Brader! Gua <i>Feel</i> Jingga Malam Kembara. Lu?
Pencarian pada malam Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah yang penuh nostalgik.

Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid

SUNGGUH bukan peminat tegar Kembara, saya mempunyai harapan menggunung terhadap malam Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah. Dan ada rasa menerawang, Sesat di Kuala Lumpur harus ada malam itu.

Jujur, saya tidak ada sebab untuk meragui keupayaan Kembara main sepanggung, apatah lagi dengan katalog muzik melangkaui usia 40 tahun sejak trio M Nasir-A.Ali-S Sahlan bergabung pada 1981.

Era terlalu awal sebetulnya untuk saya, pada masa itu, mengerti perjuangan Kembara yang memperkenalkan tema rakyat dengan muzik folk dan rocknya. Kekaguman terhadap Kembara lebih kerana kulit album yang mengingatkan saya, antaranya pada album Pink Floyd milik abang.

Juga, Ekspress Rakyat yang kemudiannya diketahui lagu nukilan M Nasir dan S Amin Shahab.  

Kerana Ekspress Rakyat ada memori indah tentang perjalanan pulang ke Singapura dari Kuala Lumpur, terutama bersama arwah nenek yang berdarah Sunda namun berkelana ke Kota Singa  selepas tamat sekolah Belanda di Tanah Jawa.

“… Kembara sebagai “orang yang dah senja” tapi umur tidak hanya berkisar soal kematangan, namun keghairahan dan muzik dalam erti kata sebenar menjadi kekuatan, selain barangkali, antara uncle uncle paling chill pernah beraksi.”

Konsert Kembara Panorama Jingga: 1444 Hijrah di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, minggu lalu adalah yang pertama selepas pemergian Allahyarham A.Ali dan tanpa S Sahlan. Dibawa oleh Shiraz Projects, ia mempertemukakan semula Zoul (gitar dan vokal), Rahman Suri (bass), Shahrum Basiron (dram) dan Md Shah Othman (keyboard), selain Datuk M Nasir (vokalis).  

“Dia orang ada 30 lagu tau malam ini,” kata seorang teman, membayangkan keasyikan malam yang bakal ditempuh kala saya berjalan menuju pintu masuk dewan. “Larat ke uncle uncle ni?” saya membalas, disambut dengan tawa oleh teman tadi.

Saya jadi teringat pada temubual ringkas bersama Kembara menjelang konsert. Ditanya apakah pengalaman yang boleh dijangkakan buat audiens muda, Rahman menawarkan jawapan, “Orang muda yang mungkin selama ini tidak nampak kita, kita akan tunjukkan walaupun sudah 40 tahun, pada usia kami ini, masih agak bertenaga demi peminat yang menyokong kami selama 40 tahun ini. Juga, kita berharap orang muda dapat menonton dan menerima konsert ini dengan fikiran terbuka, memahami apa itu Panorama Jingga.”

Dan bukan Kembara namanya tanpa memberikan sisi humor mereka, “Senang cerita, (tonton) orang yang dah senja ni, dah sunset.”

Kembara, tanpa perlu disanggah, bukan calang-calang band. Biar pun hanya mempunyai tujuh album, terakhir runut bunyi filem Kembara Seniman Jalanan yang sehingga kini masih dijulang padat kritikan sosialnya, koleksi lagu rare diumpan buat penggemarnya.

Biar bagi Rahman dan bandmate, Kembara sebagai “orang yang dah senja” tapi umur tidak hanya berkisar soal kematangan, namun keghairahan dan muzik dalam erti kata sebenar menjadi kekuatan, selain barangkali, antara uncle uncle paling chill pernah beraksi.

“Tiada lagu baru, Kembara seperti Rolling Stones,” kata seorang teman berusia hampir separuh abad yang duduk berdekatan pentas usai konsert. “Ia nostalgik dan dipersembahkan dengan baik. I got what I wanted.”

(BACA: Jingga Kembara 80an)

SESAT DI KUALA LUMPUR DAN SATU PENCARIAN

TAPI Kembara memang tidak memerlukan lagu baru pun dan malam itu mengeahkannya. Sempat merasa memutar kaset di walkman, jika tidak mini compo, saya percaya audiens hanya mengingini keasyikan dibuai nostalgia 80an itu yang membawa perkenalan mereka dengan Kembara.

