“Bukan Nak Declare War, Nak Rock n Roll Je.” – Konsert Search Tanpa Amy
Kembalinya band legenda ini, dua tahun selepas menyepi, lewat Konsert Apologia Search & Awie, Mac ini.
Oleh Zurina Waji
“KALAU betul pengurusan kau kata kau tak nak menyanyi, dah tak larat, dah letih atau nak fokus bisnes dan famili, ini adalah hari yang paling menyedihkan untuk peminat,” kata Nasir Daud, pemain bass Search, mengimbau antara pesanan terakhirnya kepada vokalis, Amy menerusi WhatsApp.
Tiga minggu berlalu, pesanan itu tidak berbalas.
Konsert Apologia Search & Awie di The Bee, Publika pada 28 Mac iniyang seharusnya menyaksikan kembalinya band rock No.1 ini membangkitkan persoalan: Kenapa Awie dan bukan Amy? Berikut, ekstrak temubual baru ini bersama Nasir yang turut disertai Noordin dan Kid, pemain gitar Search selain Pae, pemain dram yang mengisi tempat Allahyarham Yazid, dan Datuk Awie, frontman Wings yang pernah bersama lewat projek album Bikin Wilayah.
Orang pasti tertanya, apa berlaku? Kata Amy kepada media, kerana konsert ini diberitahu saat terakhir.
Inilah yang tersirat, tidak dapat dijelaskan kepada orang ramai. Saya main peranan saja. Tiada (upah) ekstra, tiada gaji pengurus, tetap kerat (bahagi) lima. Saya hanya jalankan kerja bagi pihak band supaya semua dapat rezeki. Inilah kita punya bread and butter. Kita tiada pengurus. Siapa nak bantu kita kalau kita tidak bantu diri kita sendiri?
Contoh, konsert 30 Tahun (Fenomena) Searchdi Shah Alam, saya ke rumah Amy, jumpa. Saya ni Korporal balai je, dia (Amy) tu Jeneral. Saya akan menghadap dia. Amy senang saja, sangat mudah sebenarnya.
Show ini notis pendek, memang betul. Kita dah rehat hampir dua tahun, tiada show kita nak hidup macam mana? Selepas dua tahun, ada tawaran sekitar Oktober atau November tahun lepas. Januari, mereka kata teruskan dan setuju jumpa di Bangsar, Jumaat jam 3 petang untuk tandatangan kontrak di BSC (Bangsar Shopping Centre).
Saya ke rumah Amy bersama Kid, berbincang pasal konsert di Shah Alam, bertiga. Dia tidak banyak cakap, cerita pasal repertoire, lagu. Semua okay, tapi tiga hari sebelum tandatangan pengurusannya kata sebenarnya Amy tak nak show itu, tak nak terbabit. Amy dah penat, Amy dah tak larat, nak fokus bisnes.
Bagaimana ahli Search lain?
Terkejut apabila dia kata tak nak. Penganjur pun kecewa, tak boleh buat apa-apa tapi kita tak nak orang memanipulasi, melaga-lagakan, mengeruhkan keadaan. Kami tertekan, kecewa. Dapat show dalam keadaan langit mendung, siapa nak (batal)? Ini saya nak beritahu, kami band dengan bayaran paling tinggi, setakat ini.
Amir, salah seorang komiti (konsert Shah Alam) ambil inisiatif nak buat tempat empat, lima ribu (kapasiti) tapi tak dapat tarikh sama di Life Centre (Kuala Lumpur). Tak apa, kita buat di The Bee. Kalau penuh kita buat dua malam macam di Istana Budaya. Amir ambil inisiatif buat Search punya comeback pada 2020.
Tapi siapa nak isi kekosongan (penyanyi) itu? Amy bukan tinggalkan tapi kosong. Saya hubungi Din, dia jawap Awie. Kid pun kata, pilihan terbaik dan tepat. Saya tengok nombor Datuk Awie, tiap-tiap hari, seminggu. Saya tengok saja, nak tekan tak jadi. Sebab kalau saya tekan (keadaan) akan berubah.
“… kalau betul kau betul-betul tak boleh nak perform atau tak boleh terbabit lagi, kita buat konsert perpisahan untuk peminat.”
Berubah, macam mana?
Ia akan merubah haluan, senario. Ia akan merubah segala-galanya, maksudnya haluan Search, kedudukan Amy dan Search. Kita tak singkir dia tapi akan berlaku segala persoalan. Saya, Din dan Kid makin rapat sebab rasa tinggal tiga orang. Arwah Yazid dah tak ada, Amy dah bawa haluannya, jadi kami tinggal bertiga.
Sebelum saya tekan (telefon Awie), saya harap Amy akan menelefon, ‘Jom, kita main di konsert itu.’ Itu yang saya tunggu tapi tiada, lalu saya hantar pesanan. Berjela, blue tick saja. Perkara lain tidak mengapa tidak jawap tapi ini penting. Ini periuk nasi kawan-kawan, hal lain kalau tak mahu balas tak mengapalah.
Apa pesanan dihantar kepada Amy?
Saya tulis, kalau betul pengurusan kau kata kau tak nak menyanyi, dah tak larat, dah letih atau nak fokus bisnes dan famili, ini adalah hari paling menyedihkan untuk peminat. Kedua, kalau betul kau betul-betul tak boleh nak perform atau tak boleh terbabit lagi, kita buat konsert perpisahan untuk peminat. Ketiga, kalau tak boleh, pada bila-bila masa kalau rasa nak perform, kita tunggu dengan berlapang dada, tangan terbuka.
