Cerita Silam Bantu Mafarikha Jiwai <i>Kabut Serangkai Mawar 2021</i>
Remake hit Zaiton Sameon ini antara paling sukar pernah dibawa penyanyi berbakat ini.

Oleh Rumi | Foto Luncai Emas

Menaruh Harapan memang antara lagu kegemaran mak-mak kita. Daripada situ, saya tahu tentang Zaiton Sameon.”

“DIA memang seorang legenda,” kata Mafarikha mengenai Zaiton Sameon, penyanyi terkenal era 80an sebelum tragedi 1990 yang meragut nyawa anak tunggalnya akibat kemalangan yang turut. merencatkan kerjaya seninya.

Biar belum pernah bersua, nama Zaiton bukanlah asing bagi penyanyi yang baru menginjak usia 29 tahun ini.

“Mak saya merupakan peminat Zaiton Sameon,” katanya. “Menaruh Harapan memang antara lagu kegemaran mak-mak kita. Daripada situ, saya tahu tentang Zaiton Sameon. Belum pernah berjumpa tapi filem Zaiton, Ceritaku adalah antara cerita yang saya paling suka.”

Kini, bernaung di bawah Luncai Emas milik komposer dan penyanyi terkenal, Dato M Nasir, remake ini tentunya diharap menyemarakkan kembali nama Mafarikha yang pernah bergelar Naib Juara program realiti, Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama semasa berusia 19 tahun.

Sungguh pun berbakat, kenyataannya dia bergelut untuk menempatkan diri dalam dunia seni tanahair.

“Penjiwaan datang daripada pengalaman hidup yang jarang saya kongsi,”

Semasa kerjaya nyanyiannya dilihat tidak ke mana, dia kemudian menyertai pertandingan Asia’s Got Talent dengan lagu Hero, nyanyian asal Mariah Carey yang dipersembahkannya pada uji bakat menerima standing ovation daripada juri, iaitu David Foster, Anggun dan Jay Park.

Cubaan kembali dengan Kabut Serangkai Mawar 2021 yang digubah semula dan diterbitkan oleh Ashraf Aasimudin, Mafarikha mengakui dia menjadikan pengalaman hidupnya sendiri bagi menjiwa lagu berkenaan.

“Penjiwaan datang daripada pengalaman hidup yang jarang saya kongsi,” katanya, menerusi kenyataan medianya. “Bila kita gembira, kita akan nikmati lagu itu tapi bila kita sedih, kita akan fahamkan liriknya.

“Ini antara lagu paling susah saya pernah nyanyi kerana bila tempo sudah diturunkan, kita kena kekalkan not itu lebih lama.”

“Saya fahamkan liriknya dan buat sedikit kajian mengenai lagu itu, kebetulan lebih kurang dengan situasi yang saya pernah lalui.”

Jelasnya, antara perkara yang paling dibimbanginya ialah untuk menyanyikan lagu itu secara live sehingga habis.

“Saya juga mengambil tempoh lebih panjang untuk merakam lagu ini bagi mendapatkan not dan frasa yang terbaik,” katanya. “Ini antara lagu paling susah saya pernah nyanyi kerana bila tempo sudah diturunkan, kita kena kekalkan not itu lebih lama. Mungkin bahagian klimaks dan korus terakhir kerana back to back not tinggi.”

M Nasir sendiri, dalam satu kenyataannya, apabila ditanya mengenai potensi Mafarikha, menyifatkan “suaranya sedap dan unik.” Dia yang juga merupakan pencipta lagu itu, mengakui, “Mafarikha telah membawa lagu itu ke tahap yang tersendiri.”