Jelajah Ramli Sarip 2022: Lefthanded Sertai Papa Rock Di KL
Satu malam saja, band rock terkenal 80an ini bakal menghangatkan konsert, Oktober ini.
Oleh Zurina Waji | Foto PapaDin
“… banyak kenangan yang kita lalui bersama, daripada Lefthanded dulu sampai sekarang. Kita nampak satu perjalanan yang indah, masih berjalan, masih berkawan, ada yang pergi, ada yang belum.”
“LEFTHANDED dewasa di depan mata saya,” kata Datuk Ramli Sarip mengenai pemilihan band itu yang kini bergerak berdua dengan vokalis, Datuk Nash dan pemain gitarnya, Man Keedal pada konsert 29 Oktober ini.
Dan hanya di Kuala Lumpur, menurutnya panji Lefthanded akan berkibar menerusi penampilan khas bersempena Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Di Sebalik Musim yang bakal menghidangkan “muzik yang agak keras tapi padat, dewasa dan ada folk culture, rakyat dia.”
Akui mantan frontman Sweet Charity ini, penampilan band rock itu pada konsert yang berdurasi sehingga tiga jam nanti sememangnya istimewa.
“Lefthanded ini ibarat adiklah, mereka dah hampir 45 tahun (dalam muzik). Kami bekerjasama sejak dulu, tambahan mereka juga peminat Sweet Charity, malah lebih kenal lagu-lagu Sweet Charity berbanding lagu saya,” katanya, ketawa.
“Jadi untuk berada sama di Zepp, ia satu yang istimewa. Saya rasa banyak kenangan yang kita lalui bersama, daripada Lefthanded dulu sampai sekarang. Kita nampak satu perjalanan yang indah, masih berjalan, masih berkawan, ada yang pergi, ada yang belum.”
Nyata, konsert di Kuala Lumpur itu akan melakar momen bersejarah kerana seperti kata penyanyi, komposer, pemuzik dan penerbit asal Singapura itu, “Ia (bersama Lefthanded) banyak meninggalkan kenangan indah, seperti juga arwah Samad (Abdul Samad Mian, gitaris) dan Abdul Rahman Othman (Man Dayak, pemain dram).
Jelajah ini juga melengkapi 50 tahun pembabitan sosok yang digelar Papa Rock itu dalam muzik yang disifatkannya, “Perjalanan yang agak matang, kalau dibandingkan dengan band matsalih (berusia) lebih 50 tahun macam The Rolling Stones, The Beatles, Led Zeppelin, Pink Floyd, misalnya. Kita pun dah 50 tahun.”
Ia membabitkan lapan lokasi, bermula di Johor Bahru pada 7 Oktober ini dan dijadual berakhir di Singapura pada 17 Disember depan, dianjurkan bagi mempromosi Rasa, album solonya yang dilahirkan semasa pandemik, tahun lalu.
Nash, ketika ditanya, nyata berbesar hati dan bersyukur dapat sepanggung kembali dengan Ramli menerusi konsert yang cukup bermakna itu, apatah lagi penyanyi ini merupakan antara produser bagi album Lefthanded, dulu
“Ini bukan mengenai Lefthanded, tapi Ramli Sarip,” katanya. ”Bukan pertama kali tapi ini konsert yang agak berlainan sebab kita bersama meraikan Jelajah Konsert Ramli Sarip Cinta Di Sebalik Musim, jadi menjurus kepada Ramli Sarip.
“Kita akan bawa lagu-lagu yang diterbitkan oleh Ramli, mungkin saya berduet satu lagu dengannya. Cukuplah empat, lima lagu Lefthanded dipersembahkan pada jelajah Kuala Lumpur itu tapi kita tetap kena berikan persembahan yang setanding.”
Ramli juga menjanjikan kelainan pada setiap lokasi konsert, misalnya di Sabah yang bersifat makan malam akan disertai Dayang Nurfaizah sebagai penyanyi undangan manakala penyanyi tradisional, Kamrulbahrin Husin ditampilkan di Kelantan bagi menerapkan elemen wayang kulit.
“Dengan Nash, ia akan menceritakan sejarah perjalanan seni kita,” katanya yang mengakui tertarik dengan keterbukaan Zepp bagi penganjuran konsertnya di Kuala Lumpur dengan lagu-lagu daripada album Rasa jadi tumpuan.
“Kerana muzik yang kita nak mainkan bukan hanya satu jenis tapi muzik yang bermacam. Kalau cakap pasal lagu Adam dan Hawa, misalnya ada segelintir orang saja tahu tapi lagu itu sangat dalam, sangat berbisa dan sangat bermakna dalam album Syair Timur.
“Ada lagu-lagu folk yang kita nak persembahkan di Zepp itu nanti, tak semua lagu sesuai untuk arena besar. Kita kena kecilkan tapi ada satu momen yang indah dan saya rasa Lefthanded ada benda tu juga.
“Kali ini, Lefthanded akan bantu saya memberi persembahan yang berlainan. Kita akan bergabung atas dasar persaudaraan dan perjalanan muzik yang seimbang dalam sebuah persembahan. Tak tahu ke mana ia akan bawa kita tapi begitulah ceritanya.”
Akses
- 29 Oktober
- Zepp Kuala Lumpur
- 8.45pm
Tiket
- RM300, RM350, RM450 dan VIP Box (6 orang) RM5,000
- Beli di www.ilassotickets.com
- Bagi VIP Box, hubungi 013-2633938 (Rasa Karya)/ 019-3017778 (Int X Group Sdn Bhd)
Comments are closed.