Konsert 50 Tahun Hetty Koes Endang
Ogos ini pada malam yang digelar Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang selepas dua tahun tertangguh

Oleh Rumi

“… berdurasi selama 120 minit itu bakal diisi dengan 15 lagu hits lantunan Hetty, selain beberapa lagu khas sebagai tribute buat komposer dan penyanyi legenda seperti mendiang Broery Marantika dan Datuk Ahmad Nawab.”

RM11,700. Meja VVIP untuk enam orang mendahului senarai tiket paling mahal sempena keraian 50 tahun pembabitan Hetty Koes Endang dalam dunia seni suara yang tidak perlu dipertikaikan lagi kedudukannya.

Dan pada usia 64 tahun, sengat penyanyi Indonesia ini yang terkenal dengan muzik keroncongnya nyata masih berbisa.

Dianjurkan oleh Mahajaya Empire Sdn Bhd, konsert berkonsep makan malam ini seharusnya diadakan pada 2020 namun terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik dan akhirnya, dijadual untuk penganjuran di Kuala Lumpur pada 27 Ogos nanti.

Menurut kenyataan medianya, konsert berdurasi selama 120 minit itu bakal diisi dengan 15 lagu hits lantunan Hetty, selain beberapa lagu khas sebagai tribute buat komposer dan penyanyi legenda seperti mendiang Broery Marantika dan Datuk Ahmad Nawab.

Datuk Ramli MS bakal bertindak sebagai pengarah muzik. Penyertaan Ramli yang popular dengan panggilan Tok Ram, jelas mengujakan pelantun lagu malar segar, Kasih ini yang menyifatkan, “Muzik Tok Ram sangat hidup dan sentiasa yang terbaik.”

Akses

  • 27 Ogos 2022
  • Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur
  • 8pm

Tiket

  • Tiket VVIP, RM11,700 (6 semeja atau RM1,190 seorang); VIP, RM8,700 (6 semeja atau RM1,450 seorang); Platinum, RM6,640 (8 semeja atau RM830 seorang), Gold, RM4,650 (8 semeja atau RM750 seorang)
  • Untuk pembelian meja, WhatsApp +6012 9858809 (Kadir), +6019 2299717 (Fandy), +6012 4667299 (Mia)

Atau layari ilassotickets.com