6 Sutradara. 200 Kru. 100 Pelakon. 1 Filem. Juang, Orang Filem vs Covid-19
Bagaimana pandemik yang melumpuhkan dunia cetuskan idea projek mega tentang perjuangan barisan hadapan.

Oleh Rumi

“… dibintangi 100 pelakon, termasuk nama-nama besar industri seperti Zul Ariffin dan Zizan Razak, antara lain sebagai solidariti terhadap dunia seni yang ikut terkesan dengan penularan wabak ini.“

HERO tidak didendang sebagai inspirasi oleh enam sutaradara ternama yang bergabung, buat julung kalinya, untuk memberikan sentuhan emas mereka bagi mencipta sejarah dalam dunia perfileman tanahair.

Di mana lima kisah berlainan latar bakal digarap menjadi satu dan digelar Juang.

Gabungan Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Khabir Bhatia, Osman Ali, Matt Lai dan Eirma Fatima ini mengambil semangat dan cerita, terutama perjuangan mereka di barisan hadapan yang bangkit dan memperjuangkan kehidupan di sebalik musibah yang melanda disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Enam sutaradara ini juga akan dibantu sekitar 200 pelaku seni, selain dibintangi 100 pelakon, termasuk nama-nama besar industri seperti Zul Ariffin dan Zizan Razak, antara lain sebagai solidariti terhadap dunia seni yang ikut terkesan dengan penularan wabak ini.

Direncana untuk tayangan pada Mac 2021, misi berani ini digerakkan tiga rumah produksi tempatan, iaitu Asia Tropical Films yang diterajui Matt Lai sebagai penerbit, selain The Film Engine dan Suhan Movies, masing-masing diwakili Jack Lim dan Datuk Rosyam Nor.



Idea Juang, kata Matt Lai, tercetus semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa ramai harus diam di rumah yang memberi impak kepada banyak kehidupan, malah berubah hampir 360 Darjah.

“Di saat kita berdiam di rumah, ada barisan hadapan yang mempercaturkan nyawa dan hidup mereka yang tidak didendang dalam memberi khidmat kepada negara.

“Kita, rakyat Malaysia cukup terharu dan sangat berterima kasih dengan pengorbanan para pejuang yang tidak didendang ini,“ katanya, memetik kenyataan menerusi siaran medianya pada hari pelancaran filem itu, baru ini.

“Jadi, pihak kami mengambil inisiatif untuk mengucapkan rasa terima kasih terhadap komitmen semua pejuang dengan menghasilkan projek julung kali ini yang diberi judul Juang.

“Inilah masanya untuk kami semua bergabung dan setiap daripada kami tidak ingin terlepas daripada memberi sumbangan yang bermakna buat tanah air tercinta, Malaysia.“

“Mereka berhak mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada seluruh rakyat Malaysia dan mendokumentasikan semua momen ini di dalam sebuah filem adalah sebuah kebanggaan buat kami.“ – JACK LIM

Memutuskan rantaian Covid-19 dalam masa yang pendek, menurut Rosyam pula, adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia.

“Bagaimana ianya terjadi? Juang bakal memberi jawapan kepada kejayaan ini. Gabungan enam pengarah hebat akan memberi gambaran sebenar perjuangan barisan hadapan,“ jelas aktor senior popular ini.

Pandemik ini, menurut Jack Lim pula, bukanlah suatu yang manis untuk dikenang namun sebagai apresiasi kepada semua barisan hadapan yang bertungkus lumus melaksanakan tugas bagi menjaga negara, Juang dapat menonjolkan sisi positif dan melihat sebuah kehidupan lebih baik di masa hadapan.

“Mereka berhak mendapat penghormatan dan pengiktirafan daripada seluruh rakyat Malaysia dan mendokumentasikan semua momen ini di dalam sebuah filem adalah sebuah kebanggaan buat kami,” tambahnya.