Pamungkas To The Bone
Seperti cinta yang meresapi, persembahannya memberi rasa yang sukar untuk ditolak.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
“Jika tidak mana mungkin mereka menagih kedatangan penyanyi dan penulis berusia 29 tahun ini lagi sedang dalam mode masih tidak boleh move on usai konsert.”
“LOST for words, Malaysia.” Itu ungkap Pamungkas, pesona baharu Indonesia tentang sambutan luar jangkaan diberikan Kuala Lumpur pada malam konsert sulungnya yang terlaksana, akhirnya selepas dua tahun tertunda.
Dan dia datang menebarkan perasaan mengasyikkan yang bikin orang mahu dilamun cinta, hatta yang pernah terluka.
Pokoknya memang sukar untuk menepikan keasyikan dibuai karyanya yang kini merangkumi Birdy, album keempat dan terbaharu daripadanya yang disifatkannya sebagai paling jujur, paling raw dan paling segalanya.
Bersaksikan 3,000 pengggemarnya yang memenuhi Megastar Arena, baru ini diakuinya memberikan malam paling terbaik dalam Jelajah Birdy Asia Tenggara 2022 yang lebih dulu singgah di Manila, Filipina dan Bangkok, Thailand sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura.
Jika tidak mana mungkin mereka menagih kedatangan penyanyi dan penulis berusia 29 tahun ini lagi sedang dalam mode masih tidak boleh move on usai konsert yang telah dibawa dan dianjurkan Tala Records Asia, SoundScape dan Maspam itu.
Bersua fans di pentas berlatar layar merah yang tertera nama bintangnya, Pamungkas, dengan gaya pengaruh mod dan retro,dan but Chelsea yang menjadi trademark membenihkan aura bersama suara yang membuat pendengar tenggelam dalam perasaan bagai jaminan ini bukan yang pertama dan terakhir.
Saat melihat multi-instrumentalist ini beraksi, menghangatkan malam dengan hits seperti Jealousy daripada Birdy, A Day That Feels Better, Purple Sigh dan Kenangan Manis selain Risalah Cinta, lagu asal Dewa 19, band terkenal Indonesia yang didengarinya seawal usia lapan tahun, dia menjadikannya ibarat dating yang membahagiakan.
“… sebelum dia nekad membuat road trip Jakarta-Bali selama dua bulan yang mempertemukannya kembali dengan dirinya yang dicurahkannya dalam penghasilan Birdy… “
Biar tanpa set mewah, Pamungkas memberikan segalanya dalam persembahan selama satu setengah jam itu yang diisi dengan 15 lagu berselang-seli canda serta cerita-cerita tentang karyanya dan itu nyata cukup buat penggemarnya.
Sehari sebelumnya, pada sidang media, Pamungkas mengakui tidak akan terganggu walaupun audiensnnya nanti tidak sampai 100 sekali pun tanpa menyangka Kuala Lumpur akan mencipta banyak momen manis.
Jelajah ini yang seharusnya diadakan susulan kelahiran album Flying Solo pada 2019 nyata menyimpan hikmah di sebalik penangguhannya. Paling tidak, ia memberi masa untuk To The Bone membawanya ke carta No.1 Spotify Indonesia sebagai artis tempatan paling banyak didengarkan pada 2021.
Birdy muncul selepas dia mengakui, “Sempat stres selama dua tahun pandemik ini kerana tidak bisa buat apa-apa sedangkan saya gemar berjumpa orang, berbicara dengan orang kerana saya bukan jenis suka berhubung menerusi teks, selain hakikat saya tidak boleh ke mana-mana atau berjumpa sesiapa.”
To The Bone yang sudah berusia dua tahun dan sejak diperdengarkan, sudah 55 juta kali distrim di Spotify, katanya “Tidak dirancang untuk jadi sebegitu besar di Tik Tok” yang kemudian menghadiahkannya penggemar baharu di luar Indonesia.
Pandemik diisi dengan kelahiran album Solipsism dan Solipsism 0.2, sebelum dia nekad membuat road trip Jakarta-Bali selama dua bulan yang mempertemukannya kembali dengan dirinya yang dicurahkannya dalam penghasilan Birdy lewat proses yang “lumayan panjang.”
Kuala Lumpur jelas mengusik hati Pamungkas dan cinta yang bersemi pasti akan membawanya kembali.
Comments are closed.