“90 Peratus Lagu 70an, 80an, 90an.” – Tentang Konsert 4G’s dan Impian Empat Lelaki
Sebagai quartet, Hazama, Black Hanifah, Tomok dan Akim mahu ke satu tahap berbeda. Cetus fenomena.

Oleh Zurina Waji

“Bukan nak gaduh siapa mahu menyanyi bahagian mana, siapa suara lebih dahsyat, siapa lebih hebat.” – Hazama

“INI bukan soal siapa lebih terol,” kata Hazama, tidak buang masa mahu membetulkan persepsi, sekiranya ada. Isunya, tentulah mengenai penggabungan empat penyanyi solo lelaki lewat persembahan yang digelar Konsert 4G’s.

Dua tahun, seperti menurut Black sebelum itu, mereka menyimpan hasrat untuk bergabung di pentas, satu hari nanti.

Keserasian sebagai sahabat antara mereka berempat membibitkan keinginan untuk menghadiahi penggemar muzik tempatan dengan sebuah persembahan sebagai quartet. Impian yang bagaimanapun, diakui tidak mudah.

Lantaran itu, biar pun saat mereka hanya menghitung hari untuk malam itu direalisasikan April kelak, ia masih terasa seolah mimpi.

“Bukan nak gaduh siapa mahu menyanyi bahagian mana, siapa suara lebih dahsyat, siapa lebih hebat,” kata Hazama lagi, membetulkan jaket hitam yang dikenakannya pada petang pertemuan. “Ini konsert untuk kami berempat, menyanyi bersama.”

Kerana itu, menurut Akim pula, bukan penampilan sebagai penyanyi solo dengan barisan hits masing-masing  yang akan diberikan pada malam konsert anjuran Belbis Sdn Bhd itu yang digambarkan “80 peratus atau sehingga 90 peratus lagu yang akan dinyanyikan bukan lagu kami.”

Jadi, sebuah tribute, mungkin?

“Lagu yang banyak mempengaruhi kami,” kata Hazama, mengulas repertoire bagi konsert yang bakal berlangsung selama dua malam di Istana Budaya, bermula 17 April ini.  “Iaitu lagu-lagu yang menjadi punca, penyebab kami menjadi penyanyi.

“Ingat Sons of Adam? Memori Luka, antaranya.”

“Juga kerana, tiada siapa pun dapat menafikan bahawa melodi terindah ada pada lagu-lagu era 70an, 80an, 90an.” – Hazama

Dan sudah tentu, celah Akim, lagu-lagu seawal era 70an seperti daripada Revolvers dan Carefree, antaranya yang bakal membarisi sebahagian besar daripada hampir 30 lagu yang akan dipersembahkan pada malam konsert.

Ini, tambah Hazama, bakal menyuntik kelainan dan pada masa, ingin memberi pendedahan kepada peminat muda mereka menerusi persembahan yang bakal mendapat sentuhan Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik dengan sebahagian lagu diberi nafas baru.

“Jika konsert, menyanyikan lagu-lagu sendiri… itu sudah biasa. Kami berempat memang berkawan, bukan setakat depan TV atau masa bekerja. Jadi mudah berbincang dalam soal pemilihan lagu dan menyanyi bersama.

“Lagu-lagu seawal era 70an banyak mempengaruhi kami untuk menceburi dunia nyanyian, satu masa nanti. Juga kerana, tiada siapa pun dapat menafikan bahawa melodi terindah ada pada lagu-lagu era 70an, 80an, 90an,“ kata Hazama.

Sambil senyum, Tomok pula ikut mencelah untuk memberi bayangan mengenai pemilihan lagu yang membabitkan “lagu penyanyi lelaki dan perempuan dan ada lagu tradisional, pokoknya ada banyak elemen kejutan, malah dangdut.”

Fandy (tiga dari kanan) diapit Aida Husin (Mewah Event Management) yang mengendalikan promosi dan tim sokongan, selain Aubrey (paling kiri)

Fandy Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Belbis Sdn Bhd, pada sidang akhbar sebelum itu, percaya kekuatan vokal Hazama dan Black, selain Tomok dan Akim dengan persembahan yang tersendiri, akan menggegarkan Istana Budaya.

“Mereka akan jadi legenda,” katanya, yakin.

Enggan berkongsi anggaran kos untuk menghimpunkan empat penyanyi berkenaan menerusi Konsert 4G’s, menimbulkan pertanyaan adakah berbaloi dengan apa yang perlu dilalui, baik oleh penganjur mahu pun karyawan.

Aubrey yang turut hadir, sebaliknya menyifatkan apa yang penting ialah usaha untuk menghidupkan seni tempatan.

“Saya kagum dengan keberanian Belbis (penganjur) kerana membantu mencambahkan seni atau industri muzik. Kita ada Istana Budaya untuk itu dan kalau kita tidak buat seumpama ini, seolah-olah negara tidak punya budaya.

“Orang tanya berbaloi atau tidak buat semua ini, daripada sudut pandangan orang seni, sebagai orang seni kita kena berkorban,” katanya, sekaligus melahirkan kekagumannya pada komitmen yang diberikan empat penyanyinya.

Konsert 4G’s adalah antara agenda yang turut menghangatkan kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020. Tiket bagi 16 kerusi istimewa dijual pada harga RM988, setiap satu dengan tiket biasa boleh didapatkan pada harga serendah RM98 menerusi www.airasiaredtix.com