Siap Untuk Konsert Loudness? Ini 5 Perkara Anda Perlu Tahu
Bersama band heavy metal unggul ini menggegar Kuala Lumpur, malam ini.

DI keraian penubuhannya yang ke-35, band asal Negara Matahari Terbit ini hadir menjejakkan kaki di Malaysia sempena konsert Loudness Rise to Glory Tour 2019.

Dipertontonkan lewat satu persembahan di The Bee in Publika, ini yang anda perlu tahu bagi mempersiapkan diri untuk konsert anjuran Lampuneon, malam ini:

INTIMASI

Diasaskan gitaris legenda, Akira Takasaki dan pemain dram, Munetaka Higuchi pada 1981, konsert di The Bee ini adalah yang pertama seumpamanya yang membolehkan penggemar muzik menikmati sebuah persembahan yang intimasi dengan band asal Osaka ini.

Jurucakap The Bee, Rahul Kukreja malah menyifatkannya sebagai “peluang sekali dalam seumur hidup” untuk menonton Loudness dalam setting sebegini.

DARI LAZY KE LOUDNESS

Dilahirkan daripada pecahan band rock, Lazy sebelum pengasas bersama, Hiroyuki Tanaka yang bermain bass mengumumkan keluar, Loudness sehingga kini sudah melahirkan 27 album studio, terbaru lewat Rise to Glory pada 2018 sejak debut dengan The Birthday Eve.

Band  ini menembusi pasaran antarabangsa menerusi album Thunder in the East pada 1985, di mana single Crazy Nights mencatat No.4 di Jepun, dan berada di No.74 dalam carta US Billboard selama 19 minggu. Ia menyusuli album keempat, Disillusion yang dirakam semula trek vokalnya dalam bahasa Inggeris pada 1984, menjadikannya album pertama mereka yang diterbitkan di luar Jepun.

YANG PERTAMA

Tahukah, Loudness mencipta sejarah sebagai band Jepun pertama bernaung di bawah label rekod antarabangsa, Atlantic Records? Iaitu,  setahun selepas mereka mengadakan jelajah di Amerika Utara dan Eropah pada 1983.

Band ini juga adalah yang pertama dari Jepun mengadakan persembahan di Madison Square Garden dan menjadi band pembuka konsert Motley Crue. Reunion pertama, membabitkan anggota asal berlaku pada 2001 bagi meraikan ulang tahun ke-20 Loudness, serentak dengan kelahiran album Spiritual Canoe yang meraih sambutan hangat dan mendorong band ini terus kekal.

BARA SEMANGAT MUNETAKA

Jelajah di Malaysia bakal menyaksikan gandingan mantap Akira yang bermain gitar utama bersama vokalis, Minoru Nihara dan Masayoshi Yamashita (bass).

Semangat Munetaka yang disifatkan “sentiasa memberi kami harapan dan impian” sebelum tewas dengan barah hati pada 2008 ketika berusia 49 tahun terus dihidupkan Loudness menerusi permainan bertenaga Masayuki Suzuki yang menggantikan tempat mendiang sebagai pemain dram.

JEMSON DAN FARASU BUKA KONSERT LOUDNESS

Ya, dua supergroup tempatan ini  diberi penghormatan sebagai band pembuka konsert Loudness di Kuala Lumpur. 

Najmi, bekas anggota brutal metal Incarnation dan Myo (Oh Chentaku) bergabung sebagai Jemson yang baru ini hadir dengan EP, Balada Cinta Kosmos dengan pengaruh rock 80an bersama elemen punk dan pop moden. Ia merupakan lanjutan daripada eksperimen lagu dengan gaya penulisan berlainan lewat The Jameson Project dengan single Rock N Roll Sampai Mati yang juga lagu tema TV kembara Myo, Ride Hensem.

Tak asing bagi peminat muzik underground, Furasu ditubuhkan Nahak, Bull dan Fidaiyyin pada 2012. Elemen muzik tradisional Melayu yang diketengahkan memberi kelainan dan keunikan melodi Furasu yang muncul dengan album Sulalatus Salatin, tahun lalu yang penuh dengan unsur Melayu Nusantara.

KONSERT RISE TO GLORY TOUR 2919 – MALAYSIA