30 Tahun Dewa 19 Bawa Separuh Nafasku
Masih ada cinta bertebaran di konsert Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19 di Kuala Lumpur.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
KATA Ahmad Dhani semasa mengumumkan rencana jelajah 30 kota Dewa 19 sempena ulang tahun ke-30 band papan atas itu di pentas mainstream, “Perjalanan kami tidak mudah, khususnya buat saya sama Andra yang udah bener-bener 30 tahun.”
Surabaya, pada sidang media di Jakarta, April lalu itu, disebut kota pertama konsert Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19, sesuai sejarah penubuhan band seawal 1987 dengan nama Down Beat sebelum Almarhum Erwin Prasetya, Wawan Juniarso dan Andra Ramadhan, selain Dhani meluncur sebagai Dewa 19.
Jujur, saya teruja menantikan bilakah Dewa 19 yang debut dengan Kangen pada 1992 bersama Ari Lasso sebagai vokalisnya kembali ke Malaysia selepas kali terakhir beraksi tanpa Dhani pada Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam, tiga tahun lalu.
Lalu, saya membayangkan sebuah konsert yang selayaknya digelar nostalgik. Rangka jelajah Dewa 19 ini yang membawa slogan “30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu”, pada hemat saya, harus dapat memberi fans momen yang tidak terlupakan.
Reputasi Dewa 19 membuat sulit untuk tidak berharap pada konsert di Kuala Lumpur ini yang selain menampilkan vokalis, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello, membawa semula Ari dan Once Mekel untuk melantunkan 35 lagunya – hits dan judul yang jarang diperdengarkan.
Tyo Nugros juga kembali bermain dram, melengkapi line-up yang sedia dibarisi Dhani (vokal dan keyboard), Andra (gitar), Yuke Sampurna (bass) dan Agung Yudha (dram). Sepertimana kata Dhani, “30 tahun ini wajib dirayakan”, justeru Anniversary Tour ini harus berupaya memberi magisnya.
Jadi, adakah konsert di Kuala Lumpur yang berlangsung dua malam, baru ini memenuhi jangkaan?
“… mengharapkan kelainan, iaitu malam yang memberi justifikasi terhadap tiga dekad keberadaan mereka dalam muzik popular Indonesia.”
MALAM PANJANG VIRZHA DAN ELLO
DEWA 19 masih merajai. Jelas, konsert satu malam anjuran Icon Entertainment itu ditambah menjadi dua malam selepas tiket bagi tarikh asal, 10 September habis dalam tempoh sejam penjualan dibuka.
Saya menyertai ribuan Baladewa dan Baladewi pada malam pertama, berbondong dalam renyai ke Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil, disambut penjual baju-T Dewa, juga food truck yang mengesahkan keterujaan untuk dibuai keasyikan lagu-lagu Dewa 19 yang terakhir muncul dengan album studio, Kerajaan Cinta pada 2007.
Pernah beberapa kali menonton Dewa 19 live, termasuk dalam skala kecil selain menemuramah, saya mengharapkan kelainan, iaitu malam yang memberi justifikasi terhadap tiga dekad keberadaan mereka dalam muzik popular Indonesia.
Intro di layar gergasi di pentas membuat stadium gegak gempita dengan sorakan 9,000 audiensnya, namun persembahan kolaj, foto-foto lama dan baharu – ahli sedia ada dan mantan Dewa 19 agak meleret sehinggalah Virzha dan Ello muncul, berduet dengan Restoe Boemi.
I Want To Break Free, hit Queen yang menyusuli menjelaskan pengaruh band British itu terhadap perkembangan muzik Dewa 19, sebelum ciptaan Erwin, Still I’m Sure We’ll Love Again diingatkan tentang beberapa penghasilan lagu Inggeris mereka.
Daripada album Format Masa Depan, ia tidak pernah dibawa ke pentas Dewa 19 sejak dirakam Ari pada 1994. Diberi nafas baharu oleh Virzha dan Ello, ia jadi tribute menyentuh rasa buat mantan pemain bass band itu yang meninggal dunia, dua tahun lalu.
Dhani mencuri sorotan lampu, membawa Cinta Gila sebelum Ello kembali, antaranya dengan Tak Kan Ada Cinta Yang Lain sehinggalah rendisi Careless Whisper buat saya agak bingung lantaran Dewa 19 tidak kurang naskah asal dalam katalognya. Saya merasakan, kecuali boleh menyaingi Seether, misalnya band rock asal Afrika Selatan yang merubah lagu pop mendiang George Michael itu menjadi versi rock dengan keperitan yang menusuk, usah dibawa langsung.
