“Pemungut Sampah, Tukang Sapu Tak Dipandang Pun Tapi Selepas PKP…”

Oleh Jamil Mohamad

“… selama ini kita tak perasan pun, tak pandang pun pemungut sampah dan tukang sapu ini. Sesudah terjadinya PKP ini,  terdetik hati  ‘Ya Allah! Besarnya jasa mereka ini… ”

“KITA terlupa, kita terlepas pandang pada pemungut sampah, tukang sapu,” kata Jamil Mohamad yang bersama tiga rakan lain, memulai infaq kepada “wira tidak didendang” ini di sekitar Kuantan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan.

“Sayu hati saya apabila dalam perbualan singkat dengan mereka, ada yang mengakui bekerja juga biarpun kadang terpaksa mengikat perut. Ada yang terharu diberi makanan, mahu bawa pulang untuk dikongsi dengan isteri dan anak-anak di rumah.

“Saya rasa malu, insaf apabila memikirkan ada segelintir kita yang jauh lebih berkeupayaan namun banyak merungut, malah ada mengharapkan bantuan khusus sedangkan ada golongan yang lebih memerlukan… ”

“Secara jujurnya, selama ini kita tak perasan pun, tak pandang pun pemungut sampah dan tukang sapu ini. Sesudah terjadinya PKP ini, terdetik hati ‘Ya Allah! Besarnya jasa mereka ini walaupun tidak kurang yang menghina, memandang rendah pekerjaan mereka.”

Sumbangan berupa set sarapan dan makan tengah hari, menurutnya mungkin tidaklah seberapa namun perkongsian cerita ini diharap dapat membibitkan lebih penghargaan terhadap pengorbanan golongan yang jarang dipedulikan ini.

Apatah lagi, katanya apabila ada sebahagian masyarakat asyik merungut walaupun dalam keadaan masih selesa di rumah selama PKP sebagai usaha mengawal pandemik Covid-19 yang sehingga kini, dilaporkan sudah menjangkiti lebih 1 juta penduduk dunia.

“Sayu hati mendengar cerita seorang tukang sapu yang menepikan rasa gerunnya pada penularan wabak Covid-19, meredah perjalanan 80km berulang-alik dari Felda Neram ke Kuantan, setiap hari, demi mencari rezeki,” katanya, mengimbau pertemuannya dengan wanita berusia lewat 40an itu, baru ini.

Jarang dipedulikan, petugas kebersihan ini terus berjuang selama tempoh PKP

“Saya rasa malu, insaf apabila memikirkan ada segelintir kita yang jauh lebih berkeupayaan namun banyak merungut, malah ada mengharapkan bantuan khusus sedangkan ada golongan yang lebih memerlukan, ternyata lebih tabah dan berusaha berdepan keadaan ini.”

Sejujurnya, akui usahawan ini yang terbabit dengan bisnes kulinari keluarganya, dia tidak menyangka sebegini besar hikmah diberikanNya dalam tempoh PKP ini yang menginsafinya untuk memahami syukur dalam erti kata sebenar.

“Satu pagi, saya ke pasar dan ternampak tukang-tukang sapu dan pemungut sampah sudah mula bekerja, begitu juga posmen. Saya juga ada terbaca posting PU Rahmat di Instagram yang menggelar golongan pemungut sampah sebagai hero dan saya tahu saya tidak boleh diam saja.

“Saya ajak seorang dua kawan untuk infaq kerana bagi saya, mereka ini seperti barisan hadapan juga. Saya gunakan hasil untung penghantaran makanan yang ditempah, selain sumbangan kawan-kawan untuk memulai usaha ini,” katanya, memberi penghargaan kepada temannya, Azizi Alauddin yang mengendalikan penyediaan juadah, juga Mohd Faizal Ibrahim dan pengarah drama, Suhaimi Lua.

Seringkas Mihun Goreng bersama potongan buah untuk sarapan ke hidangan tengah hari seperti Nasi Beriani Ayam malah Nasi Kak Wok, sehingga 50 pek disediakan setiap hari untuk diagihkan kepada petugas kebersihan dan perkhidmatan ini yang perlu bekerja sepanjang PKP.

Siap untuk diagihkan kepada wira tidak didendang

“Bagi mereka, ini adalah tanggungjawab selain ini jugalah punca rezeki untuk keluarga. Jauh sekali daripada merasa wira, padahal kalau mereka tidak kutip sampah, misalnya sampah akan berlonggok berhari-hari di tong sampah yang tentunya mendatangkan bau yang busuk, tidak enak. Ditambah dengan PKP, dalam penularan wabak ini dan penyakit lain juga boleh merebak.

“Jadi, kalau kita masih rasa mahu merungut atau memandang rendah golongan ini, sebenarnya merekalah yang menyumbang kepada keselesaan hidup kita. Jelas, PKP mengajar kita untuk melihat dalam persepektif berbeza, membuat kita lebih menghargai benda yang dianggap kecil tapi sebenarnya bermakna,” katanya lagi.