Askar Dicemuh “Makan Dan Tidur Sahaja”, Isteri Bekas Komando Ini Titipkan Pesan

Oleh Nik Marina Datuk Hussin

HARI ini, saya bercakap sebagai seorang isteri tentera kepada seorang bekas pegawai Komando dan anak perempuan kepada mantan seorang Brigadier Jeneral. Sudah terlalu kerap antara kita memandang sebelah mata keberadaan para tentera, lelaki dan wanita, dan kita juga alpa mengingati ahli keluarga mereka yang termasuk para isteri tentera, anak-anak dan ibu bapa askar ini.

Sekerap kita melihat pengorbanan para tentera ini, kita juga gagal untuk mengenang keadaan isteri yang tersiksa batin menantikan kepulangan sang suami. Didasari kecamukan perasaan ini, saya berasa saya bercakap bagi pihak isteri-isteri, bukan sahaja para tentera, namun juga ahli bomba, pasukan polis dan mereka yang mengahwini lelaki yang mempunyai pekerjaan ‘berisiko tinggi.’

Sebelum saya berkahwin, bakal suami saya ketika itu, Leftenan Ariffin Abd Rani, menyembunyikan satu rahsia daripada saya. Iaitu, berhubung kematian teman sepasukan, Kapten Ali Amir (11 Rejimen Gerakhas, pasukan elit komando) yang terkorban setelah payung terjunnya gagal berfungsi, hanya seminggu sebelum pernikahan kami. Beliau gusar saya akan membatalkan perkahwinan kami berikutan bimbang untuk mengahwini lelaki dengan ‘risiko tinggi.’

“Komando sebaliknya pulang dengan tubuh sengal akibat latihan, lutut longlai disebabkan kawat atau berlari dalam tempoh panjang, lengkap dengan bebanan selain M16.”

Dibesarkan dalam dunia tentera, saban hari melihat ayah dan tugasannya, sebaik berkahwin saya dapat melihat perbezaan yang sangat luas dalam hidup seorang komando berbanding rakan tentera daripada unit-unit lain.

Sebagai isteri seorang komando, perbezaan ketara ialah saya tidak akan tahu jam berapa atau bila suami akan pulang daripada bekerja. Pernah, beliau dikehendaki terbang ke Vietnam. Ditanya bila pulang, beliau hanya menjawab, “Tunggu sampai saya telefon.” Itu bermaksud, “Saya tidak tahu” yang bermakna mungkin hari ini, esok atau minggu hadapan, dan sesungguhnya hanya Tuhan yang tahu.

Ibarat kata, apabila suami melangkah keluar bekerja, saya tidak dapat melelapkan mata sehinggalah beliau kembali (tiada masa yang spesifik untuk ini). Saya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia. Saya akan menantikan kepulangannya, bukan sekadar untuk melihatnya selamat, tapi juga bagi memastikan tubuh dan wajahnya yang berlumpur dibersihkan sebelum beliau tidur. Juga, untuk memastikan beliau menjamah sesuatu sebelum ‘pengsan’ kerana keletihan selepas menjalani latihan.

“… kami gementar ketakutan dalam merelakan suami kami disasarkan dengan peluru hidup semasa latihan. Begitu pun, disebabkan cinta seorang isteri kepada suaminya… ”

Sebagai komando, mereka tidak balik ke rumah dengan pakaian pejabat yang bergaya, melonggarkan ikatan tali leher mereka dan duduk di sofa. Komando sebaliknya pulang dengan tubuh sengal akibat latihan, lutut longlai disebabkan kawad atau berlari dalam tempoh panjang, lengkap dengan bebanan selain M16. Kadang, mereka pulang seperti orang sasau, tidak kenal apakah malam atau siang kerana siksanya berhari-hari bersengkang mata.

Kala mereka memberitahu, “Hari ini, saya kena terjun (payung terjun)”, sang isteri biasanya berat hati untuk melepaskan suami meninggalkan rumah. Apabila mereka berkata, “Hari ini, saya ada latihan Close Quarter Battle (CBQ)”, kami gementar ketakutan dalam merelakan suami kami disasarkan dengan peluru hidup semasa latihan. Begitu pun, disebabkan cinta seorang isteri kepada suaminya, kami berikan sepenuh galakan dan sokongan sambil menyembunyikan ketakutan kami dan melepaskan mereka bertugas dengan semangat yang tinggi demi keamanan untuk tanahair ini.

Dulu, semasa di bangku sekolah, ada teman yang bertanya mengapa orang seperti ayah saya masih wujud, maksudnya mengapa kita masih mempunyai tentera sedangkan negara kita aman damai? Kata sesetengah mereka, “Komunis dah tak ada, jadi apa kerja askar?” Wahai teman-teman, komunis membuat perjanjian meletak senjata tidak bermaksud komunis menggadaikan fahaman dan ideologi mereka.

“ … para tentera menjalankan tugas untuk melindungi rakyat dan tanahair, tanpa mempertikaikan apakah status, agama atau bangsa seseorang itu.”

Dalam soal ini, kita sering gagal untuk melihat kehebatan para tentera kita. Sedarkah bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya menewaskan komunis manakala negara lain seperti Hong Kong, Vietnam, Kemboja, Laos dan beberapa negara Asia lain diperintah mereka?

Sejujurnya, cakap-cakap yang singgah di telinga 22 tahun lalu, “Askar tahu apa?” dan kini, ada pula yang memperlekeh, “Anggota tentera hanya makan dan tidur sahaja. Kebanyakan mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya kerja di ladang (sawit) sahaja”, melukai kami, termasuk para isteri dan anggota keluarga tentera.

Barangkali sudah 22 tahun berlalu semenjak cemuhan “Askar tahu apa?” dilemparkan, namun parut lukanya masih terasa. Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, “Askar makan dan tidur sahaja” mungkin sudah menjadi berita basi, tetapi percayalah apabila saya katakan bahawa ia akan melukai kami, selamanya.

Tiada dendam atau pembalasan dirancang terhadap perkara ini namun kami berharap semua orang dapat memahami bahawa pasukan keselamatan tidak pernah mempersoalkan apakah seseorang itu kaya atau miskin. Kami tidak mempersoalkan apakah seseorang itu berpelajaran atau sebaliknya. Sepertimana doktor yang melaksanakan tanggungjawab secara profesional untuk merawat pesakitnya tanpa mempedulikan apakah latar belakang mereka, para tentera menjalankan tugas untuk melindungi rakyat dan tanahair, tanpa mempertikaikan apakah status, agama atau bangsa seseorang itu.

Mereka tidak pernah mempersoalkan kekayaan atau pendidikan sesiapa, jadi tidak perlu dipertikaikan mengenai tugas mahu pun kepakaran anggota tentera kami. Seandainya ahli politik dan orang kaya Malaysia memerlukan pengawal peribadi, pilihan pertama dan satu-satunya adalah komando. Kenapa? Kerana mereka ini bukan sahaja merupakan penembak tepat dan berkemahiran tinggi, mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk orang lain. Para tentera, lelaki dan wanita, sentiasa bersedia untuk melindungi rakyat. Sementara bagi para isteri tentera, anak-anak dan ibu bapa mereka, kami berdiri teguh di sisi wira kami.

Kepada mereka yang mempersoalkan tentera kami – tugas, peranan atau keberadaan mereka, saya cadangkan supaya anda upah sahaja pekerja ladang sebagai pengawal peribadi anda.