Sebab Kawan, Awie Kembali Bersama Search Lewat Konsert Cinta Buatan Malaysia
Bukan sebagai pengganti Amy, hanya enggan band itu terkontang-kanting tanpa vokalis

Oleh Rumi

“Dia yang mencipta nama sebagai frontman Wings kemudiannya juga tidak menyembunyikan kekagumannya pada kumpulan itu yang masih disifatkannya sebagai “band rock pertama Malaysia.”

“KERANA Search juga adalah salah satu idola ketika saya remaja,” kata Datuk Awie mengenai kesediaannya untuk kembali sepanggung, selepas 22 tahun, bersama band legenda asal Johor itu pada Disember kelak.

Pernah disatukan menerusi album Bikin Wilayah pada 1998, juga setelah mereka kehilangan vokalis, Amy, projek kali ini mengembalikan nostalgia itu, termasuk semasa membesar dengan muzik Search, antaranya.

Dia yang mencipta nama sebagai frontman Wings kemudiannya juga tidak menyembunyikan kekagumannya pada kumpulan itu yang masih disifatkannya sebagai “band rock pertama Malaysia.”

Begitu pun, berkali-kali dia menjelaskan, soal mengambil alih tempat Amy tidak pernah timbul.

Seawal rencana awal yang mahu menyatukannya dan Search, Mac lalu, Konsert Apologia Search & Awieseharusnya menjadi sebuah persembahan penuh intimasi dengan peminat setia band berkenaan.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 nyata menyembunyikan hikmah. Dari lokasi kecil, rencana yang tertangguh dianjak ke Disember ini, menjadi sebuah konsert berskala besar.

Di malam yang digelar Konsert Cinta Buatan Malaysia Search & Awie #Apologia.

“Salah ke saya membantu?” kata Awie dalam temubual pada pelancaran awal konsert dulu apabila timbul isu berikutan pendedahan Nasir, pemain bass Search, mengenai kesukaran untuk mendapatkan Amy bagi mengadakan persembahan.

Projek asal, menurutnya seharusnya menampilkan Search, termasuk Amy sebagai penyanyinya.

“Kenapa mesti sekat kreativiti ini dek kerana seorang tidak mahu” kata Awie lagi, melihatnya sebagai kerjaya dan kreativiti yang tidak boleh dihapuskan. “Mereka kena teruskan. Atau, siapa nak menggantikan kekosongan ini?”

Dianjurkan oleh Imaginex dan HS Shazlicious Trading, konsert bersempena judul album pertama Search ini memperlihatkan gabungan Nasir, Din dan Kid bersama Awie, selain menampilkan Pae yang bermain dram.  

Jangkakan lagu-lagu seawal era Battle of the Band, juga segmen khas sebagai penghargaan kepada pemain dram asal Search, Allahyarham Yazit Ahmad yang meninggal dunia pada September tahun lalu.