Perihal Cinta, Terbang Bersama Gigi
Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur menghadiahkan jawapan yang membuat ramai melayang.

Oleh Zurina Waji | Foto Tanjak Global

“Masih, band ini tidak menjadikannya alasan untuk memberikan persembahan separuh hati. Biar ada masanya, Armand tergelincir sedikit dalam nyanyiannya, jujurnya siapa peduli?”

“DIA sakit, batuk-batuk dari Jakarta lagi,” bisik teman yang menguruskan band dengan nama Gigi itu selama di Kuala Lumpur untuk konsert mereka, dengan wajah prihatin, tentang kondisi Armand Maulana, vokalisnya.

Saya membelek jam, kurang setengah jam sebelum konsert dijadual bermula. Gigi punya reputasi showmanship yang melegenda dan sepertimana ramai penggemarnya pasti menjangkakan Armand dan bandmatenya akan all-out, malam itu.

Sudah 14 tahun berlalu semenjak band asal Indonesia itu membuat persembahan di Malaysia, itu pun berkongsi pentas dengan Incubus dan John Legend pada Sunburst KL International Music Festival.

Kembalinya mereka ke Malaysia selepas menambat hati peminat muzik tempatan lewat single, Terbang pada 1999 tentunya diharap dapat melunaskan kerinduan yang lama ditanggung. Gigi: Nakal di Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur, minggu lalu adalah konsert kedua mereka selepas Konsert Ekseklusif Bersama Gigi hampir 20 tahun lalu.

Dan kerinduan itu tak hanya pada energetiknya Armand di pentas, malah kesatuan Gigi sendiri sebagai sebuah band musisi yang sangat kompak – Dewa Budjana, gitaris yang sentiasa bikin hanyut; kegilaan Thomas Ramdhan, pemain bassnya dan Gusti Hendy, drummer muda yang memberi ekstra nyawa sejak menyertai band ini, 18 tahun lalu.

Lalu, apa perkara paling terburuk yang mungkin berlaku?

“Sendiri, aku berjalan. Tak tahu, apa yang ku lakukan,” dendang Armand, menyusuli bait Ooo.. Ooo.. Ooo yang juga judul lagu pertamanya, disambut audiens malam itu yang membuat saya beranjak berdekatan pentas, di celahan fans tegar Gigi, untuk menikmati band ini dengan lebih dekat.

Disusuli Terbang dan KYK, kerancakan pembukaan Gigi menyaksikan Armand agak berhempas pulas pada Damainya Cinta. Diburu rasa bersalah dan kecewa, bukan mudah tentunya untuk  mengakui “tidak fit” sebagaimana seharusnya, dia berulang kali meminta maaf kerana persembahan yang dikhuatiri kurang mantap.

Masih, band ini tidak menjadikannya alasan untuk memberikan persembahan separuh hati. Biar ada masanya, Armand tergelincir sedikit dalam nyanyiannya, jujurnya siapa peduli?

Kerana audiens menyaksikan Armand berusaha bertahan sepertimana direncana, membawa 20 lagu pada malam Nakal mereka di KL itu, tidak termasuk enam medley, sambil didukung muzik Budjana, Thomas dan Hendy yang tentunya membawa erti besar.

BACA: “29 Tahun Bisa Mencintai Gigi Kerana… ”

“… antara segelintir band yang boleh membuat orang tidak begitu menghitung tentang berapa hits yang mereka miliki. Biar anda mungkin tidak begitu menghafal rangkap lagunya, namun cukup sekali untuk menonton Gigi dan merasa dipaut energi positif yang dipercikkan.”

Bikin show, bagi saya, adalah soal memberi rasa. Cukup tidak dilihat menyanyi ke laut, pada banyak keadaan ia soal kebersamaan, keghairahan yang diberi.

Satu yang kadang menerjah fikiran, malam itu ialah seandainya Armand benar-benar hilang suara dan tidak berupaya meneruskan persembahan. Tapi keghairahan Gigi yang tidak padam, saling mendukung dan menunduk biar dengan status mereka sebagai band papan atas menutupi apa jua kekurangan.

Kehadiran Kikan yang baru kembali bersama Cokelat, antara band popular 90an, tanpa dirancang jadi hikmah buat malam itu yang melantunkan Andai sebagai kejutan, sambil Armand mengakui ruang buatnya melepaskan lelah seketika.

Ternyata, ada cerita dikongsi Kikan yang masih buatnya terharu. “Pernah satu acara, Cokelat masih awal, belum ada Karma dan hits lain-lain,” katanya. “Kemudian satu hari kami sepanggung sama Gigi, Cokelat harus main sebelum Gigi. Di belakang pentas, kita disuruh tukar (giliran), Gigi duluan, Cokelat kemudian. Cokelat satu hits pun belum ada tapi ternyata itu cara mereka menggembleng kami, agar kami harus siap perform bila pun. I really thank you guys for that.”

Melewati separuh malam, Gigi tampil secara akustik, memberikan antaranya medley Di Manakah, Kembalilah dan Perihal Cinta, selain turut memperdengarkan beberapa lagu daripada album religinya, seperti Pintu Sorga.

Vibrasi audiens yang jelas menikmati momen intimasi bersama Gigi seolah memberi energi buat Armand untuk meneruskan malam, antaranya dengan Jomblo yang tidak pernah gagal menghiburkan dan 11 Januari yang berhantu, sebelum Ya… Ya… Ya dan akhirnya, Nakal bagi menyempurnakan malam Gigi buat fans.

Gigi, saya kira, adalah antara segelintir band yang boleh membuat orang tidak begitu menghitung tentang berapa hits yang mereka miliki. Biar anda mungkin tidak begitu menghafal rangkap lagunya, namun cukup sekali untuk menonton Gigi dan merasa dipaut energi positif yang dipercikkan.

Saya teringat Thomas, lewat temubual secara maya dengan media, sebelum ini bersama Tanjak Adventure & Tour yang menganjurkan konsert mereka di Kuala Lumpur dengan kerjasama YOLO Malaysia dan diselaraskan Udzir Harris Projects, memberitahu ingin “bawa sebuah kebahagiaan yang sangat besar buat kalian (fans Malaysia).”

Dan malam itu mengesahkan kenapa mudah untuk mencintai Gigi selama 29 tahun ini.