Kolaborasi Volkswagen dan Tarik Jeans Demi Malayan Tapir!
Kempen selamatkan haiwan terancam itu lewat pelancaran koleksi edisi terhad, Modern Nostalgia.

Oleh Rumi    |    Foto Tarik Jeans

MODEL ikon dan moden Volkswagen, digabung bersama elemen rekaan vintaj dan klasik tempatan. Itu bagaimana koleksi yang digelar Mondern Nostalgia ini membawa jenama denim jalanan tempatan, Tarik Jeans setapak ke depan.

Unik, memang.

Ia, di mana fesyen dijadikan platform dalam jalinan kerjasama dengan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), sebuah jenama automotif inovatif ternama dunia, dalam usaha mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran mengenai Malayan Tapir yang kini diancam kepupusan.

“… Modern Nostalgia banyak berkisar tentang model-model Volkswagen dan kecenderungan Tarik terhadap skim rekaan retro-futurisme Malaysia.” – Afiq Iskandar

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tarik Jeans, Afiq Iskandar, menerusi satu kenyataan akhbar, berkata Malayan Tapir telah ditambah menjadi logo jenama, iaitu tambahan kepada logo utama, Mamak ‘Teh Tarik‘ yang kedua-duanya dicipta selari dengan falsafah jenama mereka.

“Malayan Tapir telah sentiasa menjadi sebahagian daripada estetika rekaan Tarik,” katanya, mengenai inisiatif yang telah dilaksanakan menerusi pelancaran kapsul koleksi Modern Nostalgia yang eksklusif, baru ini, sesuai dengan keraian ulang tahun ke-10 mereka.

Sebanyak 50 peratus daripada jualan kempen ini akan disalurkan ke Hutan Simpan Kenaboi, Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Tapir Sedunia pada 27 April ini.

“Sebagai satu kapsul koleksi, Modern Nostalgia banyak berkisar tentang model-model Volkswagen dan kecenderungan Tarik terhadap skim rekaan retro-futurisme Malaysia.”

Koleksi didatangkan dalam pelbagai barangan seperti kemeja-T, topi, bandana, beg tote, rantai kunci dan pelekat pakaian. Sebanyak 50 peratus daripada jualan kempen ini akan disalurkan ke Hutan Simpan Kenaboi, Negeri Sembilan sempena sambutan Hari Tapir Sedunia pada 27 April ini.

Malayan Tapir merupakan satu-satunya spesis tapir yang hidup di kepulauan Sumatera dan Selatan Thailand, selain Semenanjung Malaysia. Spesis ini mempunyai corak tersendiri dengan jangka hayat sehingga 30 tahun, namun kini mengalami kepupusan berikutan pembangunan tapak pertanian, pembalakan, malah akibat diburu dan penyeludupan haram. Dianggarkan sehingga kini, terdapat kurang daripada 3,000 ekor tapir yang tinggal.

Sementara itu, Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, di dalam kenyataannya, mengakui teruja dengan kolaborasi berkenaan, malah berbesar hati dapat berpeluang memainkan peranan dalam projek yang bermakna itu.

“Tunjang utama Volkswagen adalah kelestarian. Kumpulan Volkswagen telah banyak melabur ke dalam usaha ini menerusi lebih 500 projek kelestarian di seluruh dunia,” katanya. “Sudah pasti, kami tidak akan berhenti di sini dan akan terus mencari jalan untuk menyumbang ke arah perubahan yang lebih baik.”

Malayan Tapir, menurutnya lagi, merupakan satu lagi spesis terancam selain harimau Malaya, gajah Borneo dan orang utan.

“Sebagai penjaga hutan hujan, tapir memainkan peranan penting dalam mengekalkan kepelbagaian biologikal habitat. Ini kerana, ia membantu menyebar dan menyuburkan benih yang amat diperlukan untuk pertumbuhan pokok-pokok,”tambahnya.

Untuk pembelian koleksi Modern Nostalgia, sila layari Volkswagen di www.volkswagen.com.my/home/tarik , Tarik Jeans https://tarik.my/modernnostalgia , Shopee https://shopee.com.my/tarikjeans , Zalora www.zalora.com.my/tarik-jeans dan semua pengedar Volkswagen di seluruh negara.