Mengembalikan Zaman Kanak-Kanak Kepada Anak-anak Pelarian Syria
Anak patung TeddyCare lewat projek Humaniteddy oleh KHOM pembujuk hati anak-anak pelarian Syria di Jordan.
“KITA lupa, 65 peratus daripada 5.7 juta pelarian Syria adalah kanak-kanak,” kata Nik Marina Hussin, Pengarah Misi Karisma Humanitarian Outreach Mission atau singkatannya, KHOM iaitu sebuah badan sukarelawan yang mengusahakan bantuan kemanusiaan.
“Kita terlalu fokus untuk memberi bantuan asas sehingga kita lupa untuk mengembalikan semula zaman kanak-kanak itu kepada mereka.”
Sebagai sebuah portal independent kembara dan budaya, Rumi Explorer berbesar hati untuk diasosiasi dengan badan seperti KHOM, dicetuskan seorang guru yang memimpin sekumpulan sukarelawan pelajar, memberi sinar harapan dan meringankan penderitaan mangsa akibat perang, kemiskinan dan malapetaka menerusi pendidikan, nutrisi, penjagaan kesihatan dan perumahan.
Di dalam menggalak budaya mengembara, portal ini juga dibangun bagi memberi perspektif baru dan berbeda mengenai kehidupan itu sendiri. Ia selaras matlamat kami untuk menjadi platform kembara artistik yang mencernakan pemikiran lewat penerokaan, sebagaimana KHOM iaitu untuk memberi balik kepada masyarakat, bermula dengan Projek Humaniteddy. – Ketua Editor Rumi Explorer
Berikut, dikongsi petikan temubual bersama Nik Marina yang juga merupakan Pengasas Bersama Pusat Tuisyen Akademik Karisma, berpengkalan di Kota Bharu, Kelantan yang dimulai bersama suami, Kapten Ariffin Abd Rani (Bersara).
Sila link ig @helpkhom untuk hebahan mengenai KHOM. Bagi sumbangan, boleh dibuat ke CIMB: 7620869900 (Nik Marina Hussin). Info lanjut mengenai Projek Humaniteddy, sila WhatsApp 012-3666423 (Amirah)/ 013-9436264 (Sophia)/ 012-952 4174 (Marina)
Mengapa Projek Humaniteddy?
Dalam misi tahun lalu, ketika menyampaikan bantuan makanan, perapian diri, pek alat menulis dan keperluan lainnya kepada pelarian Syria di Jordan, kami menyedari hadiah-hadiah kecil ini menggembirakan penerimanya.
Pelarian dewasa lega menerima pek makanan dan anak-anak kecil teruja mendapat buku dan pensil. Tapi keputusan di saat akhir, sehari sebelum ke Jordan, untuk menghadiahkan pingat emas adalah apa yang menjadikan misi mengembalikan semula “Cahaya Harapan” kepada pelarian ini, berjaya.
Apabila kami menganjurkan aktiviti permainan, pendidikan dan menghadiahkan pingat emas kepada setiap anak-anak, senyuman yang lama hilang daripada wajah mereka, kembali. Saat pingat dikalung di leher, mereka memandang seolah-olah memenangi Olimpik. Jelas, rasa bangga terpancar di wajah mereka. Pingat itu digenggam seolah-olah ia satu kebanggaan dan penghormatan.
Kita lupa, 65 peratus daripada 5.7 juta pelarian Syria adalah kanak-kanak. Kita terlalu fokus untuk memberi bantuan asas, sehingga kita terlupa untuk mengembalikan semula zaman kanak-kanak itu kepada mereka.
“Apa yang mereka (anak-anak pelarian) ada untuk dijadikan mainan?” – Nik Marina, Pengasas KHOM
Disebabkan itu, lahir idea pemberian anak patung beruang ini?
Kita sering lupa bahawa kanak-kanak ini tidak boleh bermain. Mereka tidak mampu untuk memiliki anak-anak patung. Lebih baik ibu bapa membeli makanan dan menjelaskan sewa rumah daripada membeli permainan.
Pelarian Syria di Jordan dilarang bekerja, menyebabkan ada yang menjadi peminta sedekah. Bagaimana seorang peminta sedekah hendak membelikan mainan untuk anak-anak mereka bermain? Jadi, kenapa tidak (hadiahkan anak patung)?
Kenapa tidak ceriakan hari mereka dengan menghadiahi seorang kanak-kanak anak patung buatan tangan untuk mereka bermain, peluk dan tidur bersama? Anak-anak kita memiliki telefon bimbit, games, anak patung Barbie, Hot Wheels tapi bagi anak-anak Syria ini, apa yang mereka ada untuk dijadikan mainan?
Kanak-kanak jadi mangsa peperangan
Sasaran anda menerusi Projek Humaniteddy ini?
Kami mensasarkan penghasilan sekurang-kurangnya 150 buah anak patung sebelum 13 Disember bagi membolehkan ia tiba ke tangan penerima menjelang 24 Disember ini. Ada juga permintaan mengenai pembelian untuk diri, namun ia akan hanya dilaksanakan selepas tarikh berkenaan.
TeddyCare, anak patung beruang buatan tangan lewat Projek Humaniteddy
Siapakah penerima menerusi projek sulung Humaniteddy ini?
