Kenapa Ella Buat Amir Masdi Cair?
Sepi Sekuntum Mawar Merah yang mempertemukakan penyanyi muda rock ini dengan pujaannya.
Oleh Zurina Waji | Foto Nova Music
“Saya tak kenal siapa Kak Ella tapi apabila saya dengar suara kak Ella, saya macam ‘Ishh! Bestnya suara dia ni, lain daripada penyanyi perempuan (lain)… “
SATU sebab saja sudah cukup untuk buat Amir Masdi cair dengan Ella, terutama apabila mendengar sendiri penyanyi yang dijoloki Queen of Rock, Malaysia itu “minat dengan saya, dengan suara saya.”
Dan cukup buat pendatang baharu seperti Amir untuk meyakini jalan yang bakal terbentang di hadapannya.
Bagi penyanyi berusia 26 tahun ini, sedikit pun dia tidak menduga impak yang bakal diberikan Sepi Sekuntum Mawar buatnya. Setidak-tidaknya ketika kali pertama beliau mendengarnya seawal usia enam, tujuh tahun dan terus jatuh cinta pada suara itu.
“Saya tak ingat bila, tapi semasa sedang berkaraoke bersama famili di rumah,” katanya mengenai kali pertama dia mendengar Sepi Sekuntum Mawar Merah. “Masa tu, mungkin Darjah Satu, awal jugalah. Kali pertama itu, dah tentu kita budak-budak tak faham.
“Apa yang saya ingat, saya tertarik dengan vokalisnya, Kak Ella, masa tu. Saya tak kenal siapa Kak Ella tapi apabila saya dengar suara kak Ella, saya macam ‘Ishh! Bestnya suara dia ni, lain daripada penyanyi perempuan (lain) sebab sejak kecil saya sememangnya meminati suara-suara yang unik, serak-serak, lain daripada orang lain.
“Itulah kali pertama saya mendengar Sepi Sekuntum Mawar Merah, umur enam atau tujuh tahun.”
Tanpa selindung, dia turut mengakui keinginan yang turut didorong keunikan yang pada Ella.
“Saya rasa dia sangat unik,” katanya mengenai penyanyi yang mula mencipta nama sebagai Ella & The Boys itu. “Dia bukan tipikal penyanyi perempuan. Dia memiliki tone dia sendiri, signature dia sendiri.”
Sepi Sekuntum Mawar Merah diperdengarkan Amir, antaranya dua tahun lalu pada pertandingan Immortal Songs yang disertainya. Dibawa live, versinya kemudian dirakam dengan susunan baharu olehnya, Rudy Nastia dan Farez Asmadi yang memukau ramai, termasuk Ella sendiri.
“… saya terinspirasi dengan susunan dan sound daripada One OK Rock dan Imagine Dragons, dua band yang memberikan saya rasa dalam mendapatkan sound yang didengari sekarang.”
Lagu ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik Lukhman S itu asalnya dimuatkan di dalam album solo ketiga Ella, Identiti pada 1990. Versi Amir turut dihadirkan bersama video muzik arahan Azuab Abdullah yang menampilkan penuntut Sekolah Seni Malaysia, Johor.
Jujur, kata penyanyi berpotensi dengan nama sebenar Amir Syazwan Masdi ini, dia tidak pernah terfikir akan merakam lagu malar segar itu yang juga pernah dipertandingkan pada Anugerah Juara Lagu ke-6.
“Apa yang membuatkan saya mahu menyanyikan semula lagu ini sebab saya pernah membawakannya, dua kali, untuk pertandingan. Jadi, ada nilai sentimental di situ. Kenapa dua kali? Sebab lagu ini sangat kuat dan mesra pendengar, dan memang material untuk pertandingan,” jelasnya.
Ditanya apa yang menginspirasinya untuk muncul dengan susunan seperti yang diperdengarkan menerusi versinya, kata Amir, “Saya menyusun strukturnya, kemudian minta arranger untuk ada bunyi sebegini, bunyi yang saya inginkan untuk Amir Masdi, iaitu arah tuju saya sendiri sebagai Amir Masdi.
“Saya akui, saya terinspirasi dengan susunan dan sound daripada One OK Rock dan Imagine Dragons, dua band yang memberikan saya rasa dalam mendapatkan sound yang didengari sekarang.”
Jelajah Suria, baru ini menurut Amir yang membawanya sepanggung dengan Ella dirasakan seperti mimpi.
“Satu pentas dan menyanyi bersama Kak Ella, itu adalah satu momen paling istimewa untuk saya dan sampai sekarang saya tak boleh move on,” katanya, senyum tersipu malu. “Saya menonton video-video itu, semasa dengan Kak Ella.
“Dia seorang yang sangat merendah diri dan memberi sokongan. Semasa berjumpa, dia membuka luas tangannya dan memberi kata-kata positif, beri semangat. Katanya, dia mahu tengok saya pergi lebih jauh lagi dan akan sentiasa menyokong saya.”
Terharu, Amir terdorong untuk menghadiahkan sejambak mawar buat Ella, di pentas, di hadapan audiens sebelum mereka berduet.
“Saya terharu sangat dengan sokongannya terhadap saya, seorang artis baharu yang baru nak melakar nama dan dia seorang legenda, Queen of Rock Malaysia, sangat merendah diri. Jadi saya berikan dia bunga mawar sebagai tanda penghargaan untuknya,” katanya.
Dan padanlah mengapa Amir percaya Sepi Sekuntum Mawar Merah akan menghamburkan vibrasinya, sekali lagi dan kali ini untuk memandu langkahnya dengan dorongan Ella dijadikan azimat.
Comments are closed.