M Nasir tentu saja bukan Mick Jagger, namun sebagai sebuah band, Kembara punya aura yang melegenda yang diperkukuh lewat persembahan senostalgia malam Panorama Jingga dalam menjejaki langkah Rolling Stones yang masih memiliki swag dan kedudukan yang tidak tergoyah.

Panorama Jingga, juga judul salah satu lagu, menjadi pembuka malam konsert yang menjanjikan bait-bait puitis antara rintihan rakyat marhaen, malah keTuhanan yang menghidupkan kembali mood dan rasa 80an itu, memadu new wave, misalnya dalam Tarian Hidup yang juga antara runut bunyi filem Azura, atau reggae yang nakal untuk Rozita selain Gadis Berpurdah Hitam yang tidak terduga.

“… Ah! Beg bahu yang menjadi identitinya, sampai kini, mencambahkan rasa terharu atas penghormatan yang diberikan Kembara buat sosok bernama Pyanhabib ini.”

Allahyarham A.Ali diberikan tribute melalui empat medley – Ada Sepasang Mata, Di Perhentian Puduraya, Impian Seorang Nelayan dan Kiambang – yang mengingatkan saya pada kelembutan lantunan suara dan keindahan sentuhan muzik Melayunya.

Pengalaman muzik semata tidak memungkinkan satu-satu persembahan menjadi begitu mengasyikkan kalau tidak kerana keghairahan serta kebersamaan yang dimiliki semua. M Nasir jelas menikmati kemunculannya bersama rakan Kembaranya, malah entah mengapa hati meruntun seketika dengan untaian lagu seperti Kupu Kupu kemudiannya.

Kali pertama melihat Pyanhabib secara dekat sambil saya yang berseragam sekolah merayap di Central Market yang pernah menjadi pusat menyuburnya seni pada era 80an, selain rockers berambut gondrong dengan jeans ketat berwarna warni dan kasut Aliph yang memenuhi hingga ke Dayabumi, kemunculannya malam itu menyedarkan kekaguman yang masih ada.

Suara, biar berbait tidak jelas namun masih dengan kesungguhan dan… Ah! Beg bahu yang menjadi identitinya sampai kini, mencambahkan rasa terharu atas penghormatan yang diberikan Kembara buat sosok bernama Pyanhabib ini.

“Dan atas banyak sebab, Sesat di Kuala Lumpur kemudiannya bersama petikan gitar tong M Nasir membuat saya diimbau perjalanan yang dinukilkan Tuhan dalam pencarian yang saya kira sebagai seorang hamba.”

Seloroh M Nasir di pentas, malah memeluk Pyanhabib dan mendukungnya untuk membawanya keluar daripada pentas, seolah mengesahkan perhubungan yang tidak terhenti sekadar Kembara Seniman Jalanan yang mempertemukan mereka di layar lebar pada 1986  – M Nasir sebagai Jebat/ Bujang dan Pyanhabib sebagai Osman Tikus.

Balada Osman Tikus bagai diduga, menyusuli dan diikuti hit seperti Siapa Orang Kita dan Rupa Tanpa Wajah yang juga runut bunyi filem arahan Nasir Jani itu yang menyentuh isu cetak rompak, antaranya. Segera, ingatan menerawang, kali ini pada skandal kewangan RM2.7 bilion BMF pada awal 80an yang menginspirasi sajak Osman. Hati sayu seketika mengingati kematian juru audit, Allahyarham Jalil Ibrahim yang dibunuh di Hong Kong susulan siasatan kes pinjaman anak syarikat Bank Bumiputra itu kepada tiga spekulator hartanah Hong Kong.

Dan atas banyak sebab, Sesat di Kuala Lumpur kemudiannya bersama petikan gitar tong M Nasir membuat saya diimbau perjalanan yang dinukilkan Tuhan dalam pencarian yang saya kira sebagai seorang hamba. Secara peribadi, lagu itu menjadi kunci kepada indahnya jingga yang dilimpahkan malam kembara itu.

Gerhana membuat gegak gempita dengan nyanyian audiens yang tidak mampu menahan diri untuk ikut menari, menyusuli judul komersil Ekspress Rakyat, Hati Emas dan Perjuangan, sekali gus melengkapi kembara Panorama Jingga.

Biar masih tertanya apakah ada yang peduli tentang relevan lagikah band 80an ini sebagai perlambangan suara anak muda hari ini, Kembara memberikan apa yang saya mahukan – nostalgia dan roh dalam persembahannya. Sempurna.