<em>Revival</em> Nasyid Zawfan
Ingin genre bakal gemilang lagi, scene nasyid 90an jadi inspirasi.

Oleh Zurina Waji | Foto PapaDin

“… balik kepada harmoni vokal dan perkusi yang orang lama tak buat dan kami merasakan mahu membuatnya semula dengan lirik-lirik asuhan yang bukan saja memberi kesan kepada kanak-kanak, malah masyarakat.” – Fadzli

BUKAN rahsia bahawa single Zawfan, Rasul Kita diinspirasi daripada 25 Rasul yang merupakan hit 90an kumpulan nasyid terkenal, Raihan. Inspirasi Raihan malahan dihadirkan dalam pendekatan muzik trio ini yang memperdengarkan pergendangan dan harmoni vokal semata.

Dan tambah jelas apabila Ramadan menyaksikan kolaborasi mereka dengan Narey Johani, bekas ahli Raihan menerusi single Bismillahir Rahmanir Rahim menyusuli sebelum usahasama dengan beberapa ikon nasyid lain.

“Kerana kami membesar dengan lagu-lagu nasyid 90an, terutamanya Raihan,” kata Hafiz Tarmizi yang merencana Zawfan, sebuah projek sampingannya yang turut digerakkan bersama adiknya, Yasir Tarmizi selain rakannya, Fadzli Radzi.

“Sama seperti muzik yang diketengahkan Zawfan, iaitu 100 peratus konsep pergendangan, perkusi dan harmoni vokal saja. Tiada unsur gitar, string atau alat tiupan dalam muzik yang dibawa oleh Zawfan.”

Jelasnya yang juga sebahagian daripada ahli kumplan nasyid, Miwarna, Rasul Kita yang mula diperdengarkan di platform media sosial Zawfan, tahun lalu sememangnya disasarkan untuk kanak-kanak.

“Ya, sebuah Ia nasyid asuhan, memang disasarkan untuk kanak-kanak,” celah Yasir, ahli termuda   Zawfan. “Sebagaimana kita semua membesar dengan 25 Rasul sejak lebih 20 tahun lalu, kami merasa perlu ada sedikit kesinambungan, lalu lahirlah Rasul Kita.

Ia, menurut Fadzli pula, bertepatan dengan usaha Zawfan untuk membangkitkan semula melodi ala Raihan yang memperdengarkan nasyid mereka ke seluruh pelusuk dunia, dari Nusantara ke Eropah, malah sampai ke Afrika.

“Jadi, kita balik kepada harmoni vokal dan perkusi yang orang lama tak buat dan kami merasakan mahu membuatnya semula dengan lirik-lirik asuhan yang bukan saja memberi kesan kepada kanak-kanak, malah masyarakat,” katanya.

“Muzik itu diiktiraf dunia dan inilah tradisi kita, inilah kekuatan kita dalam kebudayaan kita. “Ini yang kami mahu mekarkan semula setelah hilang seketika.” – Yasir

Yasir yang mendengar, mengangguk seraya menambah, “Main pergendangan, tengok nasyid yang awal dulu, inilah bunyinya. Jika didengar (nasyid) hari ini, masih adakah bunyi sebegitu? Sudah tiada, bukan.

“Itu yang Zawfan mahu hidupkan semula, iaitu muzik yang kita rindukan dan kami rasa diterima ramai, baik kanak-kanak mahu pun dewasa. Itulah bunyian paling asas dalam nasyid, iaitu gendang, kompang, cukup asas,” katanya.

“Dan menariknya, bunyian negara kita itu melimpah pada era 90an, meliputi Asia Tenggara, malah sampai ke Australia, Eropah dan turut diiktiraf mendiang Ratu Elizabeth II dari England. Muzik itu diiktiraf dunia dan inilah tradisi kita, inilah kekuatan kita dalam kebudayaan kita.”

Tambah Fadzli, “Ini yang kami mahu mekarkan semula setelah hilang seketika.”

“Ini kerana, banyak kumpulan nasyid arus perdana cenderung kepada pop dan kami rasakan perlu ada revival format yang kami rindui.”  – Hafiz

Berusia belasan tahun semasa Raihan merupakan fenomena, kecenderungan muzik Zawfan mengembalikan nostalgia pada pengaruh nasyid 90an yang tidak terbatas pada agama, mahu pun latar belakang pendengarnya.

Keinginan ini, menurut Hafiz, dikongsi ketiga-tiga mereka yang bersatu di bawah Zawfan, bersempena satu nama fiksi yang melambangkan sebuah tempat Islam ditegakkan, diambil daripada sebuah lagu ciptaan komposer dan penyanyi, Yassin Sulaiman yang pernah dirakam Miwarna.

“Ia jugalah yang membawa kepada penubuhan Zawfan setelah tertanya-tanya sendiri ke mana perginya muzik seperti yang pernah dibawa Raihan dulu? Iaitu, semasa kami berusja dalam lingkungan 17, 18 tahun. Itu buat kami berasa kami perlu mengembalikan itu semula.

“Ini kerana, banyak kumpulan nasyid arus perdana cenderung kepada pop dan kami rasakan perlu ada revival format yang kami rindui. Jadi, pada 2020, bermula dengan lagu-lagu saduran di laman Facebook Zawfan Offical yang meraih sambutan selain di lapangan pun, misalnya semasa menjadi juri pertandingan nasyid, peserta masih lagi dengan kompang, pergendangan dan vokal harmoni, format dipakai guna lebih 20 tahun lalu.

“Cuma di arus perdana, muzik nasyid sudah tidak begitu dan kami cuba mengisi kelompongan dalam industri nasyid tanahair,” katanya yang turut berkongsi bagaimana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu menyaksikan lebih 50 lagu saduran dihasilkan Zawfan, termasuk daripada kumpulan Nadamurni, Senada dan Rabbani.