Jeans Ketat, Hairspray dan Malam Gila Loudness di KL
Biar pun tanpa rambut mop dan 39 tahun agak lewat, ada nostalgia dititipkan band heavy metal Jepun ini.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
JEANS ketat merah dengan baju tanpa lengan bergambar matahari terbit dan rambut mop lelaki hampir setengah baya itu benar mencuit rasa.
Dan buat seketika, ada semacam rasa menyapa yang memutarkan balik masa ke zaman itu.
Ke era 80an, di mana Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dijangka akan memerintah selama 22 tahun dan kembali sebagai Perdana Menteri tertua dunia dan anak-anak muda bergadang dengan jeans ketat sama, hairspray dan rock kapaknya.
Berjalan, di antara penggemar metal dengan jaket bercerucuk untuk satu konsert tempatan, mata menyoroti lelaki tadi dengan key diikat pada lututnya. Dia berteman, rupanya dan semua, dengan rambut mop mereka, membuat saya senyum memikirkan apakah ini reinkarnasi SYJ tanpa solekan mereka atau mungkin babak Battle of the Band yang pernah difilemkan sutradara Mamat Khalid lewat Rock dulu.
Sedang saya, pada masa itu, masih anak sekolah yang melekap dengan walkman yang digelar arwah Abah sebagai “radio pekak”, mendengar The Beatles,The Rolling Stones, Pink Floyd ke The Police daripada kaset yang dipinjam tanpa izin daripada Abang.
“… kegilaan pada Loudness menyusupi anak-anak muda yang mempamer gambar matahari terbit yang menjadi trademark pada baju T, malah sebagai tampalan di paha jeans, juga beg tote daripada kapas atau jeans bundle.”
Sambil mengenali dunia pop Duran Duran, Madonna ke Michael Jackson dan terpana dengan lirik-lirik jiwa Bob Marley yang membawa saya mengeksplorasi lebih dalam ke dunia reggae lewat bawaan The Wailers dan Peter Tosh, antaranya.
Masih, ada ruang untuk berkesperimentasi dengan Black Sabbath sampai ke AC/DC, KISS malah Iron Maiden.
Dan, Loudness. Juga kenyataan yang lebih impresif bahawa band heavy metal itu bukan band orang putih.
Ditubuhkan pada 1981 oleh gitaris, Akira Takasaki dan pemain dram, Munetaka Higuchi, kegilaan pada Loudness menyusupi anak-anak muda yang mempamer gambar matahari terbit yang menjadi trademark pada baju T, malah sebagai tampalan di paha jeans, juga beg tote daripada kapas atau jeans bundle.
Susulan kejayaan menerobosi pasaran dunia dengan album kelima, Thunder in the East pada 1985, di mana single Crazy Nights meraih No.74 dalam carta Billboard, semangat Asia membakar anak-anak muda yang melihat Akira dan Munetaka, beserta Masayoshi Yamashita (bass) dan Minoru Niihara (vokalis) sebagai inspirasi.
“… terutama setiap kali Akira mempamer ketangkasan jarinya yang jelas mengujakan penggemar muzik dan brader berambut gondrong, terutamanya yang bagaikan kesurupan dalam head banging mereka.”
Dan malam itu, di Loudness Rise to Glory Tour 2019 – Malaysia, melanguk di depan pentas yang kurang sedepa daripada tempat saya berdiri, mendengar Heavy Chains secara live oleh band yang secara lahirnya diperkirakan sudah dihambat usia, kenangan zaman anak sekolah hampir 35 tahun itu ikut belayar di depan mata.
Tanpa rambut mop, juga bukan di pentas gah dalam konsert berskala besar, setting eksklusif Kuala Lumpur anjuran Lampuneon yang berlangsung di The Bee, Publika baru ini, sebaliknya menghidangkan sebuah persembahan bersifat lebih intimasi yang mengembalikan nostalgia pada band asal Osaka ini yang bakal meraikan ulang tahun ke-40, tahun depan.
Ruang dipenuhi pekik sorak audiens tengah baya sebaik persembahan dibuka dengan Soul on Fire, terutama setiap kali Akira mempamer ketangkasan jarinya yang jelas mengujakan penggemar muzik dan brader berambut gondrong, terutamanya yang bagaikan kesurupan dalam head banging mereka.
Sibuk berbalas senyuman dengan Masayoshi, sesekali cuba meneka jenama kasut hi-cut yang digayakannya, saya sebetulnya lebih terpaku pada energi yang diberikan Minoru, pada usia 59 tahun, menerusi 14 set termasuk The Sun Will Rise Again, Until I See The Light dan In My Dreams selain Crazy Nights yang diulang pada akhir persembahan yang cukup satu perkataan untuk mengambarkannya: Gila!
Ryuichi Nishida, pemain dram Ra:IN yang menggantikan sementara Masayuki Suzuki yang diserang strok, membuat saya senyum dengan penampilan rocker 80an. Kala melihatnya mempamer aksi solo lewat Kama Sutra, saya tidak dapat mengelak daripada membayangkan bagaimana sekiranya Munetaka yang berada di situ, malam itu.
Masih, peluang mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain dram legenda itu yang tewas kepada penyakit barah hati pada 2008, ketika berusia 49 tahun, adalah satu penghormatan tentunya, bersama tiga pendukung asal Loudness, menghidupi bara semangat Munetaka yang disifatkan “sentiasa memberi kami harapan dan impian.”
Heavy Chains, lagu lazim dibawakan banyak band rock tempatan bermain di telinga apabila saya sekali lagi bertembung dengan lelaki berambut mop usai persembahan. Siap bersepatu Aliph antaranya, saya sekali lagi kembali ke era kegemilangan rock itu yang menjadikan band seperti Search dan Wings sebagai legenda, hari ini.
Loudness malam itu mungkin sudah melepasi zaman kegemilangannya, namun nostalgia yang diberikan nyata tidak tertanding. Saya berjalan keluar, melewati grup peminat Loudness tadi, sambil memikirkan jaket hitam Minoru yang bersulam naga dengan bait “Rise to Glory, Soul on Fire, Japan “ yang berbenang merah menyala.
Ia sebagaimana yang saya rasa malam itu: Jiwa yang membara.
Comments are closed.