Bara Search & Awie di Konsert Apologia
Dua tahun menyepi, band legenda Search kembali untuk sebuah kemunculan penuh bermakna
Oleh Rumi
KENAPA Awie, bukan Amy?
Selepas dua tahun tidak muncul dalam mana-mana persembahan pentas, Search bakal kembali, Mac ini menerusi Konsert Apologia yang menampilkan vokalis Wings, Datuk Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman yang akan bersama pemain bass, Nasir Daud, Noordin Mohd Taib atau Din (gitar irama) dan Hamzah Mohd Taib atau Kid (gitar utama), selain Pae yang mengambil alih kekosongan Allahyarham Yazid Ahmad.
Ini apa yang anda perlu tahu mengenai konsert anjuran Imaginex ini:
KENAPA BUKAN AMY
Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, menurut Nasir, tidak meninggalkan Search tetapi pertembungan jadual dengan tarikh persembahan menyebabkan berlaku kekosongan. Cadangan Din untuk mengambil Awie dipersetujui sebulat suara oleh Kid, juga Nasir.
Konsert Apologia adalah penggabungan kedua Search dan Awie selepas 22 tahun.
Nasir, dalam satu temubual, mengakui kesibukan Amy yang turut memberi alasan mahu fokus kepada soal bisnes dan family mendorong mereka memutuskan untuk tidak lagi membataskan pergerakan Search dan perlu bergerak demi kelangsungan hidup.
BILA AWIE BIKIN WILAYAH
Awie, kali pertama tampil bersama Search menerusi projek album Bikin Wilayah pada 1998 selepas vokalisnya, Amy meninggalkan band itu untuk bergerak solo. Seperti Amy, Awie ketika itu juga sudah tidak lagi bersama Wings.
Sebaik siap, Search bagaimanapun dilihat di ambang perpecahan apabila Din dan Kid, juga Fauzi (bass) pula memutuskan keluar dariapda band itu, menyaksikan pemain dram, Allahyarham Yazid sendirian mengemudi.
Bikin Wilayah dianugerahi Album Rock Terbaik pada Anugerah Industri Muzik (AIM) 1999.
NUR NILAM SARI
Bikin Wilayah yang dilahirkan pada tahun sama album Double Troube dikeluarkan memuatkan, antaranya Nur Nilam Sari.
Lagu oleh M Nasir dan lirik Loloq itu mengambil judul sempena nama bayi perempuan pertama komposer itu hasil perkahwinannya dengan Junainah yang meninggal dunia akibat barah, tiga bulan selepas melahirkan. M Nasir, semasa Konsert Gembala di Singapura pada 1999, mengungkapkan lagu itu sebagai “lagu yang agak istimewa” yang “memberi kenangan yang mungkin manis, mungkin pahit.”
YAZID, SATU KENANGAN
Konsert Apologia akan menampilkan satu segmen penghargaan kepada Allahyarham Yazid yang meninggal dunia pada 26 September tahun lalu menerusi lagu Hello Kawan daripada album ketujuh Search, Gema di Timur Jauh.
Selain lagu-lagu daripada Bikin Wilayah, konsert ini juga akan menyaksikan Awie melontarkan lagu-lagu popular pilihan Search.
T-SHIRT ISTIMEWA KONSERT APOLOGIA
Apa kata sambar sehelai, dua koleksi edisi Konsert Apologia daripada Home of Champions ini yang mengiringi kembalinya Search ke pentas selepas dua tahun menyepi?
Bagi setiap pembelian tiket RM299, t-shirt diberikan percuma terhad kepada 150 helai atau dapatkan pada harga RM90 sehelai bagi pembelian secara berasingan. Layari IG @homeofchampions.store atau dapatkan di pintu masuk pada hari konsert.
Comments are closed.