Search Gamit Nostalgia di Konsert Endemik
Search Gamit Nostalgia di Konsert Endemik
Oleh Rumi
“Ia bakal menterjemahkan identiti dan akar muzik Search asal.” – penyanyi, Amy
“Ini satu daripada impian kami,” kata Amy mengenai Endemik, konsert berskala besar di lokasi bertaraf antarabangsa, Zepp Kuala Lumpur yang menyaksikan penyatuan semulanya dengan Hillary Ang, Man Kidal dan Nasir Daud.
“Ia bakal menterjemahkan identiti dan akar muzik Search asal.”
Bukan rahsia bahawa Jun ini bakal menyaksikan pertembungan dua band Search – satu dianggotai Amy dan teman-temannya, manakala satu lagi menggabungkan dua beradik gitaris, Noordin dan Kid bersama Yan, dan Minn dengan penyanyi Indonesia, Denden menerusi Konsert Search Rockin’ On Rooftop, seminggu kemudian.
Cuba untuk tidak terganggu dengan perkembangan yang menjadi buah mulut penggemar seni, khususnya muzik rock, Amy menyifatkan penganjuran Konsert Endemik sebagai satu nostalgia buat peminat setia.
Dirancang asalnya untuk satu malam, pengumuman terbaru Search menyaksikan Konsert Endemik bakal berlangsung pada 4 dan 5 Jun ini bagi membolehkan peminat band berusia lebih empat dekad ini, termasuk dari rantau Asia menyaksikannya.
“… konsert paling epik dan bakal melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanahair, terutama scene rock n roll.” – Rizal Kamal, LOL Asia
Jelas Amy, keputusan itu juga didorong keupayaan Zepp Kuala Lumpur yang mempunyai ciri-ciri sekuriti yang hebat dalam memastikan keselamatan audiens kala Negara melalui fasa peralihan endemik.
“Ia (konsert) akan menjadi penanda aras baru bagi penganjuran konsert fasa endemik di Malaysia,” kata Amy, memetik kenyataan medianya mengenai penambahan konsert anjuran LOL Asia itu yang menelan kos lebih RM1 juta itu.
“Kami bukan saja merupakan band pertama membuat persembahan solo di Zepp Kuala Lumpur, tapi juga akan mempersembahkan buat pertama kalinya dua lagu baru daripada Search, iaitu Endemik 1 dan Endemik II, selain lagu-lagu signature Search yang menjadi kegilaan peminat-peminat kami.”
Keterujaan terhadap penganjuran Konsert Endemik yang membuka jualan tiketnya pada 28 April lalu, disifatkan Ketua Pegawai Eksekutif LOL Asia, Rizal Kamal, antaranya didorong status Search sendiri sebagai kumpulan rock No.1 di Malaysia, selain fasiliti bertaraf dunia Zepp Kuala Lumpur.
“Ia adalah peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan oleh kesemua peminat Search, terutamanya dengan line-up legenda, iaitu Amy, Nasir, Hillary dan Man Kidal. Search sendiri telah menjanjikan konsert paling epik dan bakal melakar sejarah di dalam lipatan industri seni tanahair, terutama scene rock n roll.”
Akses
- 4 & 5 Jun 2022
- Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre
- 8.30pm
Tiket
- Tiket serendah RM250 bagi Platinum, Gold, Silver dan Rock Zone
Untuk pembelian, layari lolasia.bigtix.io
Comments are closed.