“Bisikan Syaitan Akan Datang Walau Dalam Tidur.” – Jamal Abdillah
Bicara Raja Pop ini tentang perjalanan hidupnya, soal jadi bapa dan pesannya buat Mamat Exists.

Oleh Zurina Waji    |    Foto Jon Ramlan – Mewah Event Management

“Saya ingin anak perempuan saya jadi seorang pejuang, berjuang untuk bangsa dan negaranya.”

“SAYA nak dia jadi peguam dan ahli politik,” kata Datuk Jamal Abdillah, menanam impian untuk sang puteri yang dijangka dilahirkan, November ini.

Ya, penyanyi bersuara lunak ini bakal menimang cahaya mata lagi dan kali ini, perempuan, yang akan diberi nama Azura Yamani. Dia senyum, lebar sekali, kala diajak berbicara mengenai kehadiran zuriat ketiganya itu, dan pertama hasil perkongsian hidup antaranya dan Datin Zai Izatti Khiruddin, 25.

Berbanding anaknya, Osama Yamani, 18, yang cenderung pada seni dan Ahmad Zaki Yamani, 13, yang diharap mendalami ilmu agama, “Saya ingin anak saya ini (Azura) jadi ahli politik tetapi dia mesti belajar undang-undang, jadi peguam dan dengan itu, jadi asas untuk dia menceburi dunia politik.

“Saya ingin anak perempuan saya jadi seorang pejuang, berjuang untuk bangsa dan negaranya. Seperti Sudirman, ada asas undang-undang tetapi Allahyarham tidak terbabit (dalam politik) dan saya mahu bentuk (anak) ke arah situ.”

Hati Jamal sedang berbunga dan dia tidak menyembunyikannya. Jadi bapa lagi, pada usia 60 tahun buat dia teruja, katanya.

“Saya mula cari nama,” akuinya, ketawa mengimbas reaksinya ketika kandungan Izzati yang dikahwininya pada 2017 disahkan perempuan. Azura, debutnya ke layar lebar pada 1984 yang turut menjulang namanya lewat lagu ciptaan Datuk M Nasir, menggunakan judul sama, nyata terlalu bererti.

“Saya tengok bagaimana Allahyarham Tan Sri P Ramlee… filem Anakku Sazali dan beliau menamakan salah seorang anaknya, Sazali. Saya pun ikutlah macam P Ramlee, letak nama anak daripada filem yang saya lakonkan.”

Keterujaan Jamal buat saya tersenyum sambil dingin hujan yang belum lama berhenti menemani pertemuan kami, petang itu. Tampil segak, sepertimana kebiasaannya, berjaket dan bercelana polos sedondon, sukar untuk menafikan aura yang dimiliki juara Bintang RTM 1979 ini.

Jamal, bangga dan terharu,  berkongsi cerita terkini Osama yang mengesahkan tempat di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Dan sekali lagi, dia dilihat menyeka mata. Ada ketikanya, rasa sebaknya seolah cuba ditutupi dengan senyuman yang agak tersipu.

“Saya tak sangka Osama boleh skor sebab dengan dia, saya bimbang akademiknya tidak lepas,” akuinya, tambah terharu apabila memikirkan “orang seperti saya boleh didik anak sampai ke universiti”, sekaligus diharap dapat mengubah stigma terhadap bekas penagih sepertinya.

Bukan rahsia, perjalanan seni bintang dengan nama sebenar, Jamal Ubaidillah Mohd Ali ini sama rancak dengan episod penyalahgunaan dadah yang mengiringi hidupnya. Dihujat prasangka, dia mengingatkan,  “Jangan pandang rendah pada orang. Kerana kuasa Tuhan lebih daripada segalanya.”

Naluri kebapaan antara pendorong Jamal untuk tidak lagi kembali kepada kehidupan lama. Payah untuknya meluah rasa  terhadap anak-anaknya, namun bahasa tubuh, senyuman dan matanya yang ikut bercahaya apabila berbicara mengenai mereka menyerlahkan ketulusannya.

Biar ingin cuba membentuk anak-anaknya sepertimana yang diimpikannya, dia akur hanya boleh memasang harapan dan tidak akan memaksa kerana “pengalaman saya sendiri, bagaimana arwah ayah nak saya ikut acuan dia.” Syaratnya, dia berkata akademik diutamakan dan mereka bebas untuk menentukan hidup mereka sendiri, akhirnya.

“Jika (anak) tidak lulus, saya memang angin,” katanya, gelak kecil. “Pelajaran, bagi saya, penting. Nak menyanyi tanpa ilmu, baik tak payah. Jangan samakan dengan Baba kerana pemberian Tuhan, dianugerahi itu lain. Pengetahuan am, attitude kena ada dan selepas itu mahu ikut mana, saya tak kisah.”

Jamal ketawa mendengar pertemuan saya dengan Osama, tidak lama dulu. Dia sedikit terkejut apabila diberitahu mengenai anak sulungnya itu yang kuat berceloteh, namun senang mendengar sifat natural itu meninggalkan pandangan baik.