Virzha, 32, yang diperkenalkan Indonesian Idol pada 2014, mengambil alih dengan Selatan Jakarta daripada album Pandawa Lima. Bunga dan Aku Milikmu menyusul, diikuti Larut sebelum Dhani menyertai lewat Hadapi Dengan Senyuman, sempat berkongsi protes yang mengingatkan episod yang menghambatnya ke penjara dulu.
Angin buat stadium yang tadi beremosi, bagai dibius listrik tapi kehangatan malam agak kendur apabila diberikan interval yang membuat saya kembali termangu, sambil mengharapkan Virzha dan Ello kelak diizinkan meneroka lebih lagi dengan keupayaan mereka.
“Biar hanya enam tahun bersama, jelas Ari meninggalkan dampak yang sangat besar terhadap perjalanan Dewa 19 dan masih lagi.”
KASIDAH CINTA DI KUALA LUMPUR
ONCE, pada usia 52 tahun, menyerlahkan aura yang tidak tercapai oleh Virzha mahu pun Ello. Rocker lampai berlatar perundangan ini jelas lebih terbiasa buat sebahagian besar fans, melegenda dengan kehebatan vokalnya sejak bersama Dewa 19 seawal album Bintang Lima pada tahun 2000.
Bikin histeria, antaranya dengan Arjuna dan Mistikus Cinta, selain Dewi dan Dua Sejoli yang menjadi siulan, frasa penghormatan yang dilagukan Once lewat Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia membuat cemburu dengan rasa patriotismenya.
Dhani kembali melantunkan lagu lewat Sedang Ingin Bercinta, sebelum Ari melempiaskan auranya, menyuntik keghairahan audiens lewat Cinta Kan Membawamu Kembali. Biar hanya enam tahun bersama, jelas Ari meninggalkan dampak yang sangat besar terhadap perjalanan Dewa 19 dan masih lagi.
Tak hanya hits awal Dewa 19, rasa kekaguman terhadap penyanyi berusia 49 tahun ini lahir daripada perjalanan roller coasternya, dengan episod penyalahgunaan dadahnya dan terbaru, berjuang melawan penyakit kanser limfoma yang dikesan, tahun lalu.
“Mungkin, saya tidak menemukan momen magis yang didambakan, namun malam itu mengembalikan nostalgia, setidak-tidaknya.”
Ari, mahu pun Once, hanya mengesahkan mengapa mereka belum ada galang gantinya sepertimana kata Andra dalam satu temuramahnya, “Susah nampaknya (cari) pengganti seperti Lasso dan Once, sekaliber itu ya.”
Tapi 30 tahun Dewa 19 yang seharusnya jadi malam istimewa tidak mmemberikan itu. Tiada pengiktirafan terhadap Andra hatta Dhani sendiri yang setia terhadap Dewa sejak hari pertama. Sedang ada juga Yuke yang berlatar band acid jazz dan telah 20 tahun bersama, juga Agung yang sudah 15 tahun menjadi sebahagian daripada Dewa 19. Dan Tyo yang seperti Ari dan Once, sukar utuk dipisahkan daripada Dewa 19 biar tidak lagi bersama. Saya menanti, mungkin cerita-cerita kecil dalam interaksi yang bisa mencipta momen intimasi yang bagaimanapun tidak berlaku.
Atau, rahsia kecil di sebalik rona cinta lagu-lagu mereka yang banyaknya merupakan sentuhan Dhani dan Andra yang menjelaskan mereka sebagai playmaker Dewa 19. Atau, barangkali audiens diberikan sesuatu untuk merungkai prasangka di sebalik egoisme Dhani yang bagaimanapun tidak diperolehi, malam itu. Kerana 30 tahun adalah tempoh yang sangat panjang, dan saya mahukan lebih daripada mendengar lagu semata.
Separuh Nafas menggugah rasa saat malam melabuhkan tirainya. Mungkin, saya tidak menemukan momen magis yang didambakan, namun malam itu mengembalikan nostalgia, setidak-tidaknya.
Saya, dan barangkali ramai dalam kalangan penggemar Dewa 19, harus mengakui pengaruh band ini lewat lagu-lagu cinta mereka yang pernah atau mungkin masih menjadi sebahagian daripada cerita perjalanan kita. Masih ada cinta ditebarkan malam itu dan memandang ke belakang, saya menghidu separuh nafas yang dibawa, dan dalam sesak anehnya ia terasa mendamaikan.
Comments are closed.