“Orkestra, tapi tetap rock.” Lefthanded Rai 40 Tahunnya

Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra, Jun ini untuk band yang selayaknya digelar legenda.

Oleh RUMI | Foto PapaDin

“Kerana kita mahukan muzik yang lebih rileks. Mereka tetap rock, tapi dengan orkestra, muziknya akan jadi lebih lunak.”

JAUH sudah perjalanan band dengan nama Lefthanded ini, sejak dikenali pada 1983 selepas penyertaan dalam pertandingan Juara Rock sebelum menggegarkan scene arus perdana dengan Debunga Wangi, Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi dan Tiada Lagi Kidungmu, antaranya.

Lalu, apa lagi?

“Ada banyak kumpulan rock di Malaysia, tetapi Lefthanded adalah Top 3, seiring dengan Search dan Wings,” kata penganjur, Datuk Ab Razif Asmuni mengenai konsert sempena keraian 40 tahun band itu dalam muzik.

Sambil menyifatkan band yang sinonim dengan pemain gitarnya, Man Kidal, itu sebagai legenda, dia berkata suntikan orkestra lewat Konsert Lefthanded 40 Tahun Rockestra itu dijangka membawa fans bernostalgia dengan lagu-lagu menerusi muzik yang lebih lunak.

“Kerana kita mahukan muzik yang lebih rileks,” katanya mengenai idea penganjuran konsert itu yang tercetus selepas pertemuan pihaknya, Menara Network Sdn Bhd dengan Man Kidal. “Mereka tetap rock, tapi dengan orkestra, muziknya akan jadi lebih lunak.

“Iaitu, muzik yang tidak terlalu bingit dan sedap didengar, sesuailah dengan sebahagian fans Lefthanded yang kini sudah berusia lebih 40 tahun yang tentunya mahu lebih rileks, duduk menonton konsert.”

Konsert berdurasi sekitar tiga jam itu dijangka memperdengarkan sehingga 20 lagu-lagu popular Lefthanded yang akan menyaksikan Datuk Nash (penyanyi) dan Man Kidal kembali dalam sebuah persembahan berskala besar, disertai Hafiz Dayak (dram), Ritz (gitar), Rio Rasul (keyboard) dan Fly (bass).

Akses

  • 3 Jun 2023
  • Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket