<em>Barbarik Pentas Keras</em>, Ekspresionisme Rock Jo Branko-Muss
Paduan dua sosok dikagumi dunia muzik tanahair dalam satu konsert di bawah panji Barbarik, buat julung kalinya.

Oleh Zurina Waji | Foto Papadin

“… ada satu (lagu) tu dark. Inilah dia, Mr Barbarik. Wings ada 17 album dan pada era saya ada satu lagu yang saya buat dark. Ada putih, putih, putih tiba-tiba ada satu hitam. Inilah dia, selepas lebh 20 tahun.” – Jo Branko

ADA papan putih dipenuhi contengan, di satu ruang di dinding, di studio milik Jo Branko di ibukota. Ditanya, komposer, penerbit dan pemain gitar terkenal itu melirik ke dinding, senyum sambil berkata, “Oh! Senarai lagu tu?”

Ada lebih 20 lagu disenaraikan bagi malam persembahan Barbarik Pentas Keras pada 24 Disember ini, diinspirasi daripada Mr Barbarik, album studio ke-11 kumpulan Wings yang dianggotainya selama 28 tahun sebelum keluar pada 2016.

Jo dikenali bukan saja kerana tampangnya tapi lebih disebabkan keunikan mainan gitarnya dalam mengekspresikan muziknya, sekali gus ikut mencorakkan bunyi Wings yang dibentuk seawal penyertaannya pada 1988 menerusi album Hukum Karma.

Muss yang menyertai temubual, mencelah, “Bila dah berlatih, alamak 20 lagu? Saya ingatkan, ‘Jo, kita ni umur dah 50 lebih, lu nak buat macam umur 20,30 (tahun) tak terbuat nanti.’ Pentas Keras bukanlah bebanan tapi menuntut saya untuk fokus, beri 110 peratus energi, masa dan segalanya. Dah faham konsep Jo, saya okay. Biar pun 20 lagu, ada dinamikanya dalam persembahan.”

Tegas Jo, Pentas Keras dirancang begitu kerana dia yakin dengan keupayaan Muss.

“Ia sebagaimana Mr Babarik dulu dihasilkan kerana saya melihat keupayaan vokal Muss yang boleh lawan mainan gitar saya, ada fight. Bersama Allahyarham JS Kevin (komposer, penulis lirik), ia dihasilkan sebagai satu ekspresi kepada satu-satu peristiwa.

“Seperti juga album Wings yang saya buat, ada satu (lagu) tu dark. Inilah dia, Mr Barbarik. Wings ada 17 album dan pada era saya ada satu lagu yang saya buat dark. Ada putih, putih, putih tiba-tiba ada satu hitam. Inilah dia, selepas lebh 20 tahun.”

“… pencahayaan bagi menghidupkan konsep konsert rock era 80an dan 90an. Apa yang pasti, Pentas Keras akan menjadi sebuah persembahan yang energetik, macam kami muda malam itu. Masih ada eksperimen, lepas geram. Rock mesti ada unsur lepaskan ekspresi tu.” – Jo Branko

Muss, kini 54, mengakui, tidak pernah menduga akan dapat bersama Jo semula di bawah panji Barbarik.

“Sebab itu, Barbarik satu yang mengejutkan. Selepas Mr Barbarik dilahirkan, saya keluar daripada Wings, kemudian Jo dan jadi tergantung. Bila Jo membayangkan untuk kita gabung semula menerusi Pentas Keras, ini masanya untuk kita realisasikan apa yang dirancang lebih 20 tahun itu,” katanya, mengenai konsert anjuran Anggerik Event Sdn Bhd itu.

Lama tertunda, Jo, 53, menganggap konsert yang diadakan pada tahun ke-22 Mr Barbarik dikeluarkan adalah masa yang sesuai selepas album yang memuatkan lagu seperti Keris Tak Bersarung, Mayang Sulit dan Inspirasi Syakilla itu kembali hangat pada 2017.

“Ia tercetus seawal 2017 selepas pendengar generasi kelahiran 90an mula beri perhatian kepada album itu, mungkin sebab kena dengan jiwa, banyak lagu heavy. Saya anggap ia sebagai urusan yang belum selesai dan perlu direalisasikan,” kata pemuzik asal Johor itu.

Mr Barbarik, pada awal kemunculannya, ketika Muss merupakan vokalis Wings, akui Jo agak sukar diterima. Bukan saja muzik yang lebih keras, katanya lirik yang ditampilkan juga tidak lagi berkisar mengenai wanita dan percintaan, namun cenderung pada kerohanian, dakwah.

Akui ada banyak lagu keras pada malam itu nanti, namun sebahagiannya dibuat susunan baharu agar persembahan jadi segar, memberi rasa kejutan kepada audiens dengan setiap lagu ada hubung kaitnya. Keyboard, bunyi-bunyian piano antara penambahan yang dibuat.

“Juga daripada segi produksi, terutamanya pencahayaan bagi menghidupkan konsep konsert rock era 80an dan 90an. Apa yang pasti, Pentas Keras akan menjadi sebuah persembahan yang energetik, macam kami muda malam itu. Masih ada eksperimen, lepas geram. Rock mesti ada unsur lepaskan ekspresi tu,” kata Jo.

Ditanya seberat manakah konsert itu kelak, dia teruja memberitahu: “Akan ada segmen kita main lima lagu non-stop! Biar pun umur dah begini, kami masih buat. Bukan medley, jadi mungkin untuk setengah jam itu audiens tidak sempat pun nak bercakap akan masuk lagu lain.

“Jalan nak ke lagu itu yang kita buat kasi cantik dengan produksi, pencahayaan. Saya all out untuk pencahayaan, nak orang puashati dan macam konsert era 80an mana ada LED tapi main pencahayaan.”

Mengenai pemilihan Mael XPDC, Asheed Def-Gab-C dan bekas vokalis Wings, Mel sebagai penyanyi undangan, Jo berkata kesemua mereka mempunyai kaitan dalam sejarah perjalanan band berkenaan.

“Mael pernah berduet dengan Muss semasa Double Trouble 2 dulu menerusi lagu Nasib Kita yang turut disukai ramai rockers. Asheed pula terbabit dalam album Mencari Asal Usul, juga duet bersama Muss. Mel untuk segmen lebih rileks tapi semua lagu itu akan jadi suatu yang berbeza, disesuaikan dengan masa kini supaya rasa segar.

“Kita dah mula (berlatih) lebih dua bulan. Kita dah bersedia sebenarnya. Kerisauan, jika ada pun, moga kita diberi kesihatan yang baik. Elak demam, takut itu saja,” katanya.

Akses

  • 24 Disember 2022
  • Zepp Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

  • RM188 (CAT 1, Standing), RM368 (CAT 2, Premium Seat). RM268 (CAT 3, Normal Seat)
  • Daptkan di www.ticket2u.com.my
  • Atau, beli secara offline dengan Whatsapp ke 019-3681917/ 012-2746604
  • Untuk pertanyaan, emel ke barbarikpentaskeras@gmail.com