“I Owe You Big Time.” – Kembara Ella dan Abang Ramlinya
Kali pertama, sejak kelahiran Pengemis Cinta, Kembara Kita jadi saksi keindahan sebuah perjalanan.

Oleh Zurina Waji | Foto Rasa Karya

HUJAN yang beransur pergi sebaik Kembara Kita siap untuk malam dua bintangnya, serasa bagai meniupkan rahmatnya.

Malam juga terasa singkat, barangkali kerana dibuai sosok seumpama Datuk Ramli Sarip dan Ella. Ia malam yang sudah disuratkan sejak pertemuan mereka 31 tahun lalu yang dinukilkan menerusi karya indah. Kala dikhabarkan mengenai rencana konsert anjuran Rasa Karya Sdn Bhd ini, tahun lalu, ia adalah suatu yang hampir tidak terduga namun cukup mengujakan.

Berlari anak dalam gerimis memasuki Istana Budaya, saya membayangkan malam yang mungkin agak beremosi apabila mengimbau cerita Ramli bagaimana idea ini dicetuskan gitaris terkenal, Aji sebelum dia meninggal dunia kerana serangan jantung, September tahun lalu.

Lebih sentimental, barangkali, buat Ella yang hampir setahun lalu, menerima standing ovation saat berada di pentas sama lewat Konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur 2019 bersama Allahyarham atau nama sebenarnya, Fauzi Samin, sebagai antara pemuzik yang mengiringinya.

“… bagaimana Kembara Kita bakal diterjemahkan, meliputi bukan semata repertoire dengan rasa Blues dan Rock n Roll…”

Kesesakan luar biasa di ibu kota selepas hujan tanpa diketahui audiens yang lebih separuh memenuhi, meresahkan Ella. Resah kerana ada peminat yang masih terperangkap di jalanan, ditambah gementar yang lebih daripada biasa.

“Kerana ini suatu yang berbeza,” kata Ella yang ditemui usai konsert malam pertama itu. “Ella nak buat lagu yang Ella tidak pernah bawa, seperti Cinta Mawar Putihmy favourite.”

Ia malam yang bakal memperlihatkan bagaimana Kembara Kita bakal diterjemahkan, meliputi bukan semata repertoire dengan rasa Blues dan Rock n Roll yang diungkap Ramli, sebelumnya. Tapi keupayaannya sebagai refleksi pertemuan dalam perjalanan berbeda zaman dan usia ini.

“Sebagai album, Pengemis Cinta mencorakkan langkah Ella yang lahir pada era Battle of the Band untuk menjadi satu jenama berpengaruh, daripada karya sampailah citarasa fesyen sebagai statement.”

Ella bermula dengan Prinsip, karya Ramli / lirik Nasir Jani daripada album 1991, Identiti. Ia yang ketiga diterbitkan Ramli selepas Pengemis Cinta (1989) dan Puteri Kota (1990). Bolero dan Tiada Tangis Lagi menyusuli pembukaan dalam persalinan Kit Woo yang mengimbau gaya inspirasi 80an dengan jaket polos oversized shoulder pad, dipadan bersama sarung tangan, celana dan but hitam, dan anting-anting sebelah.

Diiringi Roza Rasul sebagai Pengarah Muzik dan pemain keyboard, Ude Wahid (keyboard dan biola), Addy Rashidi dan Helmi (gitar), Din Safari (bass), Tom Anuar dan Bob Wahid (dram) serta Kamrun Hussin (perkusi), selain Izzat dan Baby (penyanyi latar), Ella meneruskan malam dengan Cinta Dusta, diikuti Pengemis Cinta yang saya kira paling signifikan dalam percaturan awalnya sebagai penyanyi rock wanita solo pada usia 23 tahun selepas meninggalkan The Boys.

Sebagai album, Pengemis Cinta mencorakkan langkah Ella yang lahir pada era Battle of the Band untuk menjadi satu jenama berpengaruh, daripada karya sampailah citarasa fesyen sebagai statement. Sepertimana jaket kulit ala biker chick tertera Rock Queen di belakang, cetusan idea penata gaya Jiman Casablancas dalam persalinan penuh kulit, nyata sempurna buat Ella.

Sungguh. Ella menakjubkan, menghangatkan malam dengan suara, gaya dan energi rocknya sebagaimana 31 tahun lalu. Dan malam Kembara Kita hanya mengesahkan mengapa gelar Ratu Rock yang diberikan kepadanya masih tidak tergugat, sampai kini.

BERLARI BERSAMA ANGIN

“SAYA kenal Ella dulu, jeans koyak sini, tang lutut… koyak sana,” kata Ramli, mengulangi selorohnya di pentas dalam konsert yang disifatkannya sebagai “satu perjalanan yang dilalui bersama.”

