Jingga Kembara 80an
Bersama pendukung Kembara, menjelang Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah, Ahad ini.

Oleh Zurina Waji | Foto Luncai Emas

“ …lagu-lagu yang rare, yang kita tidak pernah main langsung pada konsert lepas. Cabaran dia, ‘Eh! Macam mana aku main ni? ” – ZOUL

Tak hanya lagu Ekspres Rakyat mahu pun Kepadamu Kekasih dan yang sekomersilnya yang boleh dinantikan. Tumpuan malahan, seharusnya hendaklah diberikan pada lagu-lagu rare, iaitu yang jarang dimainkan.

Itu janji pendukung band Kembara yang kembali selepas kali terakhir sepanggung, lapan tahun lalu.

Lamanya masa diambil menjadikan penantian yang cukup bererti buat vokalis, Datuk M Nasir, Zoul (gitar dan vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard) selepas pemergian Allahyarham A.Ali. S Sahlan adalah seorang lagi anggota asal Kembara.

Adakah Kembara yang lahir pada era 80an berupaya, sekali lagi, menjadi perlambangan suara generasi muda, hari ini? Bertema kerakyatan yang menjadi ciri khasnya, menerusi muzik rock keras dan bait puitisnya, apa yang dapat dijangkakan pada konsert yang dibawa oleh Shiraz Projects Sdn Bhd ini kelak?

Santai, sembang bersama Zoul, Md Shah dan Rahman Suri di Kuala Lumpur.

Apakah cabaran terbesar dalam membuat pemilihan lagu daripada katalog sedia ada Kembara bagi konsert Panorama Jingga? Apa yang ditekankan dalam mencapai kesepakatan?

Md Shah: Kembara ada tujuh album, jadi semua lagu sedap. Semua nak main.

Zoul: Selama dirakam sejak tahun ‘84, tak pernah dimainkan. Khusus Panorama Jingga, kita pilih lagu-lagu yang rare, yang kita tidak pernah main langsung pada konsert lepas. Cabaran dia, ‘Eh! Macam mana aku main ni?

Md Shah: Cabarannya itu, kita tidak ingat (ketawa). Semasa release, saya tak tahu release macam mana. Saya sendiri tak tahu macam mana.Zoul: Tapi pemilihan lagu lebih pada album keempat, iaitu 1404 Hijrah sampai ketujuh, album runut bunyi Kembara Seniman Jalanan dan sudah tentu (malam konsert) dicampur dengan lagu-lagu wajib Kembara.

Lebih baik ikut ke arah cerita semasa daripada cinta lentuk, cinta lembik.” – RAHMAN SURI

Panorama Jingga juga adalah judul salah satu lagu Kembara. Kenapa ia diambil bagi nama konsert ini?

Zoul: Nama Panorama Jingga itu adalah satu kelainan bagi sebuah konsert yang hendak diadakan. Biasanya orang pakai satu nama yang menggegarkan tapi Panorama Jingga ini mungkin buat orang terfikir, apa ke benda ni?

Ini sebenarnya senario sunset lah… mungkin di kawasan kampung, atau pantai, atau …

Md Shah: Bandar moden ke, macam.. Dayabumi yang membawa kenangan pada era Kembara dilahirkan, zaman kebangkitan muzik rock 80an, antaranya.

Zoul: Ya, boleh jadi. Ini suntikan cerita mereka ini yang ke Kuala Lumpur dengan cita-cita, nak jadi kaya mungkin.

Kembara lahir pada era gelombang rakyat dan politik 80an yang menghasilkan lagu seperti Kami Orang Melayu, Sesat di Kuala Lumpur, Senandung Buruh Kasar.

Rahman Suri: Generasi muda waktu itu, zaman kita Kembara, banyak band yang membawa lagu-lagu saduran. Jadi kita berlima ini melarikan diri, bikin lagu rakyat (terbukti) diterima sampai sekarang. Jadi, anak muda, bagi saya jangan takut untuk buat satu-satu karya. Kalau kita rasa okay, buatlah. Lebih baik ikut ke arah cerita semasa daripada cinta lentuk, cinta lembik.

Md Shah: Cinta lembik tu apa?

Rahman Suri: Pakai rock tapi Eh! Eh… menyanyi meleleh (ketawa).

Apakah pengalaman yang boleh dijangkakan buat audiens muda, pasca Kembara?

Rahman Suri: Orang muda yang mungkin selama ini tidak nampak kita, kita akan tunjukkan walaupun sudah 40 tahun, pada usia kami ini, masih agak bertenaga demi peminat yang menyokong kami selama 40 tahun ini.

Juga, kita berharap orang muda dapat menonton dan menerima konsert ini dengan fikiran terbuka, memahami apa itu Panorama Jingga.

Senang cerita, orang yang dah senja ni, dah sunset (ketawa).

Akses

  • 31 Julai 2022
  • Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket

Meet & Greet RM860, Diamond RM460, Platinum RM360, Gold RM260, Silver RM200, Bronze RM160

www.myticket.asia atau hubungi +603 85050196 dan Info Hotline +6012 2560082