Anuar Zain & Ziana Zain, Dan Satu Mimpi Indah
Buat julung kalinya, konsert Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022, Ogos ini.

Oleh Rumi

“Konsert ini akan menjadi golden moment, bukan saja kepada peminat tapi kami dua beradik.” – Ziana Zain

“Konsert ini bakal menjadi momen kolaborasi indah buat saya dan kakak saya yang telah sekian lama berada dalam industri ini,” kata Anuar Zain, nyata teruja dengan penganjuran konsertnya dan Ziana Zain pada 6 Ogos nanti.

Dianjurkan sebagai sebuah persembahan yang bakal menjadi mimpi indah buat audiensnnya, kenyataan penyanyi yang mula memikat pendengar seawal 1980an ini dizahirkan dengan tiket konsert yang terjual lebih 50 peratus dalam masa kurang tiga jam sebaik jualan dibuka. Sehingga berita ini ditulis, hanya berbaki kurang 200 tiket yang boleh dibeli.

Dikenali sebagai duo Anuar & Elina, antaranya dengan hits seperti Kain Pelikat dan Suasana Hari Raya, beliau kembali mengemaskan langkahnya sebagai penyanyi solo menerusi Bila Resah pada 1998.

Ini selepas Ziana hadir mengisi kekosongan yang ditinggalkan sementara oleh adiknya itu dengan single pertamanya, Madah Berhelah pada 1991, seterusnya menempa nama dalam legasi adik beradik yang mewarnai dunia seni.

Biar pun bukan kali pertama berkolaborasi dalam konsert berskala besar, peluang dan kepercayaan penganjur, Trumpet International Sdn Bhd dilihat Anuar sebagai satu penghormatan buat mereka dua beradik.

“Bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami,” katanya. “Kami mengambil peluang ini untuk bertemu dan menghiburkan peminat yang sekian lama menginginkan persembahan kami berdua.”

Bagi Ziana yang turut memperluaskan namanya dalam seni lakon, konsert berkenaan adalah hadiah buat peminat mereka.

“Konsert ini akan menjadi golden moment, bukan saja kepada peminat tapi kami dua beradik,” katanya.

Jurucakap penanjur, Koo Kien Keat yang juga merupakan bekas pemain badminton negara, menyifatkan Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan menjadi pengubat rindu buat peminat muzik dan penggemar pasangan itu selepas pelbagai aktviti seni, termasuk konsert bagai terhenti kerana pandemik.

“Kami amat berbesar hati menganjurkan konsert dua beradik, Anuar Zain dan Ziana Zain yang cukup bermakna ini.

“Ini merupakan kesempatan yang sangat hebat buat kami membawakan dua penyanyi dengan vokal emas dalam kolaborasi yang pertama kali diadakan dalam sejarah hiburan tempatan di Malaysia.     “Kami percaya Anuar Zain & Ziana Zain Live In Kuala Lumpur 2022 akan menjadi sebuah konsert yang tidak akan dilupakan,” tambahnya.

Akses

  • 6 Ogos 2022
  • Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)
  • 8.30pm

Tiket

  • Tiket RM288, RM588, RM788, RM988 dan RM1,188

Untuk pembelian, layari www.excitix.com.my atau hubungi 010-309 8998 untuk informasi.