<em>Noah Live in KL</em> Yang Paling Dinantikan
Band rock Indonesia dalam sebuah konsert luar biasa yang dipersembahkan YOLO Malaysia.

Oleh Zurina Waji

“Dijanjikan dengan sebuah persembahan bertenaga dan memukau, Noah yang dikenali dengan lagu seperti Bintang di Surga, Separuh Aku dan Mungkin Nanti dijangka memberikan sebuah malam yang lebih intim dengan audiens.”

“PENGALAMAN luar biasa, 90 minit tanpa henti dengan hits sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik,” kata Penerbit Kreatif YOLO Malaysia, Hamka Mohd Taufik mengenai konsert Noah, malam esok.

Dijoloki konsert paling ditunggu-tunggu, band yang sudah 10 tahun berdiri sebagai Noah itu dengan Ariel selaku frontman, selain merupakan pengubah dan penerbit muzik, turut dianggotai Lukman, gitaris dan David, pemain keyboard.

Dijanjikan dengan sebuah persembahan bertenaga dan memukau, Noah yang dikenali dengan lagu seperti Bintang di Surga, Separuh Aku dan Mungkin Nanti dijangka memberikan sebuah malam yang lebih intim dengan audiens.

“Pada malam konsert nanti juga, tiga pemuzik profesional akan mengiringi persembahan Noah dan ada kejutan bakal dipersembahkan. Nak tahu apa kejutannya kenalah hadir,” katanya, memetik kenyataan medianya, memancing fans ke konsert di Zepp Kuala Lumpur itu.

Kehadiran band yang dikenali sebagai Peterpan, sebelum ini dilihat turut bakal memperkukuhkan kedudukan YOLO sebagai penganjur acara yang kian berpengaruh setelah penganjuran konsert seperti YOLO Live Sessions: 3 Generasi yang menghimpunkan Spider, Noh Salleh dan XPDC.

Noah, menurut Penerbti Eksekutifnya, Haniff Hamzah, memperlihatkan keupayaan YOLO untuk membawa band terkenal luar negara selepas enam siri YOLO Live Sessions yang menampilkan pemuzik hebat tempatan.

“… kehadiran Noah juga dilihat sebagai menyambung bahang muzik rock selepas persembahan memukau dan all-out Spider, Noh Salleh dan XPDC, sebelum ini.” – Ib Harun, Pengasas YOLO Asia

“YOLO Malaysia kini bersedia menerobosi lapangan hiburan muzik yang lebih unggul. Setelah enam konsert YOLO Live Sessions dengan membawa aksi hebat pemuzik tempatan, kini YOLO Malaysia maju setapak lagi dengan memberikan persembahan oleh band terkenal luar negara,” katanya.

“Sebagai permulaan, kami bawakan artis dari rantau Asia Tenggara dan buat pertama kalinya dalam sejarah hiburan tempatan, kami mempersembahkan sebuah band ternama dari Indonesia, iaitu Noah.”

Noah Live in KL adalah yang pertama sepenuhnya membabitkan artis luar selepas Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur, minggu lalu yang dianjurkan secara kerjasama dengan Tanjak Adventure & Tour dan Udzir Harris Projects selaku penyelaras.

Pengasas YOLO Asia, Ib Harun, dalam satu kenyataannya, berkata kehadiran Noah juga dilihat sebagai menyambung bahang muzik rock selepas persembahan memukau dan all-out Spider, Noh Salleh dan XPDC, sebelum ini.

“Demi menyambung bahang muzik rock itu sendiri, kami bawakan Noah yang mempunyai ramai peminat di Malaysia. Pemilihan Noah dibuat atas dasar kemampuan mereka mengadakan persembahan yang pastinya dapat dirasai setiap pengunjung konsert nanti. Ini hanyalah permulaan,” katanya.

Berbesar hati dengan sambutan terhadap Noah, Ib juga menaruh harapan agar pembeli tiket dapat merasai pengalaman luar biasa kelak dengan apa yang telah dirancang YOLO yang menjanjikan pengalaman berbeza pada setiap konsertnya.

Info lanjut boleh didapatkan dengan melayari laman web yoloasia.com