Bertemu usai konsert, saya merasa bagai menumpang teduh dalam auranya. Ditanya bagaimana pula perjalanannya, lelaki digelar Papa Rock ini berkias, “Saya macam seorang petani, tanam pokok benih dan ia berbuah. Pokok jadi besar, keluarkan hasil banyak dan rendang untuk kita boleh duduk.”

Jam sudah melewati tengah malam dan mengingatkan aksinya di pentas tadi, tiada lain kecuali mengagumi lelaki berusia 67 tahun ini. Bicaranya mempesona, matang dan beradab, tegas namun lembut menyapa. Dia tidak teragak-agak mengakui, memberi penghormatan seperti dia menggelari Ella, superstar.

“Ella ini lagi sensitif, emosi. Saya macam abang dan dia, orangnya sangat naïf. Gabungan ini satu nostalgia, macam perjalanan muzikal saya dan Ella,” katanya, nada berbaur bangga.

Saya jadi teringat saat Ella memberikan Sepi Sekuntum Mawar Merah lewat versi akustik. Perasaan bercampur baur, mendengar lantunannya yang beremosi dalam momen bermakna yang didedikasi buat Allahyarham Aji yang tidak lagi menemaninya di pentas.

Berat nampaknya Ella cuba menelan kesayuan, namun dia menghela nafas dan melakukan yang sepatutnya, iaitu meneruskan persembahan biarpun awalnya, sedikit terganggu dengan pencahayaan dan sistem bunyi yang longgar, melagukan medley Retak, Rama-Rama dan Nuri sebelum Ramli mengambil alih persembahan.

Akui bekas frontman Sweet Charity ini, pemilihan lagu adalah rumit. Mula dengan Tersendiri, diikuti Sejuta Wajah dan Panah Beracun memperlihatkan kompromi bagi sebuah persembahan santai dan sederhana, dari zaman band ke solo dan lagu-lagu yang menurutnya, “sering jadi permintaan dulu atau popular, sampai ke felda.”

“… Apa Khabar Sayang dengan mood Melayunya, paling mendamaikan perasaan namun Teratai menyentuh sudut antara paling dalam dalam hati dengan ketulusan lantunannya.”

Orang Kota yang dianggap Ramli “bukan dakwah, tapi sebagai perkongsian tentang kehidupan“ yang dipersembahkan di antara Tajam dan Keliru memberi drive pada persembahan. Mood tenang mendengar puisi Kekasihku berubah dengan Istilah Bercinta, hit 1988 daripada album solo, Istilah.

Zakiah, hit God Bless yang dirakam semula pada 1978, dilagukan sekaligus mengimbau pada pengaruh muzik Indonesia, selain Kamelia, dalam membicarakan perjalanan awal Sweet Charity yang ditubuhkan Ramli di Singapura pada 1967.

Gitaris Man Kidal muncul memberi kejutan kemudiannya lewat Jikalau Berkasih daripada album Ramli Sarip yang memulai kerjaya solonya pada 1985. Ramli senyum apabila saya kemudiannya memberitahu Apa Khabar Sayang dengan mood Melayunya, paling mendamaikan perasaan namun Teratai menyentuh sudut antara paling dalam dalam hati dengan ketulusan lantunannya.

Cinta Mawar Putih ciptaan Ramli/ lirik Usop daripada album Puteri Kota, kali pertama dibawa duet oleh Ella dan Ramli, diikuti Datang dan Pergi. Konsert berlabuh dengan Kembara Kita, karya Ramli/ lirik Dr Wan Zawawi Ibrahim yang menyaksikan mereka berlai anak mendekati audiens lagi, menjadikan persembahan terasa cukup peribadi.

“I owe you big time,” kata Ella, menghampiri penghujung konsert. Bahasa tubuh Ella cukup untuk menjelaskan rasa hormatnya, dan Ramli yang dianggap seperti abangnya, bagai tersipu. Konsert ini, menurut Ella yang kembali pada malam kedua dalam persalinan Adila Long dan Syomirizwa Gupta, adalah juga satu tribute kepada Ramli.

Kenapa hanya tiga? Saya termangu.

Sebetulnya, saya mengharapkan beberapa duet lagi diberikan Ramli dan Ella, bersesuaian dengan matlamat konsert yang membicarakan tentang perjalanan mereka. Setidak-tidaknya, sebuah lagu yang pernah dirakam Ramli atau Sweet Charity yang memberi makna buat Ella dan diberi susunan baharu untuk dinyanyikan dan sebaliknya.

Jujur, saya mungkin tidak menemui kepuasan tapi malam itu masih sebuah perjalanan indah dan tidak ada pertikaian untuk itu.