Universal Music Malaysia Dominasi AIM23
Rangkul 12 trofi daripada 21 kategori yang dicalonkan.

Oleh RUMI

SYARIKAT rakaman, Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia menguasai malam Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23, baru ini selepas memenangi 12 daripada 21 kategori yang dicalonkan.

Kemenangan diraih bagi:

  • Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita): Sinar Mata Hati (Ernie Zakri)
  • Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan): Tunggu (V.E)
  • Album Terbaik: Yonny (Deluxe Edition) (Yonnyboii)
  • Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara: Tak Ingin Usai (Keisya Levronka)
  • Lagu Inggeris Tempatan Terbaik: Game of Charades (Sophia Zuhri)
  • Lagu R&B/ Hip Hop Terbaik: CIAO (Joe Flizzow)
  • Lagu Pop Terbaik: Goodbye Hello (Ernie Zakri & Syamel)
  • Rakaman Album Terbaik: Tudung Periuk (Dayang Nurfaizah)
  • Susunan Terbaik Dalam Lagu: Tudung Periuk (Dayang Nurfaizah)
  • Lagu Terbaik: Goodbye Hello (Ernie Zakri & Syamel)
  • Lagu Nada Dering Jualan Paling Tinggi: Adakah Ini Mimpi (Reedzwann)

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa, apatah lagi selepas industri hiburan tanahair lumpuh ekoran pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hampir dua tahun.

Katanya, jalan yang ada ketika itu ialah dengan memperkasakan lagi kandungan di platform digital.

“Biar pun masih berdepan cabaran, ia bukan halangan untuk syarikat rakaman berhenti daripada terus berkarya dengan menghasilkan lagu dan album berkualiti,” jelasnya. “Kami turut memberi kebebasan kepada penyanyi untuk berkarya dan menunjukkan kreativiti mereka.”

Dua trofi yang dibawa pulang Def Jam Recordings Malaysia menerusi Yonnyboii dan Joe Flizzow dilihat Ketuanya, Hermond Cheng sebagai pencapaian yang membanggakan.

“Walaupun Def Jam Recordings Malaysia boleh dianggap pemain baharu dalam pasaran muzik tempatan, kemenangan ini adalah bukti kita sentiasa mahu memberikan hasil kerja dan karya berkualti,” katanya yang juga Pengarah A&R dan Pemasaran Universal Music Malaysia.

INFO AIM23

  • 650 pencalonan diterima, namun hanya 105 disenarai pendek bagi 21 kategori
  • Pencalonan diambil kira bagi karya diterbitkan antara 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022
  • 113 juri terbabit dalam penilaian calon, setiap kategori diadili tujuh hingga 10 pakar
  • Maestro muzik, Datuk Mokhzani Ismail sebagai Ketua Juri