5 Sebab Kenapa Anda Tidak Boleh Miss Konsert Exists Reunion
Sebab kes dadah, Mamat ditahan lagi pada 8 September lalu. Seaneh bunyinya, kontroversi ini menambah alasan mengapa persembahan ini tidak boleh dilepaskan.

Foto Shiraz Projects

“SAYA mohon maaf,” kata Mamat, berikutan penahanannya di Taman Perling, Johor Bahru selepas ditemui bersama sepaket serbuk putih dipercayai syabu seberat 0.42g dalam satu pemeriksaan polis. Ujian saringan awal air kencing juga mendapati bekas vokalis Exist itu positif dadah.

Soalnya, ini bukan yang pertama.

Mamat, atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 41, pernah disabit kerana masalah penyalagunaan dadah pada 2011 dan pada Julai 2017, dia dijatuhi hukuman enam bulan penjara dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal melaporkan diri di balai polis dalam tempoh pengawasan. Terdahulu, pada Jun 2017, dia mengaku bersalah atas tuduhan mengambil dadah pada Mac tahun yang sama.

Sambil anda mungkin berdebat, meragui ketulusan permohonan maaf penyanyi ini, berikut adalah 5 Sebab mengapa Konsert Exists Reunion yang bakal menampilkan gitaris, Along dan Shah; Musa (bass), Ajai (keyboard), Ujang (dram) dan Ezad Lazim (vokalis), selain Mamat mesti ditonton:

PERTAMA DAN SATU-SATUNYA

Ini adalah konsert pertama, juga satu-satunya, yang menyaksikan semua anggota asal Exists sebelum Mamat digantikan Ezad bergabung di satu pentas dalam sebuah persembahan berskala besar.

Iaitu, sebagaimana akui Ajai semasa sidang media bagi mengumumkan Konsert Exists Reunion di Kuala Lumpur, Julai lalu, “Ini kali sajalah orang dapat melihat Exists disatukan.“ Biar pun penyatuan semula itu hanya dapat dibayangkan sejak beberapa tahun lalu, katanya baru kali inilah ini, ia menjadi kenyataan.

Ajai yang juga merupakan komposer dan penerbit terkenal, memperkukuhkan lagi kenyataannya dengan menegaskan, “Tak akan ada Exists yang lain selain yang ini.“

ROLLER COASTER 28 TAHUN

Konsert 2019 ini bukan hanya meraikan 28 tahun penubuhan Exists, malah membiaskan perjalanan band asal Johor ini untuk terus relevan dalam industri seni di sebalik kontroversi, paling ketara yang membabitkan kedua-dua bekas vokalis mereka yang berhadapan masalah sama – penyalahgunaan dadah.

Bak kata Along, “Selama 28 tahun ini, (perjalanan) roller coaster sebagai band.”

Selain pertukaran vokalis, termasuk Ezad yang digugurkan sebelum Joey menjadi vokalis undangan, Exist lebih dulu menyaksikan perubahan setelah Shah keluar pada 1992 dan menubuhkan Slam. Diammu Gunung Berapi, album ketiga (1995) dengan hit Mengintai Dari Kamar menyaksikan Ezad menggantikan Mamat dan merupakan album pertama Exist ke pasaran Indonesia, iaitu pada 1996, menggunakan judul Mencari Alasan yang  mencatat jualan 600,000 unit.

Pada 1997, dikenali dengan nama Exists, menyaksikan kelahiran album keempat, Jangan Gentar dan Ajai keluar meninggalkan band.

TERBAIK ASIA

Exists melahirkan drummer, antara terbaik dari Malaysia dan juga, rantau Asia, iaitu Ujang yang beberapa tahun ini bermain untuk pemuzik antarabangsa, termasuk bintang kelahiran Taiwan, Leehom dan David Tao.

Pengiktirafan itu dizahirkan Promark yang melancarkan signature drum stick Ujang, satu-satunya pemuzik Malaysia dan dikatakan kedua di Asia, baru-baru ini. Disiplin bintang antarabangsa, termasuk gitaris Steve Vai diakui mempengaruhinya yang  percaya “Muzik tidak akan mati“, malah baginya, “… kalau tidak ada muzik, orang akan gila!”

BACA: Konklusi 28 Tahun Exists Dalam Seni

NOSTALGIA

Usia Mamat baru mencecah 13 tahun semasa Untukmu Ibu ciptaan Allahyarham Rahim Othman dan lirik, Allahyarham Megat Ismail Ibrahim memperkenalkan Exist ke persada seni. Lahir di era rock masih digilai, band asal Johor ini dihormati kerana keupayaan bermain muzik lebih baik berbanding sebahagian band dewasa.

Dikatakan, disatukan awalnya pada 1989 menggunakan nama Axis, band anak remaja itu kemudian menyertai industri seni menggunakan nama Exist pada 1991 dengan Along dan Mamat sebagai ahli paling muda. Sejak 1996, setelah Mamat digantikan Ezad, band ini menggunakan nama Exists sampai kini.

Debut Exist pada Disember 1991 yang turut memuatkan hits seperti Rahsia Pohon Cemara (LY) dan Langkah Seiringan (Harun Ahmad) mencecah jualan lebih 250,000 unit, manakala single Untukmu Ibu layak ke Juara Lagu ke-7 pada 1992. Pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-11, album ketujuh, Seperti Dulu meraih Album Pop Rock Terbaik.

KONSERT TERAKHIR MAMAT

“Ia tidak bermakna tanpa kehadiran Mamat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, yang dilihat cuba ’menyelamatkan’ penyanyi itu yang dibawa ke Kuala Lumpur susulan penangkapannya. Tak cuma kerana “konsep konsert ini adalah reunion”, dia mahu “membantu Mamat dengan apa cara sekalipun.”

Pada sidang medianya, dia menjelaskan pihaknya “dalam proses untuk memasukkan Mamat ke program pemulihan atas permintaan Mamat sendiri yang mahu bebas dari dadah”, sekaligus memberi indikasi Reunion ini bukan sahaja satu-satunya konsert Exists bersama, malah yang terakhir sebelum menjalani rawatan.

Ezad, barangkali contoh terbaik sejak “bersih daripada najis dadah” selepas menjalani program pemulihan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun  yang berakhir pada 2017 dan kini, kembali membina karier, terbaru dengan pelancaran single Lima Aksara, duet bersama Zamani.

Akses

  • 28 September
    Stadium Malawati, Shah Alam
  • 5 Oktober
    The Theatre at Mediacorp, Singapura

Info layari laman sesawang www.myticket.asia / +603-86050195 / Hotline: +60122560082