Soul Kembara Kita Ramli Sarip Dengan Ella, Sang Superstar
Kala dua sosok daripada scene rock tanahair berkongsi pentas, dalam tempoh 30 tahun, buat kali pertamanya.

Oleh Zurina Waji    |    Foto Fauzi Hamid

KATA Datuk Ramli Sarip, “mendapatkan Ella adalah satu benda yang sangat menarik.” Senyum, memandang Ella yang tampil serba hitam, berhijab, dia mengimbau pertemuan dengan penyanyi itu yang disifatkannya, “very raw, sangat santai.”

Dia mengerling, ketawa kecil mengingati penampilan Ratu Rock itu, ketika itu dengan jeans yang “koyak sana, koyak sini.”

Itulah yang bagaimanapun, disuntik dalam album solo pertama Ella selepas dia meninggalkan The Boys dan muncul dengan Pengemis Cinta pada 1989. Ramli, di bawah Warner Music, seterusnya menerbitkan dua lagi album studio Ella, Puteri Kota (1990) dan Identiti (1991).

“Masa saya mula-mula kenal Ella, saya nampak dia sangat street dengan jeans biru dan baju T. Jadi, bila saya terbitkan ketiga-tiga album ini, saya cuba kekalkan imej dan gaya street Ella itu. Kalau buat stail elit nampak tidak sesuai pula,” katanya.

Perlahan, akui mantan pendukung band terkenal 70an, Sweet Charity ini yang dikenali dengan karya, seawal Teratai, Kamelia hingga Bukan Kerana Nama, ia adalah “satu kenangan yang sangat tulus, sangat muda… satu perjalanan yang sangat indah.”

Superstar, maksudnya perjalanan beliau sebagai seorang hawa yang berjalan untuk sampai ke sini. Sukses bagi sayalah dan (Ella) dapat bertahan diterima peminat sehingga sekarang dan diminati.”

Dingin petang hujan di Kuala Lumpur yang membawa ke malam, mengiringi pertemuan dengan media bagi mengumumkan rencana konsert Kembara Kita – Ramli Sarip dan Ella anjuran Rasa Karya Sdn Bhd di Istana Budaya, Februari tahun depan.

Idea konsert yang menurut Ramli, 67, dicetuskan pemuzik terkenal, Allahyarham Aji atau nama sebenarnya, Fauzi Samin yang dianggapnya sebagai “seorang teman dan seorang adik .” Aji, katanya  “sering mengatakan kenapa Abang tak nak buat (konsert) dengan Ella? Saya rasa Ella pun sudah cukup matang, waktu dia pun dah agak matang dan lagu-lagunya sudah terserap di telinga dan hati peminat.”

Sungguh dilihat jauh lebih berpengalaman, penyanyi yang turut digelar Papa Rock ini, sebaliknya akan “bekerjasama secara keras dan tulus” melalui “kolaborasi yang tidak ada berat sebelah kerana saya memandang atau menganggap Ella sebagai satu superstar.”

Superstar?

Dia menghela nafas, membuat Ella, kini 53, nampak terharu  apabila berkata, “Superstar, maksudnya perjalanan beliau sebagai seorang hawa yang berjalan untuk sampai ke sini . Sukses bagi sayalah dan (Ella) dapat bertahan, diterima peminat sehingga sekarang dan diminati. Satu penganugerahan yang luar biasa.

“Sebagai orang Timur, selalunya bila mereka rasa sudah berumur mereka akan rasa tidak sesuai, tidak boleh atau kenapa mesti nak nyanyi lagi tetapi kerana setiap dari kita punya peranan masing-masing. Saya rasa Ella dapat pegang benda (pemahaman) ini termasuk saya.

“Ini yang kita ada, ini yang kita boleh. Ini yang terbaik daripada kami, buat masa ini.”

Penyanyi asal Singapura ini yang mengakui teruja dengan perjalanan ini, berkongsi keinginan untuk menghasilkan album duet dengan feel Blues dan Rock n Roll bersama Ella, setidak-tidaknya merakam satu atau dua lagu baru sebagai bonus sebagai perkongsian sempena Kembara Kita.

Ella, merendah diri, mengakui terharu dapat berkolaborasi dengan Ramli yang disifatkan antara nama yang sangat dikaguminya.

Gembira, katanya “tiada kata indah dapat diucap”, kecuali Alhamdulillah seraya menyifatkan dirinya sebagai seorang yang “masih lagi mencari ilmu… mencari yang kekal, di akhirat dan mengharapkan hidup yang lebih indah.”

KONSERT KEMBARA KITA – RAMLI SARIP DAN ELLA

Dapatkan tiket di www.ilassotickes.com | Hotline 03-21706333