Vibrasi 70an Gelap Bikinan Satwo Buat Melayang
Kecenderungan pada klasikal ke oldies, juga alternative ke post punk yang melahirkan genre Satwo.

Oleh Zurina Waji | Foto Luncai Emas

DUO multi-instrumentalis. Pembawa genre psych pop/ folk rock yang menggelar diri mereka Satwo.

Dan mereka kembali untuk memperdengarkan single kedua, Gelap selepas meraih perhatian lewat Untok Kita, tahun lalu.

Lari daripada bunyian kelompok mainstream, Rafiz dan Mazz, musisi berbakat ini memikat dengan mood Gelap yang buat anda kembali ke era psikedelik, membayangkan diri berbaringan, kaki berjuntai di buaian sambil memandang awan berkejaran.

Sepetang bersama pasangan asal Pahang ini, menyelami kecenderungan muzik mereka dan bagaimana mereka menemukan titik persamaan dalam penghasilan karya yang disifatkan sebagai Satwo.

“… saya cuma membayangkan kisah seseorang yang hidup tertekan, dihantui dosa lalu dan ingin berubah.. “ – RAFIZ

Apa yang mencetuskan kelahiran Gelap? Apa atau siapa yang menginspirasi, seperti daripada segi muzik dan lirik? Atau, mungkin pengalaman?

MAZZ: Idea untuk menulis lagu Gelap datang sedang kami dalam proses menulis beberapa lagu untuk dihantar ke Luncai Emas. Saya, ketika itu memetik ukulele beberapa kod dalam gaya lagu ala-ala koboi dan membayangkan feel yang berlatar belakangkan sebuah perjalanan yang panjang. Rafiz masuk dengan riff gitar dalam gaya lonely western yang minimalis dan terus ke meja, menulis lirik serentak dengan idea kord yang datang mengalir.

RAFIZ: Untuk lirik, saya cuma membayangkan kisah seseorang yang hidup tertekan, dihantui dosa lalu dan ingin berubah untuk suatu yang lebih baik. Bukan pengalaman, cuma percaya di luar sana ramai yang boleh kaitkan dengan kisah dalam lirik tersebut.

“… didedahkan dengan muzik seawal usia empat tahun apabila ibu bapa menghantar ke kelas piano, dan lebih terarah kepada muzik klasikal sehingga berusia 15 tahun.” – MAZZ

Sebagai duo suami isteri, adakah perhubungan ini memudahkan lagi penghasilan karya? Jelaskan kecenderungan muzik anda, secara peribadi.

MAZZ: Bagi kami, hubungan sebagai suami isteri memberi kami kelebihan untuk menghasilkan karya kerana kami lebih faham kekuatan kami secara individu. Walaupun berbeza latar belakang muzik, kami tetap mencari titik persamaan dalam menghasilkan karya Satwo.

Saya didedahkan dengan muzik seawal usia empat tahun apabila ibu bapa menghantar ke kelas piano, dan lebih terarah kepada muzik klasikal sehingga berusia 15 tahun. Pada usia 12 tahun, saya mula meminati kumpulan muzik seperti My Chemical Romance, selain lagu-lagu oldies seperti Engelbert Humperdinck, The Beatles, Neil Sedaka, The Bee Gees yang sering dimainkan orang tua.

RAFIZ: Saya mula bermain alat muzik, iaitu gitar semasa berusia 13 tahun kerana mengikut abang-abang. Saya meminati gitar setelah melihat Kurt Cobain daripada Nirvana, selain banyak terdedah kepada kumpulan muzik alternative awal 90an seperti Radiohead dan The Cranberries yang menginspirasi saya untuk bermain muzik secara serius.

Bagaimana perjalanan Gelap berbeza berbanding semasa menghasilkan Untok Kita? Atau, ia merupakan kesinambungan kepada sesuatu?

RAFIZ: Berbanding kisah Untok Kita (Hanya Kita) yang mengisahkan fantasia cinta tak kesampaian yang dihasilkan dalam satu malam, Gelap dihasilkan secara berperingkat. Lagu ini dikira siap pada awalnya dan pernah dipersembahkan pada satu sesi rakaman Luncai Emas x Siakap Keli.

MAZZ: Namun ketika berbincang dengan Luncai Emas, kami disaran mengolah kembali lagu. Ia diolah dan kami menggubah satu lagi bahagian tambahan, iaitu pra-korus supaya kedengaran lebih menarik dan idea itu dipersetuju penerbit, Ilham Mohamed Nasir.

“… tidak menetapkan bentuk atau bunyi tertentu bagi mewakili sesuatu jenis muzik. Kami mahu muzik Satwo lebih versatil dan mempunyai elemen lain daripada muzik rock dan sub-genre lain.” – RAFIZ

Selain psikedelik, anda juga dikaitkan dengan unsur seperti gothic. Kenapa itu yang ditampilkan Satwo? Siapa atau muzik semacam apa yang mempengaruhi perjalanan kalian?

RAFIZ: Kami suka melihat pendengar mentafsir muzik Satwo dalam pelbaga jenis genre muzik yang mereka andaikan. Dalam pembikinan lagu, kami tidak menetapkan bentuk atau bunyi tertentu bagi mewakili sesuatu jenis muzik. Kami mahu muzik Satwo lebih versatil dan mempunyai elemen lain daripada muzik rock dan sub-genre lain.

MAZZ: Secara peribadi, kumpulan yang memberi pengaruh kepada saya ialah The Beatles daripada sudut harmoni, juga Simon and Garfunkel dan tak ketinggalan kumpulan muzik 70an seperti Fleetwood Mac.

RAFIZ: Saya meminati muzik alternative seperti The Cure, U2 dan Radiohead, juga genre seperti art pop/ post punk seperti Joy Division. Pengaruh muzik sebegini banyak disalurkan dalam penghasilan bunyi dan attitude Satwo.   

Gabungan latar belakang pengaruh muzik Rafiz dan Mazz inilah yang menghasilkan karya Satwo.