<i>Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur</i>
Selepas sekian lama, band ini bakal kembali bertamu di ibu kota pada 5 November depan.

Oleh RUMI

BUAT para penggemar band asal Indonesia ini yang Terbang sebagai Gigi kala diperkenalkan seawal 1994, kerinduan yang sekian lama dipendam bakal diubati akhirnya dengan kembalinya mereka lewat konsert Gigi: Nakal Di Kuala Lumpur.

Empat belas tahun berlalu, sejak band ini beraksi kali terakhir di Festival Muzik Antarabangsa Sunburst KL, sepentas dengan Incubus dan John Legend selepas konsert eksklusif mereka di negara ini pada 2003.

Dijadual berlangsung di The Zepp Kuala Lumpur, konsert dianjurkan oleh Tanjak Adventure & Tour. Mengumpul penggemarnya dengan hit seperti Jomblo, Pintu Sorga dan 11 Januari, selain Terbang, Gigi dibarisi Armand Maulana selaku vokalis, Dewa Budjana (gitar), Thomas Ramdhan (bass) dan Gusti Hendy (dram).

“Kami sangat berbangga untuk membawakan kumpulan Gigi yang kita tahu diminati kerana skil dan profesionalisme mereka, serta lagu-lagu mereka yang hebat,” kata Pegawai Eksekutif Tanjak Adventure & Tour, Azroy Ramli.

Sambil menyifatkan Gigi antara band yang dikagumi kerana skil dimiliki setiap ahlinya, tambahnya, “Justeru, kami mengalu-alukan permainan Dewa Budjana, Thomas Ramdhan dan Gusti Hendy, serta kemantapan vokal Armand Maulana.”

Akses

  • 5 November 2022
  • The Zepp Kuala Lumpur
  • 9pm

Tiket

  • Budjana (free standing), RM180
  • Armand (free standing), RM200
  • Hendy (upper deck), RM250
  • Thomas (upper deck), RM350
  • Nakal (Meet & Greet), RM450

Beli di www.myticket.asia atau hubungi 03-86050196 serta hotline: 019-7860014