<em>Rentak Bumi 2.0</em> Teroka Seni Tari Malaysia
KEUNIKAN warisan tarian pelbagai budaya Malaysia, merangkumi tarian kontemporari, tradisional dan moden akan menemui penggemar seni menerusi sebuah produksi berskala tinggi yang digelar Rentak Bumi 2.0.

Oleh RUMI

“Datang, saksikan kemegahan dan kekayaan kesenian tarian Melayu, Cina dan India dalam sebuah rangkuman persembahan tarian tradisional sehinggalah moden dalam produksi Rentak Bumi 2.0.” – Ramli Ibrahim

KEUNIKAN warisan tarian pelbagai budaya Malaysia, merangkumi tarian kontemporari, tradisional dan moden akan menemui penggemar seni menerusi sebuah produksi berskala tinggi yang digelar Rentak Bumi 2.0.

Bakal dipersembahkan secara langsung, naskah yang menjanjikan kepuasan serta pengalaman visual yang tiada bandingannya itu juga merupakan adaptasi pementasan Rentak Bumi yang pertama kali diadakan secara maya ketika negara melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik yang melanda dunia.

Rentak Bumi merupakan hasil cetusan idea Dua Space bersama DiDance dan Yayasan Sutra. Persembahan tarian yang mempromosi kekayaan dan keunikan pelbagai budaya di Malaysia itu diilhamkan para pengarah artistik, iaitu Anthony Meh dan Aman Yap daripada Dua Space, Datuk Ramli Ibrahim (Yayasan Sutra) dan Zaridah Abdul Malik (DiDance) sebagai salah satu program di bawah Arts For All Season (ArtFAS), satu inisiatif anjuran Yayasan Hasanah.

Ramli, menerusi kenyataan medianya, melahirkan harapan agar peminat seni dan masyarakat Malaysia secara amnya tidak melepaskan peluang menonton pementasan tarian Rentak Bumi 2.0 yang penuh ekstravaganza itu.

“Datang, saksikan kemegahan dan kekayaan kesenian tarian Melayu, Cina dan India dalam sebuah rangkuman persembahan tarian tradisional sehinggalah moden dalam produksi Rentak Bumi 2.0,” katanya, seraya merakam penghargaan kepada ArtsFAS.

Yayasan Sutra, menerusi Rentak Bumi 2.0 dijangka mempersembahkan tarian Tryambakam dan Jonjoti Pallavi. Ornaments of Grace yang menampilkan estetika unik tarian Cina, antara yang dapat dinikmati daripada Dua Space, selain Palu Sa-Iring yang berisi pukulan kompang dan gerakan tarian menarik dipersembahkan DiDance.

Sambil turut melayangkan undangan kepada pelajar seni persembahan ke sesi perkongsian khas, Behind the Making of Rentak Bumi pada 18 Disember nanti, bermula jam 6 petang, Ramli juga berharap peluang untuk mengenali para pengarah artistik yang merupakan minda kreatif di sebalik penghasilan persembahan tarian di dalam Rentak Bumi itu tidak akan dipersiakan.

Akses

  • 16 – 18 Disember 2022
  • Panggung Bandaraya DBKL, Jalan Raja, Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket