Menanti Sebuah Jawaban di <em>25 Tahun Padi Reborn</em>
Di balik filosofi dan syair yang mencengkam rasa bawaan band dengan nama asal Padi.

Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid

“Ini masih Padi saya, Padi yang pernah menggugah rasa dengan syair mereka.”

LAMA. Cukup lama, sebetulnya semenjak kali terakhir saya menghadirkan diri dalam konsert yang menampilkan band kelahiran Surabaya ini. Sudah berbelas tahun, barangkali sejak konsert di Jakarta itu, semasa mereka masih memakai nama Padi.

Jadi, wajar saja apabila Konsert 25 Tahun Padi Reborn diberitakan akan dibawa Qew Communications Sdn Bhd, lagu-lagu mereka yang pernah menyinggah dalam hidup dulu mula bermain di kepala.

Saya mengenali Padi seawal debut Lain Dunia mereka yang menawarkan, antaranya lagu Begitu Indah pada 1999 selepas mula meraih perhatian penggemar muzik dengan jalur pop rock dan bau alternatif mereka menerusi single Sobat.

Ia mengingatkan tentang bukan hanya disebabkan rasa ingin tahu yang hadir kala mendengar mainan gitar mereka lewat susunan yang membantai dengan pengaruh U2, antara band yang saya gemari, tapi lebih ditarik oleh filosofi yang diangkat para ahlinya di balik nama Padi itu sendiri.

Bukan aneh pula apabila mereka kembali selepas dua tahun dan menghadiahkan Sesuatu Yang Tertunda, saya sudah pun jatuh cinta pada masa itu. Buah tangan kedua itu, saya kira harus diakui menyerlahkan intipati, sekali gus keupayaan Padi untuk bakal sekelas band berpengaruh lain Indonesia.

Satu hikmah juga kerana dua tahun tertunda itu memberikan mereka ruang untuk membina nama sebagai Padi selepas menjalin perisa U2 pada kemunculan awal, sambil sosok seperti Iwan Fals, antara legenda muzik Indonesia membentuk mereka sepertimana ramai pemuzik muda republik itu.

Sesuatu Yang Tertunda,sempat menggegarkan persada muzik Indonesia, juga tanahair, dengan penjualan album menjangkau hampir 2 juta salinan, seterusnya diangkat sebagai sebuah mahakarya. Pantaslah apabila Bayangkanlah dilontarkan Padi yang kekal dengan Fadly sebagai vokalisnya, Piyu dan Ari yang bermain gitar, Rindra (bass) dan Yoyo (dram), sebagai pembuka panggung di Kuala Lumpur, baru ini dengan keasyikan yang pernah diberikan lebih 21 tahun lalu.

Dengan Padi, saya memilih untuk bernostalgia, rela membiarkan diri tenggelam dalam perasaan buat seketika, dengan syair yang merasuk seperti Perjalanan Ini, Seandainya Bisa Memilih, Rapuh dan Hitam.

“…  diberikan kejutan suara jazzy Datuk Sheila Majid yang keluar menyambut Kasih Tak Sampai dalam duet dengan Fadly, seraya memberikan momen cukup manis untuk disimpan.”

Konsert 25 Tahun Padi Reborn ini, menurut saya, harus menghadiahi penggemarnya momen yang mampu melunaskan kerinduan terhadap band ini yang menurut Fadly, sebelum ini sempat tujuh tahun menyepi gra-gara “ego yang sangat tinggi.”

Saya akui tidak pasti harus berperasaan seperti apa dengan kembalinya band ini sebagai Padi Reborn. Saya menonton, sedkit skeptikal namun pesona dan rendah diri, sebagaimana saya bertemu mereka pertama kali dulu, memberitahu filosofi semangat padi yang semakin berisi, semakin merunduk itu masih dijunjung.

Sistem bunyi mungkn bukan yang terbaik, tapi kelunakan suara Fadly, persembahan yang padat dan kebersamaan yang dipamer, saling melengkapi, memperjelaskan kematangan dalam persaudaraan dan muzik mereka.

Ini masih Padi saya, Padi yang pernah menggugah rasa dengan syair mereka.

“Bagai bintang yang bersinar menghibur yang lelah jiwanya. Bagai bintang yang berpijar menghibur yang sedih hatinya.” Dan lantunan Sang Penghibur daripada album 2005, Tak Hanya Diam antara yang menyedarkan saya tentang kekayaan karya mereka.

Zepp Kuala Lumpur yang diisi 2,400 penggemar Padi turut melayani malam, antaranya dengan Sesuatu Yang Indah, Mahadewi, Semua Tak sama sebelum diberikan kejutan suara jazzy Datuk Sheila Majid yang keluar menyambut Kasih Tak Sampai dalam duet dengan Fadly, seraya memberikan momen cukup manis untuk disimpan.

Antara Anyer dan Jakarta, diikuti Warna mengotakan janji Padi untuk menyanyikan hits Sheila yang juga antara sosok dikagumi mereka. Tak hanya Sheila, Padi menzahirkan lagi kekaguman kala petikan gitar Fadly mendekati penghujung malam dengan akustik Mencari Alasan.

Antara hits Exists itu mengingatkan saya tentang perbualan kami, kali pertama dulu tentang band asal Johor itu yang disebut turut mempengaruhi Padi lantaran “lagu Exists antara yang sering kami mainkan dalam latihan sejak kuliah.”

Begitu Indah, jelas menjadi antem sobat Padi yang menyempurnakan keraian ke-25 Padi Reborn ini biarpun ada ketikanya, secara peribadi, momen Kasih Tak Sampai mengirim bait-bait “tetaplah menjadi bintang di langit…” yang mengusik rasa dan bikin sesak dada.

Atau, mungkin kerana ada kerinduan yang terlalu lama terpendam. Mungkin.