Pamungkas Buka Tirai Nusa Fest, 4 Mei Ini
Penyanyi Indonesia ini kembali, bawa mimpi ke Kuala Lumpur, lewat konsert lebih gah.

Oleh RUMI

“… persembahan yang kaya dengan bunyi-bunyian yang padat dan visual menarik yang akan menambah galau para peminat menghayati setiap bait lirik dan melodi hasil kreativiti dan kepintaran Pamungkas sebagai pemuzik.” – Shiraz

PAMUNGKAS, pelantun To The Bone, dijadual kembali ke Kuala Lumpur untuk sebuah persembahan yang lebih intimasi, sekali gus menjadi artis pertama yang membuka tirai siri Nusa Fest yang menghimpunkan pemuzik dan penyanyi solo hebat Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Digelar Nusa Fest Presents Pamungkas, konsert anjuran Shiraz Projects itu akan berlangsung pada Khamis ini, hanya untuk satu malam, di lokasi terkemuka, Zepp Kuala Lumpur.

Pegawai Esekutif Shirazdeen Karim, berkata pemilihan Pamungkas, antara lain berdasarkan sambutan hangat diberikan terhadap penyanyi kelahiran Jakarta itu yang pertama kali bertemu peminatdi Kuala Lumpur pada September, tahun lalu.

“Melihatkan sambutan yang diberikan kepada Pamungkas, tahun lalu, pihak Shiraz Projects dengan bangganya membawa vokalis ini bersama band beliau ke sebuah lokasi lebih intimasi dan menjadi idaman setiap pemuzik.

“Saya percaya lokasi itu akan memberikan sebuah persembahan yang kaya dengan bunyi-bunyian yang padat dan visual menarik yang akan menambah galau para peminat menghayati setiap bait lirik dan melodi hasil kreativiti dan kepintaran Pamungkas sebagai pemuzik,” katanya.

Pamungkas, kali pertama hadir ke Kuala Lumpur bagi siri jelajah Asia Tenggaranya, Birdy South East Asia Tour yang membabitkan 12 lokasi persembahan, termasuk Filipina dan Singapura, selain Malaysia. Jelajahnya itu berakhir di Jakarta pada 25 Februari lalu.

To The Bone, antara lagu yang menjulang nama Pamungkas selepas ia memecah rekod di Spotify pada 2021 sebagai lagu paling banyak didengari, selain menduduki tangga paling lama dalam carta Indoensia Top 50.

Selain To The Bone, lagu lainnya yang turut popular ialah Kenangan Manis, Sorry dan One Only.

Akses

  • 4 MEI 2023
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket