“29 Tahun Bisa Mencintai Gigi Kerana…”
Selepas 14 tahun, Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur dipersembahkan 5 November ini dengan sebuah jawapan.

Oleh Zurina Waji

“Kata mereka, Gigi sudah sekian (lama) tahun masih berlatih? Buat kami, latihan itu satu tanggungjawab untuk memanjangkan eksistensi dan kredibiliti Gigi di pentas… ” – Armand Maulana

“ORANG bisa mencintai Gigi selama 29 tahun kerana persembahan yang berbeda, esok dia menonton persembahan lain beda lagi. Kerana tanggungjawab kami terhadap karya kami, itu faktor utama,” kata Armand Maulana, vokalis band asal Indonesia ini.

Soal kebertanggungjawaban, antaranya di pentas disebutnya juga sebagai suatu yang dipertahankan sejak dulu.

“Sejak 1994, tanggungjawab itu jadi faktor utama orang atau penganjur atau fans, akhirnya (Gigi) bisa bertahan 29 tahun. Bahkan, dalam kalangan pemain band, pernah semasa kami berbual sesama sendiri, ‘Eh, esok jadi tak nak buat latihan?’, mereka bingung.

“Kata mereka, Gigi sudah sekian (lama) tahun masih berlatih? Buat kami, latihan itu satu tanggungjawab untuk memanjangkan eksistensi dan kredibiliti Gigi di pentas, misalnya. Itu yang tidak disedari, akhirnya orang selalu ingat akan Gigi.”

Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur disebut bakal melunaskan sebuah kerinduan yang sekian lama dipendam selepas konsert terakhir mereka di ibu negara, 14 tahun lalu. Dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, konsert dianjurkan Tanjak Adventure & Tour dengan kerjasama YOLO Malaysia dan Udzir Harris Projects selaku penyelaras.

Selain Armand, band yang mengumpul penggemarnya dengan hit seperti Terbang,Jomblo, Pintu Sorga dan 11 Januari itu turut dibarisi Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram).

Tak kurang 20 lagu akan dipersembahkan pada konsert di ibu kota nanti yang disifatkan Hendy sebagai sebuah “persembahan yang segar”, apatah lagi “selama perjalanan ini, banyak album (dihasilkan) Gigi, daripada pop, religi yang menjelaskan banyak lagi lagu tidak pernah dibawa.”

Sedang Thomas yang turut menyertai bandmate beliau untuk pertemuan secara maya bersama media, baru ini ingin “bawa sebuah kebahagiaan yang sangat besar buat kalian” menerusi konsert 5 November itu nanti.

Tanpa menafikan tempoh lama Gigi menyepi daripada pentas Kuala Lumpur, Armand bagaimanapun yakin dengan kesetiaan penggemarnya, termasuk dalam kalangan warga Indonesia di negara ini, apatah lagi didorong keinginan manusiawi untuk menikmati kebebasan pasca pandemik.

 “Yang jelas, energinya akan lebih besar daripada energi yang kita persembahkan dulu,” katanya, mengakui “belasan tahun (tidak hadir) merupakan tempoh lama untuk tidak bertemu. Usah kita bicara soal Malaysia, malahan daerah di Indonesia yang lama tidak bertemu, energinya lebih besar, apa lagi beda negara.”

BACA: Gigi: Nakal di Kuala Lumpur

“Kita tetap akan bawakan lagu yang tidak bisa dilupakan. Ia satu tempoh yang lama sejak Gigi bertemu fans di Malaysia tapi kami akan hadir dengan satu packaging, showmanship, InsyaAllah yang sangat jujur daripada Gigi… ” – Thomas Ramdhan

Pandemik, menurut Thomas pula, diakui sebagai kejutan yang tidak diduga, awalnya.

“Ya, kita sempat terkejut, tidak bersedia,” katanya, mengimbau awal pandemik pada Mac 2020. “Selepas satu bulan, (merasa) kita malah harus kreatif. Jadi, kita buat rakaman, daripada studio rumah, secara remote dan bikin satu single. Kita bikin onlie gig, tetap ada aktiviti main band.

“Kami berempat tidak dapat melihat bilakah keadaan itu akan berakhir, tapi ya kami jalan saja kerana benar-benar tidak tahu. Jadi, apa pun kita harus bisa main band dan bikin lagu, kemudian selepas dua tahun bisa semuanya berganti lagi. Buat kami, apa pun yang terjadi kami harus bisa main band.”

Kembali mengenai malam konsert mereka di Kuala Lumpur, kata Thomas, walaupun menyedari banyak yang sudah berubah dalam masa lebih 10 tahun ini, Gigi masih ingin bernostalgia bersama penggemarnya.

“Kita tetap akan bawakan lagu yang tidak bisa dilupakan. Ia satu tempoh yang lama sejak Gigi bertemu fans di Malaysia tapi kami akan hadir dengan satu packaging, showmanship, InsyaAllah yang sangat jujur daripada Gigi, benar-benar ada interaktif, komunikasi dengan audiens,” katanya.

Celah Hendy, apa yang boleh dijangkakan ialah Gigi memberikan sebuah persembahan yang mantap.

“Mungkin salah satu yang sering kita bicarakan ialah kita tidak mahu (konsert) sama dengan rakaman. Susunan (lagu) setiap persembahan bakal sesuai dengan kemudahan pentas, penataan lampunya dan kita tidak cuma memainkan lagu itu persis di rakaman, sebaliknya audiens akan rasa live bandnya berbeda,” katanya.

Selain muncul dengan lagu baharu, setiap tahun atau setidak-tidaknya dua tahun sekali yang membantu memanjangkan usia Gigi di arena muzik, Thomas menyimpulkan, ia juga disebabkan “Gigi selalu ada gig kerana menerusi persembahan, benar dapat bertemu fans, juga orang baharu dan menjadi jambatan (mendekati) fans baharu pula.”

Tiket serendah RM200, selain pilihan tambahan RM250 untuk sesi Meet & Greet ke atas semua jenis tiket boleh didapatkan di www.myticket.asia atau hubungi 03-86050196 serta hotline: 019-7860014.