Dia tak jawap. Nak apa lagi? Maaf, Search terpaksa jalan terus. Sebab kami pun nak hidup, kami pun ada tanggungan famili macam orang lain. Kami hanya mahu restu daripada kau (Amy) dan tolong, restui kami.
Ayat terakhir saya agak sinikal, ‘Aku tak nak tengok lagi salah seorang daripada (ahli) Search mati di General Hospital (Allahyarham Yazid meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur). Saya berkias, maknanya kita kena fikir pasal hari susah, hari kita sihat, hari persaraan kita. Itu pesanan terakhir saya, dia tidak jawap juga.
“Siapa nak singkir kawan kita yang dah lama? Kita sayang dia, dia penyanyi kita. Tak mungkin kita nak singkir dia dan saya sayang dia, selalu menangkan dia… ”
Bila pesanan terakhir itu?
Tiga minggu lepas. Kita beritahu Amy, ada gig kecil pada Mac, iaitu 28 Mac, tarikh sama kita patut buat di Shah Alam cuma tukar format, besar jadi kecil. Ini bukan benda mengarut, bukan nak cari pasal.
Saya tak tahu apa persepsi Amy, tapi saya nak beritahu kita tidak singkir dia. Siapa nak singkir kawan kita yang dah lama? Kita sayang dia, dia penyanyi kita. Tak mungkin kita nak singkir dia dan saya sayang dia, selalu menangkan dia.
Saya nak selesai secara dalaman, tak nak kecoh. Cuba selesaikan, tak payah nak diparahkan lagi. Sekarang ini, bukan hubungan tidak baik tapi dia mendiamkan diri, sejak hari itu. Kita bukan bergaduh, tapi Search nak move on.
Kita akan kekalkan dengan pakej Datuk Awie (sebagai vokalis). Kita tak mahu membataskan lagi Search punya pergerakan. Nak kena tunggu Amy punya masa, bila? Saya tengok jadual yang dihantar pengurusannya, dia tiada masa terluang sehingga hujung tahun. Jadi, adakah kami perlu menunggu lagi satu, dua tahun lagi?
“Cuma kita tak nak pihak ketiga yang cuba mengeruhkan keadaan, melaga-lagakan antara Search dan Amy, Amy dan Datuk Awie, Datuk Awie dan Wings atau Wings dan Search sebab sebenarnya, semua okay.”
Sejak bila timbul masalah berkomunikasi ini?
Lebih kurang dua, tiga tahun lalu sejak pengurusan ini… sukar nak sahkan satu-satu tawaran sebab jadual Amy mesti berlaga. Pengurusannya kata Amy nak ke Indonesia, ke (Gunung) Kinabalu, nak menyelam, nak ke Singapura.
Orang lain pun sibuk, macam Datuk Awie ada Wings, ada Dragon Malaya tapi dia ada masa untuk Search. Saya tak kata Amy tak bekerja, cuma Amy dah buat benda lain, fokusnya lain.
Adakah alasan itu melukakan hati Search memandangkan anda semua sudah lama bersama?
Memang melukakan tapi macam yang saya cakap kita tetap manjakan dia, kita cakap tak apa lah. Kita maafkanlah.
Search banyak mengalah kerana Amy?
Kita banyak mengalah, kita banyak beri dia ruang untuk dia, untuk diri dia. Bukan tak ada tawaran, tapi saya selalu beritahu promoter kena tanya (Amy) dulu. Saya berterus-terang, kita bukan nak declare war, nak Rock n Roll je.
Saya tahu ia akan mengundang banyak persoalan. Cuma kita tak nak pihak ketiga yang cuba mengeruhkan keadaan, melaga-lagakan antara Search dan Amy, Amy dan Datuk Awie, Datuk Awie dan Wings atau Wings dan Search sebab sebenarnya, semua okay.
Bagi Awie sendiri?
Salah ke saya membantu? Search adalah band pertama rock Malaysia, juga salah satu idola ketika saya remaja. Bila dapat peluang dalam Bikin Wilyah misalnya, konsert yang pernah kita lakukan, apabila ditawarkan (Konsert Apologia) nostalgia itu kembali.
Ini adalah tanggungjawab kepada Search, juga diri saya untuk membesarkan keluarga dan Search untuk menjaga keluarga mereka. Ini kerjaya dan kreativiti yang tidak boleh dihapuskan, dibawa 40 tahun lalu dengan album pertama mereka, juga saya. Kenapa mesti sekat kreativiti ini dek kerana seorang tidak mahu? Mereka kena teruskan. Atau, siapa nak menggantikan kekosongan ini?
Awie pernah berhadapan perkara sama semasa berurusan dengan pengurusan Amy?
Pernah, semasa merancang konsert Double A’s di Istana Budaya. Sudah berbincang secara peribadi pun, tapi kemudian pengurusannya kata sejarah Amy mahal. Dia tolak, saya terkedu. Nak buat (konsert) Double Trouble pun tak dapat respons. Bukan bermaksud kita putus hubungan. Saya anggap positif, Amy sibuk. Dia nak jaga famili, nak buat bisnes.
Awie juga pernah bantu Allahyarham Yazid.
Sudah tahu masalah ini, tak kan kita nak biarkan legenda dua tahun tak buat apa-apa? Bukan kata saya baik, pernah tolong Arwah Abang Yazid. Itu semua Allah yang tentukan. Bukan saya yang menentukan jalan hidup saya. Ini semua sudah tertulis, sudah tersurat.
Ini semua mungkin kerana Allah yang tentukan, pertemuan ini dijanji, saya buatlah apa yang disuruhNya. Itu saja. Tak ada lebih daripada itu dan jangan ada orang ketiga yang mahu lihat kami berbalah.
Comments are closed.