Bunkface dan Kunto Aji, Antara Artis 3 Negara Rai Nusa Fest, Februari 2023
Tiga tahun tergendala, Nusa Fest kembali dengan gabungan artis Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Oleh RUMI

“Dijadual berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi pada awal Februari depan, Pengarah Urusannya, Shiraz, mengesahkan kehadiran hampir 20 band dan penyanyi solo hebat yang akan menyajikan muzik hebat dan bermutu sepanjang dua hari festival itu.”

NUSA Fest, satu-satunya festival seumpamanya yang berupaya menghimpun puluhan band dan penyanyi solo hebat Malaysia, Indonesia dan Singapura menambah debaran dengan pengumuman fasa pertama artisnya oleh penganjur, Shiraz Projects Sdn Bhd, baru ini.

Dijadual berlangsung di Bandar Malaysia, Sungai Besi pada awal Februari depan, Pengarah Urusannya, Shiraz, mengesahkan kehadiran hampir 20 band dan penyanyi solo hebat yang akan menyajikan muzik hebat dan bermutu sepanjang dua hari festival itu.

Dari Malaysia, Nusa Fest bakal menampilkan persembahan Budak Nakal Hujung Simpang, Forceparkbois, Gerhana SkaCinta, Iqbal M., Jemson, Salammusik dan White Percussion Unit, selain Bunkface.

Indonesia pula akan diwakili Burgerkill, Dipha Barus, Diskoria, .Feast, Fourtwnty, Hindia, Kelompok Penerbang Roket, Pusakata dan Ras Muhamad, selain Kunto Aji. Manakala Singapura menampilkan The Pinholes, setakat ini.

Sambutan awal terhadap penganjuran Nusa Fest, menurut Shiraz bagai memberi petanda tentang kemeriahan yang bakal dirasai, terutamanya tiket pra-jualan yang habis dijual dalam masa lima hari walaupun nama artis belum diumumkan, ketika itu.

“Pengumuman Nusa Fest diawali hanya dengan tarikh dan tempat, sekali gus menimbulkan reaksi daripada khalayak,” kata Shiraz, merujuk sebaran awal di @shirazprojects dan @nusafest.my. “Namun kami percaya rakyat Malaysia, khususnya memang sentiasa memberikan sokongan padu terhadap industri seni tanahair.

“Buktinya tiket pra-jualan telah habis dijual walaupun kami hanya memberi bayangan persembahan di laman sosial tanpa sebarang nama. Saya percaya dengan sokongan semua, Nusa Fest akan dapat dijayakan dengan meriah dan menepati konsep festival yang diinginkan.”

Pengumuan fasa berikutnya akan dibuat dari masa ke semasa.

Akses

  • 4 & 5 Februari 2023
  • Bandar Malaysia, Sungai Besi
  • 12pm – 12am

Tiket

  • EARLY BIRD – RM300 (dijual 6 Disember, 4pm – 9 Disember); BUNDLE OF 4 – RM1,200 dan NORMAL – RM350, kedua-duanya dijual bermula 6 Disember, 4pm sehingga hari persembahan.
  • Dapatkan di www.myticket.asia atau hotline 03 86050196/ Info hotline 012 2560082
  • Info lanjut di FB Nusa Fest/ IG nusafest.my atau layari www.nusafest.com