Makuta Pertemukakan Kmy Kmo-Luca Sickta dan Hazama
Buah tangan duo ini menggabungkan elemen hip hop dan rock serta konsep Nusantara.

Oleh Rumi

“… sebagai sesuatu yang berharga dan dalam masa sama mampu menjadi senjata yang berbahaya atau membunuh jika digunakan dengan niat jahat.” – KMY KMO

“IA tentang propaganda, ketidakadilan dan korupsi yang berlaku pada dunia pekerjaan dan juga kehidupan seharian,” kata Kmy Kmo mengenai Makuta yang diambil daripada bahasa Sunda yang bererti mahkota.

Single keempat rapper ini bersama barisan peyanyi terkenal, kali ini Hazama, disebut lebih menjurus kepada ketua, pengurus dan juga wanita yang disifatkan sebagai golongan yang mempunyai mahkota tersendiri dengan kuasa yang dimiliki.

“Mereka mampu membawa setiap agenda atau tanggungjawab itu ke arah kebaikan atau sebaliknya dengan mempergunakan Makuta sebagai senjata kuasa veto,” katanya yang melihatnya juga mampu mengubah pengikut menjadi lebih baik atau dipergunakan demi kepentingan diri.

Sedang bagi golongan perempuan, dia dalam satu kenyataan medianya, menyifatkan mahkota  “sebagai sesuatu yang berharga dan dalam masa sama mampu menjadi senjata yang berbahaya atau membunuh jika digunakan dengan niat jahat.

Selepas kejayaan sulung, Zuhud menerusi kolaborasi dengan Datuk M Nasir, diikuti 7 Nasihat dan Neraca, masing-masing bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah, persoalannya apakah Makuta bakal memberi kesan sebagaimana penghasilan terdahulunya?

Makuta yang demonya dirakam seawal tahun 2020 manakala vokal Hazama pada pertengahan tahun lalu, menurut Kmy, melalui proses “agak slow & steady” dan sempat tertangguh selama dua tahun ekoran pandemik Covid-19.

“Saya juga melihat kehadiran Hazama sebagai seorang legenda muda, seorang penyanyi sangat kami hormati dengan bakat dan karekternya yang begitu bersahaja.” – LUCA SICKTA

Jelasnya, “Proses penulisan agak mencabar kerana sebelum ini, kami sudah keluarkan tiga lagu yang memberi impak besar kepada pendengar dan secara tidak langsung memberi tekanan untuk mengekalkan momentum karya-karya kami.

“Namun kami percaya pendengar akan terus mengkaji setiap bait lirik yang disajikan dalam memahami dan menghayati apa pula rahsia di sebalik lirik lagu Makuta.”

Pemilihan Hazama pula, menurut Luca Sickta, dibuat selepas mengambil kira bakat, karakter dan personaliti seorang penyanyi rock yang dimiliki penyanyi yang dikenali dengan hit seperti Relakan Jiwa itu.

“Bagi saya, Hazama adalah seorang penyanyi yang sangat menjiwai setiap apa yang diamanahkan, Dia tahu apa itu seni lagu dan seperti yang semua tahu, setiap lagu yang disampaikan menusuk ke kalbu.

“Saya juga melihat kehadiran Hazama sebagai seorang legenda muda, seorang penyanyi sangat kami hormati dengan bakat dan karekternya yang begitu bersahaja,” katanya yang gembira Hazama berupaya menghadam lirik lagu dengan cepat walaupun konteksnya agak serius.

Hazama, dalam satu kenyataannya, turut berpandangan Makuta sebagai sebuah “naskah yang penuh berisi” yang mendorongnya “memberikan sepenuh jiwa” dalam menyumbangkan suara agar sampai ke hati pendengar.

Makuta boleh didengari di semua platform digital, termasuk di Spotify, Apple Music, Joox dan KKBOx sejak 3 Jun lalu, manakala MV telah dilancarkan di saluran YouTube Kmy Kmo Official pada 10 Jun lalu.