Konsert Khas Trophy Knives Pada Hari Malaysia
Eksklusif di The Bee, sempena kelahiran album kedua band punk ini, Look the Other Way

Oleh RUMI

“KERANA kami bangga jadi anak Malaysia,” kata Vinesh M, vokalis Trophy Knives mengenai pemilihan tarikh 16 September bagi penganjuran konsert mereka, sekali gus membawa signifikasi besar terhadap perjalanan mereka sebagai pengkarya.

Inginkan keharmonian negara ini terus kekal tanpa sebarang prejudis di antara kaum, agama dan kepercayaan, muzik punk kekal sebagai medium band ini yang turut dianggotai Sani Khalid (gitar) dan Ryan Lee Bhaskaran (dram) untuk menyampaikan mesej.

Lalu, menerusi album kedua dan terbaharu mereka, Look the Other Way, jelasnya, “Di dalam setiap lagu kami terdapat mesej yang mendalam tentang hak-hak kemanusiaan dan kami percaya kita masih punyai harapan untuk membina sebuah negara yang ideal, maju dari segala segi dan juga bebas berkarya tanpa halangan yang tidak munasabah.

“Ianya mungkin agak berat tapi ia perlu dibincangkan. Namun Trophy Knives akan memastikan elemen hiburan tetap diutamakan. Itu amat penting kerana peminat-peminat kami sudah pasti mengharapkan sesuatu yang di luar jangkaan daripada kami.”

Bukan satu, bukan dua tapi kesemua sembilan lagu daripada album itu akan dipersembahkan secara eksklusif buat pertama kali. Dianjurkan bersempena pelancaran album itu yang berada di semua platform digital sejak 9 September lalu, malam persembahan akan turut dihangatkan dengan kemunculan Jemson; band punk rock, An Honest Mistake; dan trio Emo Night KL.

Look the Other Way, menurut kenyataan medianya, juga akan dipasarkan dalam bentuk fizikal, termasuk vinyl yang turut memuatkan bonus single We Can’t Be Saved yang menampilkan Chris#2, vokalis band punk ikonik Amerika Syarikat, Anti-Flag.

“Tanpa kumpulan seperti Jemson, An Honest Mistake dan Emo Night KL, antaranya yang terus berjuang untuk mengekalkan genre ini agar terus hidup di Malaysia, memerlukan pengorbanan yang besar.” – Ryan Lee

Dianggap lebih kemas daripada segi produksi dan padat pelbagai faktor maskulaliti, ia menzahirkan keseriusan Trophy Knives yang debut dengan album Glass Ceiling pada 2019 dan mengambil berat, bukan saja susunan melodi tapi juga mesej di dalam setiap lagunya.

Pengalaman berkolaborasi dengan beberapa artis, tempatan dan antarabangsa, melalui pandemik dan pengunduran Syamir Ali, mantan pemain bass mereka, band asal Kuala Lumpur ini mula bereksplorasi dengan elemen muzik baharu yang boleh diperdengarkan menerusi album ini.

Bertahun bermain dengan genre punk, menurut Ryan Lee pula, menyedarkan mereka bagaimana muzik ini sering dianaktirikan.

“Tanpa kumpulan seperti Jemson, An Honest Mistake dan Emo Night KL, antaranya yang terus berjuang untuk mengekalkan genre ini agar terus hidup di Malaysia, memerlukan pengorbanan yang besar,” katanya, terharu dengan kolaborasi band berkenaan pada persembahan Jumaat ini.

“Harapan kami agar semua peminat muzik, bukan saja punk atau rock akan hadir. Muzik adalah universal.”

Semua sembilan lagu daripada album Look the Other Way boleh didapatkan di semua platform strim, termasuk single Elder Snakesman, Look the Other Way, Smokescreen dengan penyanyi undangan khas, Nas daripada Plague of Happiness dan juga High Horse.

   Akses

  • 16 September 2022
  • The Bee, Publika

Tiket Dapatkan di https://trophy-knives.peatix.com/