Vokalis Baru? Tak Masalah Buat Samsons Gegar KL
Di Samsons 20th Anniversary Live Concert in Malaysia 2023 pada 29 April ini

Oleh RUMI

Memang saya masih kerdil kerana baru dua tahun sedangkan mereka (Samsons) sudah 20 tahun bermuzik, namun… “ – Adrian

SEPULUH tahun. Itu kali terakhir Samsons menemui para penggemarnya di tanahair semenjak band asal Indonesia itu bikin banyak hati terpaut dengan lagu Kenangan Terindah yang masih digemari sampai kini.

Biar berganti vokalis, ia juga tidak menghalang Samsons yang meletakkan Adrian Martadinata terus memperkukuhkan kedudukan band itu yang dijadual hadir ke Kuala Lumpur untuk konsert. April ini sempena meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannya.

Adrian yang juga pencipta Ajari Aku dan dipopularkan oleh penyanyi terkenal tanahair, Anuar Zain, mengakui tidak dapat mengelak daripada dibandingkan dengan Bams yang telah meninggalkan Samsons pada 2013 dan diganti Ariadinata sebelum dia dilamar.

“Itu biasa,” katanya mengenai perbandingan yang sering dibuat, namun tidak melihatnya sebagai halangan buat Samsons mementaskan sebuah persembahan energetik, sesuai dengan 20 tahun jenama band itu sendiri.

“Memang saya masih kerdil kerana baru dua tahun sedangkan mereka (Samsons) sudah 20 tahun bermuzik, namun saya melihat ini sebagai suatu yang tidak dirancang dan berlaku secara semulajadi.”

Bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert ini dianjurkan oleh Ultimate Film Sdn Bhd.

“Perjalanan muzik Samsons selama 20 tahun ternyata menjadi profil yang cukup kukuh buat kumpulan ini,” menurut penganjur dalam satu kenyataan medianya. “Bukan sekadar menakluki peminat di Indonesia, tapi Samsons juga kukuh dalam kalangan peminat di Malaysia. Bagi konsert ini, kami yakin ia akan menjadi satu kejayaan dan dapat mengubati kerinduan peminat Samsons di Malaysia.”

Samsons mempamerkan kematangan dalam hala tuju muzik terkini mereka, jelas menerusi album kelima berjudul V pada 2021 yang membabitkan puluhan pemuzik daripada Budapest Scoring Symphony Orchestra.

Selain Adrian, konsert di Kuala Lumpur akan turut disertai Irfan Aulia yang bermain gitar, Aldri Dataviadi (bass) dan Erik Partogi Siagian (gitar). Bersama Bams, band yang ditubuhkan di Jakarta ini, meraih kemenangan besar pada Anugerah Musik Indonesia menerusi album 2006 mereka, iaitu Naluri Lelaki yang dinobat Album Terbaik, manakala Kenangan Terindah meraih trofi Lagu Terbaik.

Akses

  • 29 April 2023
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8pm

Tiket