Bagi projek musim dingin ini, kami akan menyerahkan anak patung beruang yang dinamakan TeddyCare kepada Teach for the Needs atau TFTN, iaitu sebuah sekolah yang didirikan untuk anak-anak Syria di Jordan. Ia membabitkan seramai 132 kanak-kanak iaitu 41 lelaki dan baki 91 perempuan, majoritinya berusia di bawah usia 12 tahun.
Kami merancang untuk membawa sekurang-kurangnya 150 TeddyCare bagi projek ini, di mana kami juga akan menziarahi semula rumah kanak-kanak jalanan yang dikenali KHOM sebagai “tissue kids”, iaitu sekumpulan kanak-kanak penjual tisu yang berada di jalanan demi kelangsungan hidup.
Baru-baru ini, dalam kunjungan pegawai KHOM di Jordan, Nik Muhammad Adam Hakiemi Mohd Adnan dan Muhammad Shaif Hafiz Nazaruddin ke TFTN, pelajarnya didapati masih menggunakan pensil pemberian KHOM sumbangan penaja, Red Warriors.
Kegembiraan kami bagaimanapun, bertukar sedih apabila mengetahui bekalan pensil sudah berkurangan. TFTN kekurangan bekalan. Mereka tiada buku. Kanak-kanak itu hanya menggunakan kertas untuk menulis. Melalui Projek Humaniteddy, kami ingin membantu dari segi pendidikan dengan membekalkan alat kelengkapan menulis, buku, kertas lukisan dan sebagainya.
Pada misi lalu, apa yang anda temui selama bersama anak-anak ini?
Di dalam apa jua peperangan, akan ada mangsa. Malangnya, kebanyakan mangsa adalah kanak-kanak yang tidak berdosa. Saya melihat kekosongan dalam jiwa anak-anak yatim, manakala kanak-kanak yang masih mempunyai keluarga, sama ada mereka menjadi agresif atau seolah-olah menutup pintu kepada segala-galanya.
Kanak-kanak ini, zaman kecil mereka sudah dirampas. Kerana mereka terpaksa belajar hidup sendiri atau menggalas tanggungjawab, menjadi pencari rezeki keluarga pada usia sekecil itu. Tiada masa untuk bermain, bermakna tiada masa untuk merasa gembira. Bukan dendam, tapi kosong, seolah tiada tujuan dan merana daripada segi emosi.
Sukar untuk saya memperjelaskan perasaan dialami berhubung penderitaan mereka.
Bantuan pendidikan KHOM untuk anak-anak pelarian Syria
Mengapa mahu kembali?
Penderitaan mereka bukan suatu yang dapat saya perjelaskan, tapi kalau ditanya apa rasanya dapat bermain bersama, menghadiahkan buku serta pensil dan memberi buah tangan berupa coklat, gula-gula kepada anak-anak ini… saya boleh menerangkan apakah yang kami rasai apabila menyampaikan pingat emas itu, kami rasa bersalah.
Rasa bersalah kerana tidak melakukan secukupnya berbanding kesengsaraan yang mereka lalui. Kami rasa bersalah kerana hanya melakukan misi enam hari, berjumpa, menyerahkan bantuan kemanusiaan sumbangan rakyat Malaysia dan kemudian, meninggalkan mereka.
Ramai mengatakan “Anda sudah berbuat apa yang anda mampu” atau “Sekurang-kurangnya anda melakukan sesuatu” tapi bukan itu soalnya. Mereka, seperti kita semua adalah manusia. Sumbangan semakin berkurangan. Orang kurang memberi fokus pada pelarian Syria kerana perang sudah terlalu lama berjalan. Mereka tidak seharusnya dilupakan.
Masih, apa yang mengubati hati saya ialah kami buat sesuatu. Kami kembalikan semula senyuman di wajah kanak-kanak ini. Kami bantu mengurangi beban dan kesakitan di kalangan orang dewasa dan orang tua. Bagi kanak-kanak yang menerima pingat emas, senang melihat mereka senyum bangga seperti seorang juara atau pejuang yang menang dalam pertempuran.
Mereka mungkin tidak mengingati kami, tim KHOM mahu pun saya pun tapi apa yang lebih penting ialah di satu ketika, mereka merasa apa itu kegembiraan. Sekurang-kurangnya, kami menjadi sebahagian daripada usaha yang mencetuskan kegembiraan itu.
Jadi, bagaimana mungkin kami tidak mahu untuk kembali dan melakukan lebih lagi? Kami pergi, kami membantu dan kami kembali. Begitu pun, KHOM tidak akan meninggalkan mereka.
Anak-anak pelarian Syria belajar dalam keadaan serba kekurangan
Bagaimana sambutan terhadap Projek Humaniteddy, setakat ini?
Sangat luar biasa! Ramai orang teruja dan memikirkan ia idea yang hebat. Kami merancang untuk membawa projek Humaniteddy ini ke misi, tahun depan. Tahun lalu, kami menyampaikan bantuan kepada lebih 600 kanak-kanak. Tahun depan, kami merancang untuk memberi lebih. Kami perlukan bantuan. Anak-anak pelarian ini memerlukan anda.
Comments
Yaya
Amazing ARTICLE! ❤️