasuk 13 pemuzik horns yang bikin goyang bahu seawal malam.”

1985. Itu tahun Sheila Majid mula mengorak langkah dalam membina namanya sebagai satu jenama kala industri muzik global meraikan, antaranya Girls Just Want To Have Fun dan Cyndi Lauper yang meraih Grammy dengan kegilaannya.

Iaitu, era yang melahirkan nama-nama besar hari ini dalam rantaian women empowerment yang bukan biasa, termasuk Madonna yang fenomenal dan Like A Virgin yang masih kontroversi sampai kini.

Sheila, atau kini, Datuk Sheila Majid baru berusia 20 tahun, ketika itu.

Ironi di sebalik tubuh kecilnya, dia yang tampil berbeda dengan rambut pendek dan citarasa fesyennya, menerobosi scene muzik tanahair 80an yang didominasi pop dan balada, ketika itu membawa pengaruh jazz, funk, antaranya menerusi debut Dimensi Baru.

Dan mendengar Pengemis Muda pada malam Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur di WTC Kuala Lumpur,baru ini membuat ingatan kembali melayang pada single berusia 38 tahun itu yang amat signifikan dalam kerjayanya.

Sheila, tampil sederhana namun menawan dalam kilauan sut birunya, memberikan keasyikan pada karya Surya Booty dan lirik Waizek Ismail itu lewat rendisi bersama 23 pemuzik big band pimpinan Pengarah Muzik, Mac Chew, termasuk 13 pemuzik horns yang bikin goyang bahu seawal malam.

Dipersembahkan AromBay serta Snack Partner Mamee Chef sebagai rakan rasmi, konsert ini dianjurkan oleh JioBuddy bersama Altus Prohouse dan rakan produksi, Level Up, manakala Suria FM, rakan radio rasmi. Konsert ini diterajui Pengarah Konsert, Jennifer Thompson.

Disusuli Jelingan Manja, kemudiannya saya suka bagaimana karya Ahmad Jaafar dan lirik Ramie M.S itu yang merupakan dendangan asal Puan Sri Saloma dengan judul Jelingan Mata tidak pernah gagal membangkitkan mood nakal Sheila untuk mengusik audiensnya.

Kerancakan yang baru meresapi, sebaliknya berubah tempo apabila perasaan audiens dibuai lewat Di Dalam Emosi Ini daripada album Emosi pada 1986, juga antara lagu yang mendapat sentuhan Jenny Chin yang bermain keyboard, malam itu.

Jenny, sepertimana Mac, sudah menemani Sheila seawal penyanyi itu melangkah ke dunia muzik dan kolaborasi mereka yang menyerlahkan keutuhan ikatan sebuah persahabatan tentunya cukup peribadi.

Rahsia Hati yang menyusul mungkin buat dewan yang full house agak krik krik tanpa menyedari keupayaan Sheila dalam penulisan lagu dan lirik. Sempat, saya membayangkan Wajah Rahsia Hati yang dirakamnya bagi runut bunyi filem Ali Setan yang juga filem pertamanya yang memperkenalkannya ke layar lebar sebagai Tipah pula diberi mood… broadway, mungkin?

Medley Gerimis Semalam, Kepergianmu dan Di Suatu Persimpangan berlagu, diikuti Hasrat Cinta sebelum Wira Hatiku yang dirakam bagi runut bunyi filem Juang sebagai penghargaan buat barisan hadapan kala negara berdepan pandemik.

“Sheila bikin sebak lewat Ku Mohon dengan lirik nukilannya sehingga ada audiens, termasuk teman yang bersama saya, malam itu menitiskan air mata. “There’s something about her lyrics… “

JIMMY BOYLE, P RAMLEE DAN MALAM YANG MENYENTUH RASA

DISAJIKAN playback video mendiang Jimmy Boyle sementara Sheila ke belakang pentas, ia bagai menjanjikan malam yang lebih hangat bakal menanti sambil menjangkakan gaya ekstravaganza daripadanya.

Segmen kecil buat komposer dan pemain piano jazz asal Pulau Pinang itu, suatu yang tidak diduga, sebetulnya meneruskan malam dengan ungkapan indah rendisi Jauh Jauh, lembut oleh Sheila. Lagi wira diangkat Sheila, biar menulis sekitar 350 lagu, banyaknya patriotisme, dengan judul seklasik Putera Puteri, juga Kemegahan Negaraku yang dimainkan pada hari menjelangnya penubuhan Malaysia pada 1963, hakikatnya Jimmy Boyle belum bertakhta sepenuhnya di hati, hatta Malaysia sendiri.

Ia membuat saya tertanya sendiri apakah ada yang peduli, tapi seperti kata Sheila pada perbualan singkat kami usai konsertnya, “Kita kenalkan dulu pada Malaysia apa itu Big Band. Dan nanti mungkkin boleh ada versi sepenuhnya Jimmy Boyle, malah mungkin P Ramlee atau Saloma pula.”

Ah! Apalah maknanya malam bersama Sheila tanpa tribute yang jarang tidak diberikannya buat Seniman Agung P Ramlee. Medley Aduh Sayang, Getaran Jiwa, Bunyi Gitar, Tiru Macam Saya dan Manusia bikin audiens separa dalam prahara yang mengasyikkan.

Ada lagu, antaranya Larut Malam yang ingin saya dengar dibawa, atau mungkin lagu yang luar daripada kebiasaannya. Kerana karya P Ramlee, juga seperti Boyle, dilahirkan di Pulau Pinang, yang sebahagiannya berilhamkan syair, qasidah atau burdah, dan saya hanya dapat membayangkan keunikan versi Big Bandnya kelak.

Legenda daripada album tributenya buat P Ramlee pada 1990 disambut penuh perasaan oleh audiens, sebelum Sheila bikin sebak lewat Ku Mohon dengan lirik nukilannya sehingga ada audiens, termasuk teman yang bersama saya, malam itu menitiskan air mata.

“There’s something about her lyrics,” kata teman itu, menjelaskan sisi lain Sheila yang jarang diperhatikan.

“… tapi perlu diakui citarasanya dalam muzik dan aura gergasi di sebalik tubuh kecilnya yang meletaknya dalam kelasnya yang tersendiri.”

Dia yang menyusul, mula dinyanyikan penyanyi jazz Indonesia, Vina Panduwinata dan juga diidolakan Sheila, perlahan membuai audiens yang tenggelam dalam memori indah cinta, tentunya. Cinta terus mengulit malam lewat Cinta Jangan Kau Pergi, sebelum gema suara audiens nyaris menenggelami Sheila kala karya Allahyarham Odie Agam, Antara Anyer dan Jakarta dimainkan.

Fans melempiaskan rindulewat Aku Cinta Padamu, sedang Warna bikin ramai tidak senang duduk, ikut menari. Dan biar berapa ribu kali Sheila harus menyanyikannya, dia tahu dan audiensnya pun tahu, malam bersama Sheila Majid tidak akan sempurna sehinggalah dia memberikan Sinaran.

Biar saya mungkin masih cuba untuk membiasakan Sheila dengan kostum hitam datar ala sut double breast pada separuh pengakhiran malam, saya harus mengakui keindahan rendisi bersama Big Bandnya.

Ada lagi lagu yang boleh dipertimbangkan untuk bunyian saksofon dan trumpet bandnya, tapi perlu diakui citarasanya dalam muzik dan aura gergasi di sebalik tubuh kecilnya yang meletaknya dalam kelasnya yang tersendiri. Kerana itulah yang menjadikan dia, ladies and gentlemen, Sheila Majid.