“Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta…” – Jiwa Poovaa dan Patriotisme Warisan
Ada bara yang tercetus saat klasik Allahyarham Sudirman ini diberi nafas baharu.

Oleh Zurina Waji

“… emosi yang dilagukan penyanyi berusia 39 tahun itu dalam gayanya yang tersendiri adalah ketara untuk diabaikan.”

DIPERDENGARKAN kali pertama oleh Sudirman, penyanyi yang dijoloki Penghibur No.1 Asia dan dirakam semula 38 tahun kemudian oleh generasi baharu dalam susunan baharu boleh saja dilihat ibarat menghulurkan leher untuk dipancung.

Sebab, Warisan bukan lagu sembarangan.

Ditulis oleh Allahyarham Syed Haron Syed Ahmad dan dimuatkan di dalam album Sudirman, Abadi yang diterbitkan pada 1982, kecintaan yang ditiupkan penyanyi asalnya sudah terlalu sebati barangkali bagi pendengar dan sukar digugat.

Jadi, berbaloikah Poovaa?

Sehangat bara merah persalinan kebaya rekaan Syomir Izwa yang dikenakannya dalam video muzik Warisan, anak Selangor itu yang meraih perhatian penyanyi antarabangsa, Michael Bolton menerusi penyertaannya dalam program realiti, Asian Dream, baru ini  jelas mempesona.

Manis berkain batik, persembahan ala sinematik yang diberikannya sambil diiringi denting piano Sharon Chong, emosi yang dilagukan penyanyi berusia 39 tahun itu dalam gayanya yang tersendiri adalah ketara untuk diabaikan.

“… adalah begitu penting untuk kita menanamkan rasa cinta dan menaruh kepercayaan penuh kepada negara yang dicintai.” – POOVAA

Projek ini, menurutnya yang diputuskan dalam masa singkat telah mendapat khidmat RiroMuzikXPlayspace dan Rozhan Razman sebagai pengarah muzik, manakala video muzik diarahkan oleh Gbam daripada CST Productions.

Sungguh ada satu, dua perkataan yang kendengaran canggung sebutannya, untuk mendengarkan versi Poova dan merasakan bulu roma yang merinding pada beberapa bahagian hit Sudirman itu yang dilagukannya masih memberikan sebuah pengalaman indah.

Poovaa, tanpa dinafikan, memberikan jiwanya pada bait-bait patriotisme yang dilantunkan.

“Sedang dunia dilanda krisis yang juga membawa impak kepada rakyat Malaysia, adalah begitu penting untuk kita menanamkan rasa cinta dan menaruh kepercayaan penuh kepada negara yang dicintai,” kata penyanyi yang pernah dinobat Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Industri Muziik 2014 itu, seraya menekankan pemilihan Warisan yang disifatkannya “membawa mesej yang amat bertepatan.”

Dirakam semula sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang diraikan rakyat Malaysia pada 31 Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September kelak, pemilihan Warisan, antaranya adalah sebagai satu penghormatan kepada penyanyi lagenda yang digemarinya itu.

“Semasa mengadakan perbincangan berkaitan produksi single dan video muzik baharu saya, Karya, kami memutuskan untuk merakamkan lagu Warisan sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Ini adalah kerana kami sependapat bahawa lagu tersebut adalah sebuah karya hebat dan ingin menyampaikannya dengan gaya kami sendiri. Juga menjadi misi kami untuk memperkenalkan lagu ini kepada generasi peminat muzik Malaysia yang baharu,” katanya, memetik siaran medianya.

Dan satu saja harapan Poova, iaitu agar pendengar  “dapat merasakan semangat lagu ini yang sangat bermakna.”

Klik pada video atau pautan https://youtube/eRpOHdVGjbk untuk menonton.