“Osama dengan saya tidak banyak cakap tetapi daripada orang lain, termasuk guru sekolahnya saya diberitahu dia memang mudah mesra,” katanya, mengakui enggan memanjakan anak termasuk Osama sendiri yang sebelum ini dibiarkan berniaga burger untuk mengajarnya erti komitmen dan menghargai masa.

“Jangan taburi anak-anak dengan kemewahan, biar mereka cari sendiri. Supaya nanti apabila saya sudah tiada esok, tahulah mereka bagaimana hidup sendiri.”

BARU KU KENAL BULAN DAN BINTANG

Bertemu Jamal di Persatuan Pengasih, Kuala Lumpur, saya jadi tertanya memori apakah yang kembali menyinggah di fikirannya. Deja vu?

Saya menebak banyak cerita pahit yang cuba dikuburkan residen dalam usaha membebaskan diri daripada penguasaan dadah, tapi kenyamanan rasa yang diberikan kehijauan pepohon yang memberi jiwa kepada pusat pemulihan itu juga menyatakan adanya hikmah yang tersembunyi.

“Saya sayang tempat ini,” kata Jamal, perlahan. “Hidup saya tukar sepenuhnya apabila saya duduk di sini, lebih lima tahun.”

“Perjalanan hidup, ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Hikmah saya, saya diterima… anak-anak saya tidak malu mengakui saya adalah ayah mereka. Itu paling penting bagi saya… ”

Jamal kembali, kali ini untuk Majlis Malam Amal PENGASIH @Cinta Manis di Hotel Istana pada 17 November ini bagi mengutip dana untuk menyiapkan fasiliti baru rawatan dan pemulihan dadah di Cinta Manis di Bentong, Pahang. Selain Jamal, turut mengadakan persembahan kelak ialah Man Bai dan duo Mohar.

Ini bagaimanapun, bukan pembabitannya pertamanya dalam projek Pengasih. Bukan hanya untuk membalas budi, tentunya, dia juga tidak malu mengakui pernah dimasukkan ke pusat berkenaan malah menempelak mereka yang berasa sebaliknya dengan menyifatkan itu kerana “dia tidak ada roh, dia tidak ada rasa.”

Sempat, dia memerhati sekeliling sambil mengimbau kenangan manisnya, “cukup masa, pergi solat” dan bagaimana tempat itu “ajar dan bentuk diri saya (sepertimana) sekarang.” Semua itu, katanya tidak akan diperolehi sekiranya dia tidak cuba menghayati dan menjalani kehidupannya.

“Perjalanan hidup, ada hikmah di sebalik apa yang terjadi. Hikmah saya, saya diterima… anak-anak saya tidak malu mengakui saya adalah ayah mereka. Itu paling penting bagi saya, anak-anak tidak malu dengan saya,” katanya, kembali sebak.

“Orang lain tidak akan mampu mengubah jika kita sendiri tidak mahu ubah hidup kita. Kena banyak berkorban. Pengorbanan sangat penting, baru tahu rasa seronok tidak bergantung pada dadah. Kita ni tdak boleh kawan sembarangan, masa seronok sudah tidak ada. Satu-satu kejayaan itu banyak pengorbanannya.”

“Masuklah pusat pemulihan dari langit sekali pun, awak tak akan berubah jika di dalam diri tak mahu, tiada orang boleh ubah.”

Jamal, ditanya mengenai pembabitan selebriti dan dadah, terbaru dengan kes penangkapan Mamat Exists di tengah persediaan bandnya untuk Konsert Exists Reunion pada 28 September ini, yang mendakwa didorong rasa sepi sejak kembali bersendirian, menggelengkan kepalanya dan berkata: “Saya dulu sepi juga, tiada isteri.

“Saya masa itu jadikan pejabat sebagai rumah. Sebahagian pejabat, saya letak penghadang dan jadikan bilik. Saya kerja, tidur di pejabat. Kena lawan (rasa mahu ambil dadah), malah sambil bekerja hantar pula anak ke sekolah, dari pejabat itulah.”

Sering, akuinya dia tertanya apakah tekadnya untuk memulihkan diri daripada pengaruh dadah tidak membibitkan keinsafan pada masyarakat, termasuk anak-anak seni.

“Hairan, apabila kita jatuh orang nak ikut. Apabila naik, orang tak mahu ikut. Saya tidak kisah jika orang nak tanya (nasihat)  nak pulih tapi sejujurnya, kita tidak boleh sombong mengatakan ‘Saya dah okay.’ Proses pemulihan itu sebenarnya berlaku, setiap hari.

“Ingat akan tanda-tanda amaran itu,” katanya, wajah sedikit gusar.

Ditanya, dia diam seketika sebelum menjawab, “Bisikan syaitan akan datang sentiasa walaupun dalam tidur. Tanda-tanda amaran.  Misalnya, apabila pada masa siangnya kita lalu port tempat kita biasa beli dadah dulu, malam kita pasti teringat-ingat.”

Kepada Sang Khaliq, Jamal sering memanjatkan syukur hidupnya tidak lagi dibelenggu dadah. Sempat dia menitipkan pesan: “Masuklah pusat pemulihan dari langit sekali pun, awak tak akan berubah jika di dalam diri tak mahu, tiada orang boleh ubah. Tepuk dada tanya seleralah.”